UMUM

10-MAY-2021

Istilah Berkaitan Syarikat dan Pengambilalihan


 


Dalam berita syarikat, adakalanya kita akan terjumpa istilah-istilah yang agak misteri seperti M&A, MTO, SPAC dan lain-lain. Dalam tema istilah saham kali ini, kita akan lihat sebutan yang melibatkan istilah syarikat dan pengambilalihan. Semoga lepas ni kalau nak baca berita, semuanya menjadi lebih terang dan jelas.

1. Parent Company

istilah parent company

Parent Company bermaksud syarikat induk. Dalam struktur organisasi, sebuah syarikat induk boleh mempunyai beberapa syarikat lagi di bawahnya. Syarikat induk ini mempunyai kuasa tertinggi terhadap anak syarikatnya. Istilah ini juga boleh digantikan dengan holding company atau syarikat pemegang.

2. Subsidiary

istilah subsidiary company

Subsidiary merujuk kepada anak syarikat. Secara teknikal, sesebuah anak syarikat perlu dimiliki sekiranya sekurang-kurangnya 50% oleh syarikat induk untuk dikenalpasti dengan istilah ini. Dalam kes milikan 100% oleh syarikat induk, anak syarikat tersebut dikenali sebagai milikan penuh atau wholly owned subsidiary.

3. Associate Company

istilah associate company

Dalam milikan syarikat sekutu, sebuah syarikat induk memiliki suatu bahagian besar dalam syarikat, tetapi bukan pegangan majoriti. Saiz pegangan ini kebiasaannya sebesar 20% hingga 49%.

4. Joint Venture

istilah joint venture

Dalam sebuah usaha sama, dua syarikat atau lebih berganding usaha dengan berkongsi milikan, sumber, risiko dan pengurusan. Kebiasaannya, sebuah entiti baru akan ditubuhkan bagi mewakili operasi usaha sama tersebut.

5. Nominee Company

istilah parent company

Sebuah syarikat penama biasa ditubuhkan bagi tujuan pegangan aset seperti saham atau bon sebagai wakil kepada pemilik sebenar. Antara tujuan menggunakan syarikat penama ini adalah untuk kerahsiaan. Orang kata, diam-diam ubi berisi. Tengok orang namanya tak terkenal, tapi rupanya beli saham guna akaun nominee.

6. SPV

istilah spv special purpose vehicle

Special Purpose Vehicle atau disebut juga Special Purpose Entity boleh ditubuhkan oleh individu, syarikat, gabungan individu dan syarikat ataupun kerajaan. Tujuan syarikat atau individu menggunakan SPV adalah untuk mengasingkan struktur kewangan dari entiti asal. Kita juga boleh lihat SPV ini sebagai entiti pegangan saham bagi individu atau syarikat. Dalam Bahasa Melayu, kita boleh sebut SPV ni sebagai syarikat tujuan khas atau entiti tujuan khas.

7. SPAC

istilah spac special purpose acquisition company

Berbeza dengan SPV, SPAC atau Special Purpose Acquisition Company merupakan sebuah syarikat kerangka yang tidak mempunyai apa-apa perniagaan khusus kecuali untuk membeli dan menjual syarikat persendirian. SPAC atau syarikat tujuan khas pengambilalihan adalah satu cara lain sebuah syarikat persendirian menghala ke arah IPO.

Pada mulanya, IPO akan diterbitkan bagi SPAC untuk membangunkan dana pengambilalihan syarikat. Apabila SPAC mengenalpasti dan seterusnya membuat pengambilalihan, syarikat tersebut akan menjadi syarikat tersenarai awam di bawah SPAC. Secara ringkas, bagi syarikat persendirian tersebut, perjalanan IPO mereka adalah melalui pengambilalihan oleh SPAC.

Pada tahun 2020, pelaburan SPAC di Amerika menunjukkan angka yang memberangsangkan.

8. Friendly Takeover

istilah friendly takeover

Pengambilalihan yang mesra atau bersefahaman berlaku apabila pihak pemilik syarikat memberikan kerjasama yang baik kepada pihak pemeroleh untuk mengambilalih syarikat.

9. Mandatory General Offer

istilah mandatory general offer

Apabila seseorang individu atau sesebuah organisasi memperoleh 33% pegangan saham hingga 50% ke atas syarikat, MGO akan dibangkitkan. Dalam MGO atau Tawaran Umum Wajib ini, Bursa Malaysia akan bertanya kepada pihak pemeroleh sama ada ingin memperoleh baki saham yang ada dalam syarikat.

10. Mandatory Takeover Offer

istilah mandatory takeover offer

Apabila seseorang individu atau sesebuah organisasi memperoleh pegangan yang besar dalam syarikat, Mandatory Takeover Offer (MTO) atau Tawaran Pengambilalihan Wajib akan dibangkitkan. MTO dibangkitkan bagi mewujudkan suasana yang adil bagi pemegang saham sedia. Dalam kes MTO, suatu harga akan diletakkan untuk pengambilalihan syarikat, dan pemegang saham sedia ada boleh pilih untuk menolak atau menerima cadangan harga melalui undian.

11. Hostile Takeover

istilah hostile offer

Sesebuah pengambilalihan syarikat boleh juga berlaku dalam keadaan yang tidak mesra atau berseteru. Dalam kes ini, pengambilalihan syarikat tidak dipersetujui pihak pemilik. Namun, pihak pemeroleh tetap berusaha meningkatkan pegangan saham dalam syarikat supaya mendapat pegangan kawalan ke atas syarikat.


< kembali ke laman blog utama