ASAS

31-DEC-2019

Kenali Jenis-jenis Waran di Bursa


 


Waran adalah salah satu instrument pelaburan yang sah dan dikawal selia oleh Suruhunjaya Sekuriti melalui Bursa Malaysia. Waran boleh dibeli dan dijual di Pasaran Saham Bursa Malaysia secara terbuka (Open Market).

Terdapat 2 pengeluar (issuer) waran iaitu waran yang diterbitkan oleh syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dimana warrant tersebut dipanggil Waran Syarikat (Company Warrant). Manakala satu lagi adalah waran yang diterbitkan oleh pihak ketiga yang sah oleh Suruhanjaya Sekuriti dan waran tersebut dipanggil Waran Berstruktur (Structured Warrant)

Waran Syarikat (Company Warrant)

Syarikat mengeluarkan waran untuk mendapat dana tambahan bagi tujuan pengembangan syarikat, membayar hutang atau membiayai projek kontrak yang diperolehi. Waran ini biasanya akan menggunakan simbol syarikat dengan diakhiri huruf WA, WB, WC dan seterusnya.

Contoh: Syarikat Gamuda mengeluarkan waran bagi membiayai projek MRT 2. Maka waran yang dikeluarkan oleh Syarikat Gamuda akan menjadi GAMUDA-WA, WB, WC dan seterusnya. A, B, dan C menunjukkan waran keberapa yang dikeluarkan oleh Syarikat Gamuda. Pada semasa artikel ini ditulis, waran semasa syarikat Gamuda adalah GAMUDA-WE, menandakan ianya adalah waran kelima yang dikeluarkan oleh syarikat GAMUDA.

Dari screener iSaham Top Warrant

Waran Berstruktur (Structured Warrant)

Waran berstruktur ialah instrumen hak milik yang diterbitkan oleh pihak ketiga, iaitu broker yang layak atau institusi kewangan. Waran berstruktur boleh dikeluarkan ke atas aset pendasar (underlying asset) seperti saham, Dana Didagangkan Bursa (ETF) atau indeks seperti KLCI, HSI dan lain lain.

Contoh waran berstruktur di dalam Bursa adalah GAMUDA-C67, HSI-C7D, HSI-H8I dan lain lain.

Jenis Waran Berstruktur

Terdapat 2 jenis waran berstruktur iaitu Waran Panggilan (Call Warrant) dan Waran Put (Put Warrant). Mari kita lihat perbezaan waran-waran tersebut.

Waran Panggilan memberikan peluang kepada anda untuk membeli dahulu waran dan menjual kemudian waran tersebut dalam tempoh masa yang terhad. Simbol Waran Panggilan adalah menggunakan huruf C selepas nama syarikat atau indeks. Sebagai contoh, AIRASIA-C10.

Waran Put pula memberi peluang kepada pelabur untuk menjual dahulu waran dan membeli semula warant dalam tempoh masa yang terhad. Simbol Waran Put adalah menggunakan huruf H selepas nama syarikat atau indeks. Sebagai contoh, HSI-HAB.


✴✴✴


Nota tambahan (1) - Waran Berstruktur tidak patuh syariah menurut Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Manakala Waran Syarikat hanya berstatus syariah jika syarikat pengeluar waran adalah patuh syariah.

Sebagai contoh: CAB-WA patuh syariah, kerana syarikat pengeluar waran (atau biasa dipanggil mothershare, waran nya dipanggil anak) adalah syarikah patuh syariah. Manakala BJCORP-WC tidak patuh syariah kerana syarikat pengeluar nya tidak patuh syariah (semasa artikel ini ditulis – 30 dis 2019)

Nota tambahan (2) - Pelaburan waran mempunyai risiko yang tinggi berbanding saham biasa (ordinary share). Anda dinasihatkan membuat penilaian serta mendapatkan nasihat daripada remisier yang berlesen sebelum membuat pembelian sesuatu waran.


Artikel ini ditulis oleh Aminul Habibi, pengelola page Bursa Warrior.


< kembali ke laman blog utama