UMUM

01-APR-2021

Jenis-Jenis Pelabur dalam Pasaran Saham


 


Dalam dunia pelaburan saham ni, bukan satu cara saja yang kita boleh guna untuk jana pendapatan. Ada banyak cara pelaburan yang masing-masing cara ini mempunyai pendekatan, kelebihan dan kekurangan tertentu. Setiap strategi yang pelbagai ini boleh dijadikan pilihan untuk pelbagai jenis pelabur yang masing-masing mempunyai kemampuan risiko, tahap modal, komitmen masa dan tahap ilmu tersendiri.

Pelabur Nilai

value investing thumbnail

Pelabur nilai atau value investor membeli saham di bawah nilai instrinsik. Suatu saham itu dikaji menggunakan analisa fundamental dengan mendalam. Dari kajian ini, nilai intrinsik atau nilai sebenar sesuatu saham boleh dikenalpasti. Jika harga itu lebih rendah dari harga pasaran, maka itu adalah posisi masuk dan jika sebaliknya, posisi keluar. Pelabur yang menggunakan strategi value investing biasanya merupakan pelabur jangka panjang.

Sesuatu saham itu boleh berada di bawah atau atas nilai instrinsik kerana reaksi pasaran yang berlebihan terhadap sesebuah berita baik atau buruk. Reaksi berlebihan ini menyebabkan harga sesuatu saham itu tidak lagi mencerminkan fundamental sebenar.

Antara pelabur yang terkenal menggunakan strategi value investing adalah seperti Warren Buffett. Beliau dikenali sebagai seorang yang rajin membaca. Dengan pembacaan yang konsisten inilah satu gambaran yang menyeluruh boleh dibina terhadap sesuatu saham itu. Namun, sekiranya kita lihat sikap yang selalu diamalkan oleh Warren Buffett, kita akan faham bahawa ia bukanlah satu usaha yang mudah.

Pelabur Momentum

d&o momentum trading

Ada pelabur lebih gemar pegang saham sekejap sahaja. Pegangan jangka masa panjang perlukan komitmen, katanya. Tak ada masalah. Ada juga teknik saham yang berasaskan pergerakan harga dan volume saham dalam waktu singkat. Idea di sebalik teknik ini adalah sekiranya ada tekanan yang kuat di sebalik pergerakan harga, ia akan terus bergerak dalam arah yang sama. Dalam erti kata lain, kalau ada tekanan yang kuat ke arah kenaikan harga, ia berkemungkinan akan menyambung pergerakan menaik itu.

Seperti yang disebut tadi, pelabur jenis ini kebiasaannya hanya memegang saham ini dalam tempoh yang singkat. Namun, ia juga bergantung pada sejauh mana kekuatan pergerakan itu boleh kekal. Tempoh ini boleh jadi sependek beberapa saat hingga berhari-hari. Namun, pelaburan seperti ini juga boleh jadi berisiko sekiranya anda belum mahir mencari posisi masuk dan keluar.

Pelabur IPO

Jenis pelabur IPO ini tidaklah dianggap sebagai satu jenis yang wujud dalam waktu kebiasaan. Namun, kita dapat lihat baru-baru ini, Bursa sentiasa mengeluarkan IPO baru selepas penyenaraian IPO sebelumnya. Kenapa nak jadi pelabur IPO? Berdasarkan statistik, sekiranya anda jual semua saham IPO yang baru tersenarai pada harga buka, anda akan dapat 40% purata pulangan pelaburan. Sekiranya anda takut untuk kekal dalam pasaran saham, mungkin anda boleh pertimbangkan strategi ini.

Secara teori, pelaburan saham dengan hanya mengharap kepada IPO akan bergantung kepada nasib. Seorang pelabur itu hanya akan berjaya memiliki saham IPO sekiranya berjaya mendapat cabutan saham. Pun begitu, peluang untuk memiliki saham IPO ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya memohon bilangan lot IPO yang lebih banyak.

Itu pun, masih terdapat beberapa lagi ketidaktentuan. Antaranya, adakah trend permohonan IPO baru selepas penyenaraian IPO sebelum ini akan kekal? Permohonan IPO boleh mengambil masa yang lama. Sekiranya pasaran saham menjadi rancak sementara anda menunggu keputusan IPO, anda akan ketinggalan kerana modal yang masih menunggu permohonan.

bursa profile pic

Pelabur Growth

Semua pelabur tentunya suka melihat perkembangan pendapatan dan prospek pada syarikat yang dilaburkan. Namun, pernyataan ini lebih rapat lagi menggambarkan pelabur jenis growth. Sekiranya sesebuah syarikat melalui fasa perkembangan yang drastik, saham syarikat boleh naik dalam corak yang agresif. Jika menilai semula harga saham syarikat, kita boleh lihat nisbah PE yang tinggi dan tak masuk akal.

Kebiasaannya pelabur akan menganggap saham dengan nisbah PE yang tinggi ini sebagai mahal berbanding harga sebebar. Namun, pelabur growth yang meyakini arah tuju syarikat akan anggap ini sebagai peluang keemasan.

kpower profile pic

Pelabur dividen

Ada pula pelabur yang melabur untuk mendapat dividen. Labur sekali, duduk sahaja. Sampai masa, dapat dividen. Satu perkara yang boleh membangkitkan kemarahan atau kekecewaan pelabur seperti ini ialah sekiranya dividen diumumkan rendah. Dari duduk tunggu dividen, terus terbangun, sertai AGM dan tanya pihak pengurusan "kenapa dividen rendah?". Kebanyakan masa, pelabur juga harus faham bahawa dalam perniagaan ini, ada ombak dan bayunya.

Untuk dapatkan nilai dividen yang tinggi bagi setiap sen yang kita belanjakan, boleh lihat pada syarikat yang mempunyai Dividend Yield yang tinggi. Pun begitu, tak semestinya nilai ini akan sentiasa sama dalam masa akan datang. Namun, anda boleh cari syarikat yang selalu berikan dividen di screener percuma ini. Untuk dapatkan dividen yang tinggi pula, dah tentu kita perlukan modal yang besar juga. Pelaburan dividen ini juga lebih sesuai untuk pelaburan jangka masa panjang.

timecom profile pic

Pelabur Hybrid

Pelabur Hybrid ini kedengaran seperti sesuatu yang berevolusi. Dan benar, ianya suatu pelaburan yang dibantu oleh sistem yang teratur untuk memudahkan kita membuat keputusan pelaburan. Bagaimana kita nak dapatkan sistem yang teratur ini? Caranya ialah dengan bantuan teknologi dan data. Di iSaham, kita ada pelbagai screener yang masing-masing dibina berasaskan kriteria tersendiri. Ianya boleh digunakan untuk pelbagai jenis pelabur termasuk semua yang disebut di atas tadi.

hybrid trading webinar iSaham 2021

Pada ketika ini, anda boleh sertai kelas Webinar Hybrid Trader iSaham 2021 yang ditaja oleh Bursa Malaysia-i. Ini adalah siri kelas asas yang membincangkan asas saham, asas analisis teknikal dan juga fundamental. Dalam kelas ini, kami terapkan bagaimana anda boleh gunakan bantuan teknologi dari iSaham untuk membantu anda melabur. Sesi ini akan diadakan pada setiap minggu selagi kuota tajaan Bursa Malaysia-i masih ada. Anda boleh tekan link ini untuk pendaftaran (sama dengan link di atas tadi). Untuk mengikuti perkembangan kelas-kelas yang kami adakan, boleh ikuti di link isaham.my/events.

Kesimpulan

Setiap jenis pelabur mempunyai perangai dan cara sendiri untuk melabur. Ada yang boleh terima kerugian yang besar dengan melihat ke arah potensi keuntungan yang lebih tinggi. Ada yang inginkan satu pelaburan yang tak memeningkan dan tak perlukan komitmen yang banyak untuk memantau hasil pelaburan. Semua ini boleh dicapai dengan menimba ilmu yang betul dan konsisten memperkasakan diri untuk pelaburan yang lebih baik.


< kembali ke laman blog utama