Butiran IPO
TechStore Berhad akan disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Februari 2025. Berdasarkan prospektus syarikat, melalui penyenaraian ini, sebanyak 125 juta saham baharu akan diterbitkan dan 25 juta saham sedia yang ada akan dibahagikan kepada beberapa kategori. Sebanyak 25 juta saham akan diagihkan kepada umum manakala 62.5 juta saham akan diagihkan kepada pelabur Bumiputra melalui tawaran MITI. 37.5 juta saham pula untuk pelabur terpilih melalui tawaran persendirian. Baki sebanyak 25 juta saham akan dikhususkan untuk pengarah dan pekerja syarikat TechStore yang layak. Securities Commision turut mengesahkan syarikat ini berstatus patuh Syariah dan syarikat ini ditawarkan pada harga RM0.20 seunit.
Latar Belakang Syarikat
TechStore memulakan operasi sejak tahun 2011 apabila syarikat ini ditubuhkan oleh Tan Hock Lim, Petr Obsel dan beberapa pihak ketiga lain. TechStore Berhad menyediakan perkhidmatan IT perusahaan, terutamanya dalam bidang keselamatan IT dan penyelesaian automasi bagi menyokong operasi pelanggannya. Selain itu, syarikat ini turut menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan untuk penyelesaian IT serta perdagangan perkakasan dan perisian. Pelanggan syarikat TechStore merangkumi dari pelbagai sektor seperti industri pengangkutan, logistik, dan hospitaliti sama ada dari korporat atau agensi kerajaan.
Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut:
Prestasi Kewangan
Berdasarkan laporan kewangan yang dikeluarkan dalam prospektus syarikat, prestasi kewangan TechStore dinilai agak baik dengan berjaya membuat peningkatan dari segi pendapatan untuk FYE2021 hingga FYE2023 iaitu dari sekitar RM29 juta kepada RM62 juta. Pendapatan terkini iaitu FPE2024 juga lebih baik berbanding FPE tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, jika dilihat dari segi margin keuntungan bersih syarikat, terdapat sedikit kejatuhan iaitu dari 23 peratus pada FYE2021 kepada 12.4 peratus pada FYE2023.
Dari segi perbandingan aset dan liabiliti, kedua-dua indikator ini menunjukkan tren peningkatan. Untuk FPE2024, jumlah aset syarikat berada pada RM102 juta manakala liabiliti RM67 juta. Ini bermakna ratio hutang syarikat berada pada 1.5 iaitu sedikit berisiko. Berlaku sedikit penurunan untuk wang tunai syarikat iaitu RM15 juta pada FPE2024 berbanding RM18 juta pada FPE2024. Hutang jangka masa panjang juga menunjukkan kenaikan mendadak iaitu dari RM3.99 juta pada FPE2023 kepada RM31.3 juta disebabkan penyedian fasiliti pinjaman untuk projek dengan salah satu agensi kerajaan yang menyebabkan TechStore perlu menyediakan modal permulaan bagi projek tersebut. Agensi ini akan membuat pembayaran semula melalui sewa bulanan sebanyak 60 bulan ansuran, dan kutipan tersebut akan digunakan untuk bayaran ansuran pinjaman serta akan memberikan aliran tunai bersih positif kepada TechStore.
Salah satu berita positif tentang kewangan TechStore ialah nilai order book syarikat yang kini berjumlah RM104 juta. Jumlah ini akan direalisasikan dalam pendapatan syarikat sehingga tahun 2029,dengan sebahagian besarnya pada tahun ini iaitu sekitar RM53.6 juta. Syarikat juga dalam usaha untuk mendapatkan beberapa tender projek dengan nilai kesemuanya mencecah RM647.2 juta.
Penggunaan Dana
Berdasarkan prospetus syarikat, melalui penyenaraian ini, TechStore dijangka menerima dana sebanyak RM25 juta yang akan digunakan seperti berikut:
1. RM11.48 juta/45.90%- Dana kerja
Majoriti dana akan digunakan untuk dana kerja seiring dengan perkembangan syarikat. Sebanyak RM8 juta akan digunakan untuk menyediakan tender bon bagi projek-projek akan datang manakala RM3.48 juta akan digunakan untuk kos berkaitan pekerja seperti gaji, bonus dan lain-lain.
2. RM5 juta/20%- Membayar Sebahagian Pinjaman
Sebanyak RM5 juta akan digunakan untuk membayar sebahagian pinjaman yang sebelum ini digunakan untuk membayar dana kerja dan juga pembelian hartanah. Dengan pembayaran ini, TechStore dijangka menerima penjimatan kadar faedah sebanyak RM300 ribu setahun.
3. RM2.718 juta/10.9%- Pengambilan Pekerja
Seiring dengan rancangan pengembangan syarikat, terdapat keperluan untuk menambah jumlah pekerja di bahagian business development. Dalam rancangan syarikat, jumlah pekerja untuk team ini akan meningkat dari 6 kepada 18 pekerja.
4. RM2.302 juta/9.2%- Modal perbelanjaan
TechStore juga akan menggunakan dana sebanyak RM2 juta bagi pembelian beberapa peralaltan, komputer dan perkakasan IT. Syarikat ini turut bercadang untuk menyediakan sebuah pejabat cawangan baru di Johor Bahru.
5. RM3.5 juta/14%- Kos penyenaraian
Industri & Bisnes
TechStore Berhad beroperasi dalam industri perkhidmatan teknologi maklumat dengan servis yang ditawarkan syarikat merangkumi penyediaan sistem keselamatan IT, penyelesaian automasi, perkhidmatan sokongan, penyelenggaraan serta perdagangan perkakasan dan perisian IT. Perkhidmatan ini disediakan kepada pelanggan dari pelbagai sektor iaitu pengangkutan, pendidikan, perhotelan, logistik, perbankan dan lain-lain.
Contoh servis yang ditawarkan syarikat TechStore:
Prestasi Industri
Berdasarkan laporan IMR yang dikeluarkan oleh Protege, keseluruhan industri ICT di Malaysia mencapai nilai RM251.95 bilion pada tahun 2023. Manakala untuk pecahan industri servis teknologi maklumat di Malaysia menunjukkan perkembangan dengan nilai industri ini meningkat dari RM19.95 bilion pada tahun 2021 kepada 21.93 bilion pada 2023. Menurut jangkaan, industri ini akan berkembang dengan kadar 6.5% kepada RM28.80 bilion menjelang tahun 2028. Terdapat beberapa faktor yang mendorong perkembangan industri ini antaranya perkembangan teknologi rangkaian 5G dan teknologi kewangan (Fintech) di Malaysia.
Antara pemain-pemain dalam industri ICT:
Perbincangan
Sebagai rumusan, TechStore merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam menyediakan servis IT. Perkhidmatan syarikat ini termasuk, penyediaan sistem keselamatan IT, penyelesaian automasi, dan perkhidmatan sokongan. Prestasi kewangan syarikat ini juga agak baik dengan pendapatan sentiasa meningkat setiap tahun di samping nilai orderbook yang mencecah RM104 juta. Melalui penyenaraian ini, TechStore akan menggunakan majoriti dari dana untuk dana kerja bagi projek-projek yang akan datang.