UMUM

01-SEP-2021

Krisis Kewangan Asia 1997 - Malaysia Mendepani Krisis Luar


 


Selepas pasca merdeka, ekonomi Malaysia telah mengalami beberapa kali pasang surut dan krisis atas beberapa faktor. Sebahagian besar krisis tersebut berpunca dari faktor luar kerana polisi ekonomi Malaysia yang terbuka.

Antara krisis yang pernah dilalui Malaysia ialah:

ekonomi-malaysia
Sumber: Krisis Ekonomi Malaysia: Punca, Implikasi dan Langkah Penyelesaian.

Krisis kewangan Asia pada tahun 1997 merupakan krisis yang kuat kesannya pada ekonomi Malaysia dan krisis ini juga masih menjadi topik perbincangan ahli ekonomi dan akademik serta orang awam. Ini kerana Malaysia merupakah satu-satunya negara terjejas yang enggan menggunakan program bantuan dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Terdapat banyak bahan bacaan dan kajian yang boleh dibaca tentang topik ini.

Bagaimana krisis ini bermula

Krisis ini bermula di Thailand pada Julai 1997 dan kemudian merebak ke Asia Timur serta Asia Tenggara. Pada tahun tersebut, nilai mata wang Thailand iaitu Baht telah diserang oleh spekulator mata wang kerana dianggap nilai yang diikat pada dollar Amerika Syarikat terlalu tinggi. Pemerintah Thailand terpaksa mengapungkan Baht kerana kekurangan mata wang asing untuk menyokong mata wangnya ke atas dollar AS.

Kesannya, sebahagian besar negara di Asia Tenggara menyaksikan penurunan nilai mata wang, pasaran saham dan harga aset lain dan peningkatan hutang swasta dengan mendadak.

Malaysia juga turut terkena tempias krisis ini. Pelaburan langsung asing jatuh pada kadar yang membimbangkan dan apabila modal mengalir keluar dari negara, nilai ringgit turun dari RM 2.50 setiap dollar AS kepada pada satu ketika, RM 4.80 setiap dollar AS. Index KLCI turut turun dari kira-kira 1300 kepada hampir 400 mata dalam beberapa minggu sahaja.

mata-wang-serantau
Sumber: Asian Financial Crisis 1997 - Economics Help.

Keadaan ekonomi Asia Tengara

Boleh dikatakan sebelum krisis ini, negara-negara Asia Tenggara melalui zaman kegemilangan pada tahun 90-an. Fenomena ini turut digelar sebagai "The East Asian Miracle". Pada tahun-tahun tersebut, ekonomi Thailand berkembang pada kadar purata melebihi 9% setiap tahun iaitu kadar KDNK yang paling pesat di dunia ketika itu. Kadar inflasi pula rendah antara 3.4% hingga 5.7%

Bagi Malaysia pula, purata pertumbuhan KDNK ialah 8.7% setahun dengan kadar inflasi yang rendah iaitu sekitar 3.8% . Malaysia juga secara relatifnya mempunyai hutang asing yang rendah iaitu 42% daripada KDNK pada bulan Jun 1997.

Faktor-faktor terjadinya krisis

Walaupun ekonomi serantau bertumbuh dengan pesat, pertumbuhan ini turut menyemarakkan bilangan pinjaman yang berisiko oleh kebanyakan negara.

Thailand sebagai contoh mempunyai kadar hutang dengan bank luar sebanyak 45% daripada KDNK dengan kebanyakan merupakan hutang jangka pendek. Indonesia juga tidak terlepas dengan pinjaman yang berisiko tinggi seperti pemberian pinjaman untuk projek kereta nasional yang kemudiannya menjadi projek gajah putih.

Hutang-hutang swasta Malaysia pula banyak yang berkait dengan sektor hartanah. Ramai beranggapan bahawa pelaburan besar-besaran dalam sektor ini akan membuahkan keuntungan kerana pemaju-pemaju sedang menyasarkan prospek-prospek dari Hong Kong. Dengan saiz populasi komuniti Cina yang agak ramai, Kuala Lumpur dianggap destinasi pilihan ahli-ahli perniagaan Hong Kong untuk memindahkan operasi perniagaan kerana Hong Kong pada tahun 1997 akan diserahkan kembali kepada China.

Selain itu, spekulator mata wang turut menjadi peranan dalam krisis ini. Ketika itu, kewangan negara adalah stabil dan belanjawan negara juga tidak melebihi defisit. Malah Malaysia dikategorikan sebagai negara yang memiliki kadar tabungan yang tinggi dan jumlah pinjaman tidak berbayar (NFL) yang rendah.

defisit-bajet-malaysia

Namun kerana tekanan spekulator yang menjual mata wang secara besar-besaran dan didorong juga oleh kurangnya keyakinan pelabur, Malaysia juga terkena tempias krisis ini.

Langkah Malaysia

Bagi menangani krisis kewangan ini, Majlis Tindakan Ekonomi Negara ditubuhkan. Bank Negara telah mengenakan kawalan modal dan mengikat Ringgit Malaysia pada RM 3.80 untuk setiap dollar AS.

Di samping itu, ia juga menggantung sepenuhnya perdagangan CLOB (Perintah Buku Had Batas Pusat) tanpa had dengan membekukan kira-kira $4.47 bilion saham. Malaysia juga turut menurunkan kadar faedah pinjaman, meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan menyelamatkan syarikat dan bank yang terjejas.

Malaysia menolak pakej bantuan ekonomi dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tidak seperti negara-negara lain yang terjejas oleh krisis itu. Walaupun rizab asing negara rendah pada ketika itu, namun ianya cukup untuk bertahan dalam suatu tempoh.

Negara Asia selepas 20 tahun krisis

Dari segi kewangan, Asia adalah wilayah yang berbeza jika dibandingkan dengan tahun 1997. Menurut Fitch Ratings, ekonomi Asia kini lebih berdaya tahan dalam mendepani tekanan kewangan luar berikutan langkah-langkah transformasi polisi ekonomi negara yang lebih baik serta kekuatan kewangan yang dibina.

gdp-asia
gdp, bank

Pendekatan Malaysia tanpa bantuan IMF masih mampu memulihkan ekonomi dengan segera. Ekonomi Malaysia kembali berkembang dengan pertumbuhan 4.3% pada tahun 1999 seiring dengan negara-negara lain sekaligus berjaya keluar dari kemelesetan ekonomi Asia.

Pemulihan ekonomi telah diterajui oleh pertumbuhan eksport yang kukuh, terutamanya produk elektronik dan elektrik, kepada Amerika Syarikat, rakan perdagangan dan pelaburan utama Malaysia. Tekanan inflasi kekal tidak berbahaya, dan hasilnya, Bank Negara Malaysia telah dapat mengikuti dasar kadar faedah yang rendah.

Walaupun pada mulanya ramai pihak seperti organisasi IMF tidak yakin dan memandang rendah dengan tindakan Malaysia, malah ada yang menjangkakan Malaysia akan muflis, namun Malaysia akhirnya berjaya mendepani krisis ini dan menjadi contoh kepada negara-negara membangun yang lain.

Rujukan:

  1. Lesson from the last three major economic crises - Prof Jomo | The Edge Markets
  2. Sejarah Ekonomi Malaysia | Wikipedia
  3. Krisis Kewangan Asia 1997 | Wikipedia
  4. Asia lebih berdaya tahan selepas krisis 1997 | Berita Harian
  5. Krisis Ekonomi Malaysia: Punca, Implikasi dan Langkah Penyelesaian
  6. The Asian financial crisis - 20 years later | The Star
  7. How Asia shapes up 20 years after 1997 financial crisis | Nikkei Asia
  8. Asian Financial Crisis | Corporate Finance Institute
  9. Asian financial crisis | Britannica

< kembali ke laman blog utama