Duit PTPTN dah masuk? Elaun Mara/JPA dah dikreditkan? Apa lagi, jom payung iphone sebijik!
Tunggu dulu! Jangan campakkan diri anda ke dalam penyesalan! Duit pinjaman/biasiswa pendidikan bukan untuk anda memenuhi kehendak nafsu, tetapi untuk membolehkan anda melabur dalam diri anda sendiri melalui pendidikan di IPTA/IPTS.
Namun, bagaimana cara untuk menguruskan duit pinjaman/biasiswa ini dengan baik? Berapa peratus perlu digunakan untuk membeli alat tulis, laptop dan internet? Berapa peratus untuk makan minum di asrama?
Jom kita belajar cara pengurusan kewangan dengan baik.
Yuran
Bagi pelajar PTPTN di sebahagian IPT, yuran universiti tidak perlu dirisaukan kerana telah dibayar oleh PTPTN terus kepada pihak universiti. Manakala bagi pelajar tajaan lain, anda perlu semak sama ada yuran telah dibayar terus kepada universiti, atau dikreditkan ke dalam akaun anda. Bagi pelajar JPA dan Mara di IPTA, anda perlu membayar yuran universiti daripada pinjaman/biasiswa yang dikreditkan oleh JPA dan Mara kerana JPA dan Mara tidak membayar yuran terus kepada pihak IPTA.
Dalam sebahagian situasi, duit yuran yang diberikan oleh JPA kurang daripada jumlah yuran sebenar IPT. Maka, anda perlu bayar baki yuran tersebut daripada duit elaun sara diri.
Ingat, pastikan anda bayar yuran terlebih dahulu daripada duit pinjaman/biasiswa anda. Jika anda tidak membayar yuran, pihak IPT akan berikan amaran dan boleh menahan slip peperiksaan anda.

Tempat Tinggal
Bagi pelajar-pelajar tahun pertama, biasanya akan mendapat tempat tinggal di asrama IPT dengan sewaan di bawah harga pasaran. Jika anda di tahun pertama, gunakan kemudahan ini untuk menjimatkan perbelanjaan tempat tinggal anda.
Jika anda selain tahun pertama, cuba usahakan untuk mendapatkan tempat di asrama IPT. Jika tidak mampu, cuba menyewa di perumahan yang berdekatan dengan IPT pada harga minimum. Anda boleh mencari rakan-rakan sekelas untuk menyewa bersama-sama bagi menjimatkan lagi sewa bulanan.
Perkara penting berkaitan pencarian tempat tinggal ialah jarak rumah sewa ke dewan kuliah. Jika anda menyewa di tempat yang murah, tetapi terlalu jauh, kos pengangkutan akan meningkat. Masa anda juga akan terbazir ketika perjalanan. Jika anda mempunyai motosikal, anda perlu mengira kos minyak dan kos penjagaan motosikal tersebut.
Jadi, bagi pengiraan kos tempat tinggal, anda perlu mengira harga sewaan rumah sebulan, kos pengangkutan dan masa yang terbuang.
Jika rumah ibu bapa anda berdekatan dengan IPT, duduklah dengan ibu bapa anda. Sewa rumah dapat dijimatkan, dan anda boleh berbakti kepada ibu bapa.

Makan dan Minum
Nak hidup sihat, perlu amalkan gaya pemakanan yang sihat. Nak belajar dengan tenang, perlu kepada kesihatan diri yang tenang.
Elaun anda berkemungkinan besar, tidak mencukupi untuk anda membelanjakannya di tempat-tempat mahal seperti KFC dan McD setiap minggu, tambah-tambah lagi di tempat premium seperti Seoul Garden. Malah, makanan di tempat-tempat ini juga kurang sihat dibandingkan dengan makanan yang dimasak sendiri.
Jadi, makanan apa yang sesuai?
Jika anda berkesempatan dan boleh memasak, maka cuba masak. Bahan-bahan mentah secara keseluruhannya, lebih murah berbanding makanan bungkus, atau makanan di kedai. Beras, ikan, ayam, telur, sayuran dan minyak masak boleh dibeli pada harga murah di pasar raya. Jika anda tidak pandai memasak, boleh mula belajar memasak terus. Kemahiran memasak adalah kemahiran yang sentiasa berguna sehingga tua.
Jika tidak berkesempatan untuk masak, anda boleh sekali sekala makan makanan segera seperti maggi 3 minit dan sebagainya. Cuma elakkan daripada terlalu kerap makan maggi kerana ia boleh memberi kesan buruk pada kesihatan. Beli bekas air dan biasakan meminum air kosong berbanding air-air manis. Air kosong boleh diperolehi secara percuma di ‘water dispenser’ atau pada harga minimum di kedai-kedai makan.
Satu lagi kaedah yang dapat menjimatkan perbelanjaan makanan adalah dengan berpuasa. Jaga kesihatan anda dengan baik. Jika berlaku masalah, boleh rujuk ke klinik universiti.

Peralatan
Peralatan yang biasa dikaitkan dengan pelajar universiti ialah laptop. Adakah semua pelajar perlukan laptop? Apakah alternatif lain bagi laptop?
Pada ketika ini (September 2021), pembelajaran masih lagi dilaksanakan secara atas talian. Oleh itu, laptop adalah satu peralatan yang wajib ada bagi setiap pelajar.
Bagaimana pula jika pembelajaran secara fizikal di dewan kuliah? Adakah laptop masih diperlukan? Persoalan ini bergantung kepada kursus yang anda ambil. Sebahagian kursus seperti sains komputer dan kejuruteraan, kursus yang melibatkan pengaturcaraan, memang memerlukan laptop peribadi.
Namun, tidak semua kursus memerlukannya. Jika tugasan anda hanya sekadar menulis projek tahun akhir di Microsft Word, anda boleh sahaja menggunakan komputer di perpustakaan, dan simpan fail anda dalam storan awan (cloud storage).
Jika anda perlukan laptop juga, cari laptop pada harga yang sesuai kegunaan anda sekarang, bukan untuk kehendak seperti bermain permainan atas talian. Bagi kegunaan ringan seperti Microsoft Office, anda boleh dapatkan laptop yang mempunyai 4GB RAM atau lebih, storan 512GB HDD atau lebih, dan processor AMD ryzen 5. Elakkan daripada membeli laptop yang terlalu mahal kerana kemungkinan besar, anda tidak akan dapat memanfaatkan pun spesifikasi yang tinggi pada laptop tersebut. Anda boleh juga mencari laptop terpakai daripada senior-senior anda. Harga laptop terpakai biasanya jauh lebih murah berbanding laptop baharu dengan spesifikasi sama.
Jaga laptop anda supaya dapat terus kekal berkhidmat sehingga anda dapat bergraduasi.

Barang pakai buang
Barang pakai buang adalah barang-barang yang anda perlu gunakan setiap hari untuk penjagaan diri seperti sabun, shampoo, ubat gigi, minyak rambut dan lain-lain. Barang-barang ini bergantung kepada diri masing-masing. Anda tidak perlu berhias berlebih-lebihan, cukup sekadar selesa untuk orang lain.
Barang-barang pakai buang ini, biasanya lebih murah untuk kuantiti yang banyak. Dari sudut harga/isipadu, shampoo 1L lebih murah berbanding shampoo 200ml yang sama. Cuba kira penggunaan anda dan bandingkan produk-produk yang ada di pasaran. Anda juga boleh membeli secara atas talian seperti di Shopee dan Lazada untuk harga yang lebih murah.

Simpanan dan Pelaburan
Setelah anda membelanjakan elaun untuk perkara-perkara di atas, dan masih berbaki lagi elaun tersebut, apa nak buat dengan baki ni? Beli telefon baru?
Simpan. Cukupkan simpanan anda untuk kecemasan. Simpanan ini boleh digunakan jika berlaku kecemasan seperti anda perlu pulang ke rumah secara tiba-tiba, atau anda tidak sempat untuk memasak dan terpaksa membeli makanan di luar dan situasi-situasi kecemasan lain. Asingkan simpanan sebanyak RM 500 atau lebih dan hanya gunakan jika berlaku kecemasan ke atas diri anda.
Jika anda masih mempunyai wang lebihan, anda boleh laburkan wang anda di instrumen pelaburan yang berisiko rendah seperti ASB dan Tabung Haji. Pelaburan di dua tempat ini adalah selamat dan sesuai untuk anda.
Pilihan pelaburan lain adalah seperti emas, saham dan matawang kripto. Pelaburan emas berisiko rendah, namun pulangannya juga rendah berbanding ASB atau Tabung Haji. Pelaburan saham dan matawang kripto pula berisiko tinggi dan perlu ilmu yang cukup. Jika anda melabur di saham yang betul, atau pada matawang kripto yang kukuh, pulangan anda juga tinggi.
Bagi pelajar seperti anda, melaburlah untuk jangka masa panjang. Jika anda di tahun pertama dan konsisten melabur, insya-Allah pelaburan anda akan memberikan pulangan yang baik setelah anda bergraduasi.

Sumber Kewangan Lain
Jika elaun pendidikan anda cukup untuk menampung keperluan anda, apa yang perlu dilakukan?
Ada pelbagai sumber kewangan lain yang anda boleh manfaatkan. Sebagai pelajar IPT, anda boleh bekerja sebagai tutor pada waktu malam dan hujung minggu. Iklankan servis tutor anda kepada ibu bapa di kawasan berdekatan IPT anda. Anda juga boleh menyertai program sukarelawan yang memberikan elaun dan pengalaman kepada diri anda.
Program-program anjuran IPT atau persatuan, biasanya akan disediakan makan minum kepada peserta. Jika yuran program bersesuaian, atau percuma, anda boleh sertai program-program ini untuk jimatkan lagi perbelanjaan anda di samping melatih kemahiran insani.
Jika berkelayakan, anda boleh memohon bantuan zakat negeri, atau zakat universiti. Cari bantuan-bantuan yang diberikan oleh pihak universiti. Jika memerlukan, manfaatkan ‘foodbank’ yang ada untuk diri anda.
