IPO

1-DEC-2022

ITMAX - Mengembangkan Aplikasi Bandar Pintar dengan Dana IPO


 


IPO ITMAX

ITMAX System Berhad (ITMAX) terlibat dalam perniagaan pembekalan dan pemasangan serta penyediaan sistem rangkaian ruang awam. STS, anak syarikat yang dicadangkan bagi ITMAX pula terlibat dalam penyelidikan & pembangunan sistem dan perisian aplikasi, reka bentuk dan pemasangan pengawal, pembekalan dan pemasangan sistem pengurusan trafik berangkaian, serta menyediakan perkhidmatan yang dipajak dan diuruskan bagi sistem pengawasan dan analisis video.

Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 1.07
Status syariah:
Disahkan syariah oleh SAC
Pasaran:
Utama
Permodalan pasaran:
RM 1.10 bilion
Nisbah PE:
37.7
Permohonan ditutup:
1 Disember 2022
Cabutan saham:
5 Disember 2022
Tarikh penyenaraian:
13 Disember 2022

Perniagaan ITMAX

Syarikat ini telah diperbadankan pada 9 April 2001 sebagai syarikat persendirian dibawah nama Alfaville (M) Sdn Bhd. Kemudian, ia menukar nama menjadi ITMAX System Sdn Bhd pada 26 Oktober 2001. Syarikat ini kemudian ditukarkan menjadi syarikat awam pada 29 Jun 2022.

Struktur syarikat selepas disenaraikan adalah seperti berikut:

Struktur syarikat
Sumber: Prospektus IPO

ITMAX terlibat dalam perniagaan membekal, memasang, serta menyediakan sistem rangkaian ruang awam. Manakala anak syarikat tunggal mereka, STS pula terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan sistem dan perisian aplikasi, reka bentuk dan pemasangan pengawal, pembekalan dan pemasangan sistem pengurusan trafik rangkaian, dan menyediakan perkhidmatan pajakan dan pengurusan sistem pengawasan dan analisis video.

Rajah berikut menggambarkan model perniagaan ITMAX:

Model perniagaan ITMAX
Model perniagaan syarikat

Prestasi kewangan ITMAX

Dari tahun 2019 sehingga tahun 2021, syarikat ITMAX mencatatkan keuntungan yang konsisten iaitu dengan peningkatan daripada RM 37.2 juta pada tahun 2019 kepada RM 79.8 juta pada tahun kewangan 2021 iaitu dengan kenaikan sebanyak 46.4%. Untung kasar syarikat juga meningkat iaitu daripada 18.4% pada tahun kewangan 2019 kepada 52.9% dan 66.9% pada tahun kewangan 2020 dan 2021.

Kebanyakan pembekalan dan pemasangan sistem rangkaian ruang awam adalah berdasarkan kontrak sekaligus. Oleh itu, ITMAX harus mencari projek baru untuk mengembangkan pesanan.

Prestasi kewangan syarikat

Pendapatan syarikat ITMAX datang daripada 2 aktiviti perniagaan utama iaitu:

  1. Pembekalan dan pemasangan sistem rangkaian
  2. Penyediaan kemudahan rangkaian

Pendapatan syarikat mengikut segmen adalah seperti di bawah:

Prestasi kewangan mengikut segmen

Rajah di atas menunjukkan bahawa majoriti pendapatan syarikat datang daripada segmen pembekalan dan pemasangan sistem rangkaian awam. Namun, bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2022, segmen pembekalan dan pemasangan sistem rangkaian hanya merangkumi 34.4% daripada pendapatan syarikat. Sementara itu, hasil daripada penyediaan kemudahan rangkaian pula meningkat sebanyak 63.8%, iaitu sebanyak RM 26.0 juta.

Selain itu, ITMAX juga menawarkan produk-produk berkaitan yang melengkapkan segmen utama perniagaan mereka. Ini termasuk jualan pengawalan trafik serta bekalan UPS yang diperoleh daripada pihak ketiga. Untuk 30 Jun 2022, hasil daripada segmen ini menyumbang RM0.7 juta (1.8%) daripada hasil pendapatan syarikat.

Pelanggan utama syarikat

Sehingga tempoh kewangan 30 Jun 2022, ITMAX mempunyai lima pelanggan utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan syarikat. Daripada lima pelanggan tersebut, pendapatan daripada kontrak bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) merekodkan jumlah yang tertinggi iaitu sebanyak RM 23.1 juta (62.2%), RM 28.9 juta (60.7%), RM 58.4 juta (73.2%) dan RM 38.5 juta (94.5%) bagi pendapatan bagi tahun kewangan 2019, 2020, 2021 dan tempoh kewangan sehingga 30 Jun 2022.

Berikut merupakan senarai pelanggan utama ITMAX untuk tempoh kewangan 2022:

Senarai pelanggan utama syarikat

Kelebihan daya saing

Syarikat ITMAX terlibat dalam perniagaan pembekalan dan pemasangan serta penyediaan ruangan sistem rangkaian awam. Manakala anak syarikat tunggal mereka, iaitu STS terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan mengenai sistem dan perisian aplikasi, reka bentuk dan pemasanganan pengawalan, pembekalan dan pemasangan sistem pengurusan trafik rangkaian, dan menyediakan perkhidmatan yang dipajak dan diuruskan bagi sistem pengawasan dan analitik video.

Antara kelebihan syarikat ini ialah mereka membangunkan dan mereka bentuk sistem pengawasan video, pencahayaan dan pengurusan trafik rangkaian secara dalaman yang terus berfungsi sebagai platform untuk pengembangan dan pertumbuhan perniagaan. Model perniagaan syarikat ini adalah berdasarkan dua segmen utama yang menyediakan hasil berasaskan projek dan hasil berulang yang memberikan jaminan hasil sepanjang tempoh kontrak tersebut.

Selain itu, mereka juga mempunyai rangkaian kawasan metropolitan persendirian di Kuala Lumpur untuk menyokong sistem rangkaian ruang awam dan seterusnya menyediakan peluang perniagaan pada masa hadapan.

Tambahan lagi, ITMAX juga mempunyai rekod prestasi yang bagus selama sembilan tahun sebagai pembekal sistem rangkaian di ruang awam.

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

Sebahagian besar pendapatan syarikat diperoleh daripada kerja dan perkhidmatan yang diberikan kepada DBKL. Pendapatan daripada DBKL merangkumi RM 23.1 juta (62.2%), RM 28.9 juta (60.7%), RM 58.4 juta (73.2%) dan RM 38.5 juta (94.5%) bagi pendapatan bagi tahun kewangan 2019, 2020, 2021 dan tempoh kewangan sehingga 30 Jun 2022.

Oleh itu, sekiranya ITMAX kehilangan DBKL sebagai pelanggan, ia boleh menjejaskan perniagaan syarikat, hasil operasi dan keadaan kewangan syarikat. Seandainya perkara ini berlaku, ITMAX perlu mendapatkan kontrak baharu dengan pelanggan sedia ada dan/atau pelanggan baharu untuk menggantikan kehilangan hasil daripada DBKL.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima daripada IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Perluasan aplikasi bandar pintar 85 41.7
Perluasan keupayaan penyelidikan dan pembangunan 12.5 6.1
Mengembangkan perniagaan ke dalam pasaran perusahaan 20 9.8
Perluasan infrastruktur rangkaian dan telekomunikasi 39.5 19.4
Modal kerja 29.078 14.3
Pembayaran semula pinjaman 8 3.9
Perbelanjaan penyenaraian IPO 9.814 4.8
Jumlah 203.892 100

 

Majoriti dana akan digunakan untuk tujuan pengembangan perniagaan. Dana terbesar iaitu sebanyak RM 85 juta (41.7%) daripada dana IPO akan digunakan untuk tujuan perluasan aplikasi bandar pintar kepada kerajaan tempatan lain, kementerian persekutuan, dan pelanggan sedia ada. ITMAX merancang untuk melabur ke dalam jenis sistem rangkaian ruang awam, infrastruktur, sumber dan kemudahan yang berkaitan.

Selain itu, sebanyak RM 12.5 juta dana pula akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan dengan mengembangkan kumpulan penyelidikan dan menyediakan makmal ujian yang baru. Manakala sejumlah RM 20 juta dan RM 39.5 juta masing-masing akan digunakan untuk tujuan pengembangan perniagaan ke dalam pasaran perusahaan dan juga meluaskan infrastruktur rangkaian dan telekomunikasi.

Baki dana pula akan digunakan untuk modal kerja (14.3%), pembayaran semula pinjaman (3.9%) dan juga perbelanjaan untuk penyenaraian IPO (4.8%).

Analisis perniagaan dan industri

ITMAX System Berhad bersama anak syarikatnya, terlibat dalam sistem rangkaian ruang awam yang memfokuskan pada pencahayaan, pengurusan trafik dan pengawasan video, serta perkhidmatan rangkaian komunikasi, yang merupakan sebahagian daripada infrastruktur bandar pintar. Syarikat ITMAX terlibat dalam beberapa inisiatif bandar pintar di Kuala Lumpur.

Industri sistem rangkaian ruang awam

Bandar pintar

Bandar pintar merujuk kepada kawasan perbandaran yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemajuan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran yang mampan dan selamat, dan menggalakkan amalan pengurusan bandar yang cekap.

Kumpulan ITMAX terlibat dalam Kehidupan Pintar (Smart Life) dengan kemudahan pengawasan video rangkaiannya di bawah pengawasan pintar dan projek televisyen litar tertutup (CCTV), Persekitaran Pintar (Smart Environment) dengan sistem lampu rangkaiannya dengan penggabungan lampu LED, Kerajaan Pintar (Smart Government) dengan sistem dan platform rangkaian di bawah projek pusat operasi bersepadu, Mobiliti Pintar (Smart Mobility) dengan sistem pengurusan trafik rangkaiannya dan Infrastruktur Digital Pintar (Smart Digital Infrastructure) dengan rangkaian gentian optik di Kuala Lumpur.

Rajah di bawah menunjukkan inisiatif bandar pintar.

Sistem rangkaian di ruang awam

Sistem rangkaian dibina daripada berbilang komponen pengkomputeran, disambungkan melalui pelbagai sistem penghantaran melalui rangkaian berwayar atau tanpa wayar.

ITMAX terlibat dalam rangkaian pencahayaan, pengurusan trafik, sistem video pengawasan dan mempunyai rangkaian gentian optik telekomunikasi serta menara telekomunikasi dan monopol.

Rajah di bawah menunjukkan contoh beberapa sistem rangkaian di ruang awam.

Prestasi ekonomi digital Malaysia

Malaysia Digital Economy (MyDIGITAL) telah dilancarkan pada 19 Febuari 2021 untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang dipacu secara digital, berpendapatan tinggi dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia meningkat pada tahun 2017 sehingga 2021, iaitu sebanyak 9.4%. Malah, pada tahun 2021, sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 12.1%, mewakili 23.2% daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, yang mana 60.4% disumbangkan oleh industri ICT, dan baki 39.6% diambil kira oleh e-dagang daripada industri lain.

Persaingan

Sebanyak 30 ahli yang berdaftar di bawah Malaysia Smart Cities Alliance Association (MSCA). Ahli MSCA terdiri daripada para akademik, badan kerajaan serta pemain industri. Namun, bukan semua operator terlibat dalam projek pembangunan bandar pintar yang berdaftar di bawah MSCA.

Senarai syarikat pembekal sistem rangkaian ruang awam di Malaysia adalah seperti berikut:

Senarai pesaing utama syarikat

Perbincangan

Secara keseluruhannya, syarikat ITMAX menunjukkan peningkatan pendapatan yang memberangsangkan dari tahun 2019 sehingga tahun 2021. Peningkatan ini adalah atas perniagaan berterusan daripada pelanggan-pelanggan utama syarikat, terutamanya daripada DBKL. Pada tahun 2021, pendapatan daripada DBKL sahaja merangkumi 73.2% pendapatan keseluruhan syarikat.

Oleh kerana itu, sekiranya DBKL tidak lagi menjadi pelanggan ITMAX, kewangan syarikat akan terjejas. Namun begitu, jenis perniagaan seperti ini tidak boleh diubah dalam sekelip mata. Ini kerana, pembinaan semula bandar pintar ini memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga tahun ke atas. Disebabkan itu, terdapat kebergantungan dua hala antara DBKL dan syarikat ITMAX.

Sebahagian besar dana IPO pula akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan syarikat, iaitu dengan 41.7% daripada dana akan digunakan untuk meluaskan aplikasi bandar pintar. Walau bagaimanapun, mereka perlu membuktikan keberkesanan perancangan mereka apabila disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia tidak lama lagi.


< kembali ke laman blog utama