IPO

19-DEC-2022

L&PBHD - Mengembangkan Perniagaan dengan Dana IPO


 


Kumpulan L&P Global (L&P Global) terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan pembungkusan bahan industri yang berasaskan kayu. Syarikat ini telah beroperasi selama 38 tahun.

Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.30
Status syariah:
Disahkan syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 168 juta
Nisbah PE:
11.72
Permohonan ditutup:
19 Disember 2022
Cabutan saham:
21 Disember 2022
Tarikh penyenaraian:
3 Januari 2023

Perniagaan L&P

Kumpulan syarikat L&P Global telah diperbadankan pada 30 Ogos 2021 sebagai syarikat persendirian di bawah nama Berjayapak International Holdings Sdn Bhd. Kemudian, ia ditukarkan kepada L&P Global Sdn Bhd pada 27 Januari 2022.

Struktur syarikat selepas disenaraikan adalah seperti berikut:

Struktur syarikat
Sumber: Prospektus IPO

L&P Global adalah syarikat penyedia penyelesaian pembungkusan industri bersepadu yang merupakan bahagian yang penting dalam pengurusan rantaian bekalan. Ia membantu dalam membolehkan penggunaan produk pembungkusan industri secara optimum melalui pergerakan barangan yang kos efektif dan cekap di seluruh rantaian bekalan, pengurusan inventori dan penggunaan ruang.

Selain itu, syarikat ini juga turut menyumbang dari segi persekitaran pengurusan bekalan rantaian dengan menggunakan barangan kitar semula dan mengitar semula barangan pembungkusan industri.

Rajah berikut menggambarkan model perniagaan L&P Global:

Model perniagaan L&P
Model perniagaan syarikat

Prestasi kewangan L&P

Bagi tahun kewangan 2020, pendapatan syarikat meningkat sebanyak RM 22 juta (33.18%) menjadi RM 88.3 juta, berbanding RM 66.3 juta pada tahun kewangan 2019. Faktor utama peningkatan ini adalah kerana permulaan operasi di Vietnam pada bulan Ogos, 2019 dan telah mencapai sehingga lebih kurang 90% daripada kapasiti pengeluaran untuk tahun kewangan penuh FYE 2020.

Bagi tahun kewangan 2021, pendapatan syarikat meningkat lagi sebanyak RM 32.62 juta (36.94%) menjadi RM 120.92 juta. Salah satu penyumbang kepada peningkatan pendapatan ini adalah kerana terdapat peningkatan permintaan daripada pelanggan sedia dari industri tenaga diperbaharui serta elektronik dan semikonduktor.

Prestasi kewangan syarikat

Pendapatan syarikat L&P datang daripada 4 aktiviti perniagaan iaitu:

  1. Reka bentuk dan pembuatan kotak dan peti serta penyediaan khidmat pembungkusan
  2. Reka bentuk dan pembuatan palet
  3. Penyediaan khidmat kitaran rantaian bekalan
  4. Berdagang sebagai perkhidmatan nilai tambah

Pendapatan syarikat mengikut segmen adalah seperti di bawah:

Prestasi kewangan mengikut segmen

Rajah di atas menunjukkan bahawa majoriti pendapatan syarikat datang daripada segmen reka bentuk dan pembuatan kotak dan peti serta penyediaan khidmat pembungkusan. Pada tahun kewangan 2020, terdapat peningkatan terhadap jualan kotak dan peti sebanyak 71.28% disebabkan pembukaan operasi di Vietnam. Peningkatan jualan diteruskan pada tahun kewangan 2021 akibat terdapat permintaan yang tinggi dari industri tenaga diperbaharui serta elektronik dan semikonduktor. Permintaan berterusan dari industri-industri ini juga telah menyumbang kenaikan jualan kotak dan peti pada tempoh kewangan 2022.

Segmen reka bentuk dan pembuatan palet juga mengalami peningkatan akibat permintaan yang meningkat dari industri tenaga diperbaharui serta elektronik dan semikonduktor. Pada tahun kewangan 2021, terdapat peningkatan permintaan terhadap palet tereka bentuk. Justeru menyebabkan peningkatan terhadap nilai jualan kerana harganya yang lebih tinggi berbanding palet kayu biasa.

Manakala segmen khidmat kitaran rantaian bekalan serta perdagangan merupakan penyumbang kecil kepada pendapatan syarikat.

Pelanggan utama syarikat

Sehingga tempoh kewangan 30 Jun 2022, L&P mempunyai lima pelanggan utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan syarikat. Daripada lima pelanggan tersebut, jumlah pendapatan daripada First Solar Group adalah yang tertinggi dengan sumbangan sebanyak 41.78%, 57.70%, 59.40% dan 55.39% dari tahun kewangan 2019 sehingga tempoh kewangan 2022.

Berikut merupakan senarai pelanggan utama L&P untuk tempoh kewangan 2022:

Senarai pelanggan utama syarikat

Kelebihan daya saing

L&P Global menyediakan penyelesaian pembungkusan industri bersepadu secara hujung ke hujung; daripada sumber bahan, mereka bentuk, pembuatan, pemasangan dan pembekalan industri pembungkusan produk, pembungkusan barang ke dalam kotak dan peti, kepada mengguna semula, mengitar semula dan membaiki palet. Selain itu, syarikat ini juga menawarkan perdagangan sebagai perkhidmatan nilai tambah.

Selain mempunyai pengalaman dalam industri pembungkusan barangan industri, produk syarikat ini juga diperbuat dengan memenuhi piawaian antarabangsa, ISPM-15. Justeru, memberi keyakinan kepada pelanggan untuk menggunakan produk syarikat L&P Global dalam keperluan bekalan rantaian global mereka.

L&P Global telah menjalinkan hubungan jangka panjang dengan pelanggan-pelanggan utama mereka yang terdiri daripada syarikat-syarikat MNC yang terkenal dan juga dari pelbagai industri pembuatan. Mereka juga turut mempunyai hubungan dengan pembekal bahan kayu, justeru membolehkan mereka memperoleh bekalan bahan kayu yang mencukupi bagi memenuhi keperluan pembuatan.

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

Sebahagian besar pendapatan L&P Global diperoleh dari pelanggan utama mereka, iaitu First Solar. First Solar juga merupakan pelanggan tunggal L&P Global di Vietnam yang menyumbang 100% daripada jumlah pendapatan mereka di sana. Justeru itu, terdapat kebergantungan yang tinggi terhadap pelanggan ini. Sekiranya syarikat kehilangan First Solar sebagai pelanggan, ia akan memberi kesan terhadap kewangan syarikat.

L&P Global juga bergantung terhadap ketersediaan pekerja asing untuk menjalankan aktiviti pembuatan. Pada Jun 2020, sewaktu pandemik COVID-19 melanda, L&P Global adalah salah satu syarikat yang terkesan akibat pengumuman pembekuan pengambilan pekerja asing oleh Menteri Sumber Manusia. Sekiranya perkara ini berlaku lagi, ia akan memberi gangguan terhadap produktiviti syarikat.

Selain itu, syarikat ini juga terdedah kepada gangguan dan kelewatan yang disebabkan oleh kerosakan alatan, kebakaran, dan faktor persekitaran yang berada di luar kawalan mereka.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima daripada IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Perbelanjaan modal 10 29.5
Perkembangan perniagaan 2 5.9
Pembayaran semula pinjaman 5 14.75
Modal kerja 13 38.35
Perbelanjaan penyenaraian IPO 3.9 11.5
Jumlah 33.9 100

Majoriti dana akan digunakan untuk tujuan perkembangan perniagaan. Sebanyak RM 10 juta (29.5%) daripada dana IPO akan digunakan untuk tujuan perbelanjaan modal. L&P bercadang untuk mengembangkan operasi mereka di Johor dengan membina kilang baru dan lebih besar yang akan merangkumi pembuatan komponen dan kawasan pemasangan serta penyimpanan. Selain meningkatkan produksi, pengembangan operasi di Johor ini juga dapat menyokong pelan perkembangan mereka ke Singapura.

5.9% daripada jumlah dana akan digunakan untuk perkembangan perniagaan mereka, iaitu dengan menyediakan kilang baharu di Lembah Klang. Kilang ini akan digunakan untuk kerja-kerja pemasangan untuk produk-produk akhir. Tambahan lagi, L&P Global juga memerlukan mesin tambahan bagi menyokong operasi pengembangan geografi mereka. Oleh itu, sebanyak RM 1.39 juta akan digunakan untuk pembelian mesin.

Sebanyak 14.75% dari dana pula akan digunakan untuk tujuan pembayaran balik pinjaman. Pembayaran balik pinjaman ini akan memberikan impak yang positif terhadap syarikat atas penjimatan kadar faedah sebanyak RM 0.28 juta setahun.

Dana terbesar, iaitu sebanyak 38.35% akan digunakan untuk modal kerja. Kos bahan mentah adalah komponen utama dalam kos jualan. Sebanyak RM 13 juta akan digunakan untuk pembelian bahan mentah, yang terdiri daripada kayu tereka bentuk dan kayu semula jadi.

Baki dana sebanyak RM 3.9 juta pula akan digunakan untuk tujuan perbelanjaan penyenaraian IPO.

Analisis perniagaan dan industri

L&P Global terlibat dalam penyediaan penyelesaian pembungkusan kayu perindustrian bersepadu. Justeru, analisis ini akan memfokuskan tentang industri penyelesaian pembungkusan perindustrian di Malaysia dan Vietnam.

Industri pembungkusan kayu perindustrian

Pembungkusan kayu perindustrian adalah sebahagian daripada pengurusan bekalan rantaian yang menyokong pergerakan barangan yang cekap dan kos efektif, serta dapat membantu dalam pengurusan inventori dan penggunaan ruang. Ia juga menyumbang kepada aspek alam sekitar dalam pengurusan rantaian bekalan dengan penggunaan bahan kitar semula serta penggunaan semula pembungkusan kayu perindustrian sepanjang proses bekalan rantaian.

Kayu yang digunakan dalam pembuatan pembungkusan kayu perindustrian terdiri daripada kayu semula jadi, kayu tereka bentuk, dan juga kayu yang dikitar semula.

Bagi mengeksport pembungkusan kayu perindustrian, ia haruslah mematuhi keperluan International Standards for Phytosanitary Measures No. 15 (ISPM 15). Piawaian ini memastikan pembungkusan kayu perindustrian ini menggunakan rawatan haba dan asap untuk membasmi haiwan perosak.

Pembungkusan kayu perindustrian yang mematuhi peraturan ISPM 15 akan dicop dan ditandakan sebagai memenuhi patuhan.

Rantaian nilai industri

Rantaian nilai industri bagi pembungkusan kayu perindustrian bermula dari aktiviti pembalakan. Syarikat pembalakan terlibat dalam aktiviti pembalakan terkawal melalui pemilihan pokok-pokok yang telah matang dan kemudian menanamnya semula di dalam hutan. Hal ini menggalakkan pemeliharaan hutan dan juga bekalan kayu yang mampan. Namun, pada masa yang sama, masih memenuhi permintaan masa kini tanpa menggadaikan keperluan masa hadapan.

Manakala kayu tereka bentuk pula terhasil daripada terbitan produk kayu
melalui proses mengikat helai kayu, zarah, gentian atau venir dengan pelekat untuk membentuk kayu.

Rajah di bawah menunjukkan ringkasan kepada rantaian nilai industri.

Prestasi industri

Malaysia

Prestasi industri pembungkusan kayu perindustrian di Malaysia meningkat daripada RM 1.54 bilion pada tahun 2017 menjadi RM 1.88 bilion pada tahun 2021, dengan nilai CAGR sebanyak 5.11%.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, penumbuhan industri pembungkusan kayu perindustrian adalah 6.25% (YoY). Namun, ia kemudian menghadapi penurunan sebanyak 8.02% pada tahun 2020 akibat perintah kawalan pergerakan sewaktu pandemik COVID-19, yang telah mengakibatkan kelewatan dalam aktiviti pembuatan, dan seterusnya memberi kesan terhadap permintaan produk.

Pada tahun 2021, terdapat peningkatan sebanyak 9.30% YoY, justeru meningkatkan prestasi industri.

Caption: Lorem ipsum, dolor sit amet consectetur adipisicing elit. Maiores, quae.

Vietnam

Manakala di Vietnam pula, terdapat peningkatan dari segi jualan iaitu daripada RM 653.94 juta pada tahun 2017, menjadi RM 1.28 bilion pada tahun 2021. Walaupun pandemik COVID-19 memberi impak besar terhadap ekonomi, industri pembungkusan kayu perindustrian terus mencatatkan rekod penumbuhan YoY sebanyak 5.23% pada tahun 2020.

Persaingan

Senarai syarikat penyedia pembungkusan kayu perindustrian di Malaysia adalah seperti berikut:

Senarai pesaing utama syarikat

Perbincangan

Secara dasarnya, syarikat L&P Global menunjukkan peningkatan pendapatan yang baik dengan kenaikan yang konsisten pada tahun 2019 sehingga tempoh kewangan 2022. Syarikat ini juga mempunyai 5 pelanggan utama, di mana salah satu pelanggan tersebut merupakan pelanggan terbesar mereka. Oleh sebab itu, terdapat sedikit kebergantungan dan kerisauan tentang apa yang akan terjadi sekiranya syarikat ini kehilangan pelanggan tersebut.

Namun begitu, tindakan syarikat utuk menggunakan majoriti modal bagi tujuan mengembangkan perniagaan merupakan tindakan yang mungkin akan dapat membantu meningkatkan pendapatan syarikat dalam jangka masa yang panjang.


< kembali ke laman blog utama