UMUM

30-SEP-2021

Kemuncak Pasaran Nasdaq sehingga Berlaku Gelembung Dot Com


 


Perubahan menjelang tahun 2000 telah memberi anjakan paradigma dan perkembangan teknologi yang meletus ke serata dunia. Sedar tak sedar hampir 21 tahun peristiwa ini berlalu. Krisis ini bermula apabila berlakunya gelembung dot-com dikenali sebagai gelembung teknologi maklumat dan perubahan teknologi dengan menggunakan rangkaian internet.

Hampir kesemua syarikat yang baru ditubuhkan berpusu-pusu menggunakan nama yang mempunyai “.com” sebagai identiti syarikat. Penggunaan “.com” bermaksud istilah yang begitu popular di Internet seperti webvan.com, e-toys.com dan sebagainya. Situasi ini semakin rancak bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Gambar : streetfins.com

Pengenalan

Permulaan krisis ini berlaku sekitar tahun 1995 dan telah mencapai puncaknya pada Mac 2000. Kebanyakan pasaran saham dipengaruhi oleh modal perbelanjaan dan syarikat dibiayai IPO dalam sektor internet. Ini dapat dilihat dari hampir majoriti 295 daripada 457 syarikat diniagakan di Wall Street terlibat dalam industri teknologi internet. Jumlah ini bertambah pada suku pertama tahun 2000 sebanyak 91 syarikat.

Ini menyebabkan indeks saham teknologi Nasdaq didagangkan di Wall Street meningkat sebanyak 400% dari 1000 mata indeks sehingga 5000 mata indeks bermula tahun 1995 sehingga tahun 2000. Dagangan ini menyebabkan munculnya pelabur baharu semata mata ingin mengaut keuntungan tanpa memikir kedudukan dan strategi perancangan perniagaan sesebuah syarikat.

Spekulasi Gelembung Dot Com

Apabila syarikat ini diniagakan secara awam, majoriti pelabur tidak melepaskan peluang dalam pasaran “.com”. Antara strategi dan teknik yang dilaksanakan pelabur adalah melabur dalam pendekatan IPO. Sebanyak 295 IPO telah diniagakan, 117 berjaya menggandakan nilai pada hari pertama dagangan sehingga mampu mencatat kekayaan pada masa yang singkat disebabkan pasaran gelembung internet.

Pesaing yang tidak mempunyai perniagaan dalam industri teknologi maklumat mempunyai pendekatan berbeza. Mereka telah membelanjakan hampir 90% untuk menjalankan pengiklanan untuk memasarkan jenama supaya dikenali orang ramai. Jadi tidak hairanlah, mereka membelanjakan jumlah yang banyak supaya berupaya mengekalkan dan bersaing dengan syarikat “.com”.

Secara logiknya syarikat yang mula berkecimpung dan bertapak dalam teknologi internet memerlukan dana yang banyak dalam infrastruktur rangkaian syarikat. Pinjaman yang besar diperlukan sehingga menyebabkan berlakunya krisis “.com” apabila kewangan syarikat mula kerugian.

Kejutan Panik Penjualan

Pada 10 Mac 2000, gelembung “.com” mula meletus dan menunjukkan perubahan yang negatif. Permulaan jumlah stok Nasdaq sebanyak USD 6.71 trillion dan mula menurun sebanyak USD 6.02 trilion pada 30 Mac 2000. Lebih memeranjatkan dalam masa sebulan nilai Nasdaq mula menurun sebanyak 1 trillion pada 6 April dengan mencatatkan USD 5.78 trillion.

Menurut pandangan JP Morgan di Portal Time kebanyakan syarikat menunjukkan kerugian sebanyak USD 10 juta sehingga USD 30 juta pada suku pertama yang berkemungkinan boleh menyebabkan muflis. Para pelabur mula panik dan menjual saham berkaitan teknologi seperti Dell dan Cisco. Jumlah penjualan saham menjadi lebih banyak berbanding jumlah pembelian saham dalam syarikat tersebut.

Kejatuhan Beberapa Syarikat

Spekulasi ini bermula apabila syarikat gergasi Microsoft mula disiasat atas dakwaan “anti-trust” dalam proses penjualan. Anti-trust merupakan perundangan dan peraturan yang dijalankan oleh pihak Amerika Syarikat untuk mengelakkan berlakunya monopoli dan strategi kotor untuk mendapatkan keuntungan.

Siasatan ini mula merunsingkan para pelabur mengenai pasaran dalam industri teknologi. Selepas diumumkan keputusan penyiasatan secara terbuka, ia menyebabkan indeks teknologi mengalami penurunan sebanyak 10 peratus.

Gambar: news.gcase

Kesannya, berlakunya deflasi dalam saham sehingga menyebabkan para pelabur mula menjual saham sektor teknologi. Mereka berpendapat pasaran sektor teknologi internet tidak membawa keuntungan, sebaliknya mengalami kerugian. Kerugian dalam gelembung “.com” telah menyebabkan kejatuhan syarikat seperti Pets.com, Webvan.com, eToys.com, Flooz.com, theGlobe.com dan lain-lain. Namun syarikat seperti Amazon.com dan eBay.com berjaya mengukuhkan syarikat ketika krisis berlaku daripada kejatuhan walaupun mengalami kesukaran pada peringkat permulaan.

Perubahan gelembung dot com telah membawa perubahan bercirikan teknologi baru sehingga mewujudkan pasaran baharu melibatkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang berkaliber. Kerancakan pelabur dalam pasaran baharu teknologi tidak bertahan lama sehingga berlakunya penurunan. Indeks Nasdaq memerlukan masa selama 15 tahun iaitu 2015 untuk mencapai indeks semasa (5048.2 mata) tahun 2000.

Rujukan


< kembali ke laman blog utama