IPO

29-SEP-2022

IPO Sunview - Dana untuk Mengembangkan Perniagaan Solar


 


Sunview Group, melalui anak-anak syarikatnya terlibat dalam servis EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan), pembinaan dan pemasangan fasiliti fotovoltan solar. Selain itu, mereka juga terlibat dalam operasi penjanaan dan pembekalan tenaga solar termasuk dengan penyediaan perkhidmatan berkaitan.

Butiran IPO syarikat ini adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.29
Status syariah:
Dinilai syariah
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 135.72 juta
Nisbah PE:
15.27
Permohonan ditutup:
30 September 2022
Cabutan saham:
4 Oktober 2022
Tarikh penyenaraian:
17 Oktober 2022
 

Perniagaan Sunview Group Berhad

Syarikat ini telah diperbadankan pada 25 Mei 2021 sebagai sebuah syarikat sendirian berhad di bawah nama Sunview Group Sdn Bhd dan ditukarkan kepada syarikat awam berhad pada 24 Disember 2021. Struktur syarikat adalah seperti berikut:

Struktur Syarikat

Sumber: Prospektus IPO

Sunview Group melalui anak-anak syarikatnya terlibat dalam tiga jenis operasi utama iaitu:

  1. EPCC untuk PV solar dan fasiliti tenaga boleh diperbaharui, pembinaan dan pemasangan panel solar termasuk penyediaan servis berkaitan
  2. Penjanaan dan pembekalan tenaga solar
  3. Penyediaan peralatan dan sistem berkaitan kejuruteraan solar

Model perniagaan syarikat Sunview adalah seperti berikut:

 

Model Perniagaan Sunview

Model perniagaan Sunview Group

Pada tahun kewangan berakhir 2022, majoriti pendapatan syarikat diperoleh dari segmen EPCC fasiliti solar. Segmen ini menyumbang sebanyak RM 75.17 juta atau 75.73% daripada pendapatan keseluruhan syarikat. 

Terdapat dua jenis kerja EPCC yang dijalankan oleh Sunview Group iaitu fasiliti PV solar di atas bumbung dan di atas tanah. Untuk tahun 2022, kontrak kerja EPCC untuk fasiliti PV solar di atas tanah ialah penyumbang majoriti terhadap pendapatan syarikat dengan nilai RM 44.25 juta atau 44.59%.

Pecahan pendapatan berkaitan EPCC adalah seperti berikut:

 

Segmen Solar
Pecahan pendapatan segmen EPCC mengikut jenis PV solar

Prestasi kewangan

Sunview Group Berhad menunjukkan pendapatan yang menaik dari tahun kewangan 2019 hingga 2022. Maklumat yang lebih terperinci adalah seperti di bawah:

Pendapatan mereka meningkat sebanyak 366.73% iaitu daripada RM 5.65 juta pada tahun 2019, menjadi RM 26.38 juta pada tahun 2020. Setiap segmen perniagaan Sunview membuat pertambahan hasil pendapatan berikutan inisiatif daripada kerajaan yang mula menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui rancangan Pemetaran Tenaga Bersih (NEM 2.0).

Sunview Group menyambung kenaikan pendapatan sebanyak 64.28% iaitu daripada RM 26.38 juta pada tahun 2020 kepada RM 43.33 juta pada tahun 2021. Majoriti kenaikan ini disumbang oleh penyiapan kerja-kerja EPCC untuk fasiliti solar di beberapa lokasi yang berlainan seperti Melaka, Pahang dan Shah Alam.

Pada tahun 2022 pula, Sunview Group berjaya mencatat pertumbuhan pendapatan sebanyak 129.09% iaitu daripada RM 43.33 juta pada tahun 2021 kepada RM 99.26 juta pada tahun 2022. Kenaikan ini disokong oleh penyelesaian kerja-kerja berkaitan EPCC untuk projek solar berskala besar (LSS) peringkat 1 hingga 4.

 

Prestasi Kewangan

Prestasi kewangan Sunview Group

Pendapatan syarikat Sunview Group dibahagikan kepada 4 segmen iaitu EPCC, pembinaan dan pemasangan fasiliti solar, penyediaan perkhidmatan dan peralatan berkaitan solar serta penjanaan dan pembekalan tenaga solar.

Pendapatan syarikat mengikut segmen adalah seperti di bawah:

 

Prestasi kewangan mengikut segmen

Prestasi kewangan mengikut segmen

Jika dilihat pada rajah di atas, majoriti pendapatan adalah dari segmen kejuruteraan EPCC fasiliti solar. Pada tahun 2022 sahaja, segmen ini menyumbang sebanyak RM 75.17 juta atau 75.73% daripada keseluruhan pendapatan syarikat. Ini dibantu oleh penyelesaian kontrak kerja berkaitan projek solar berskala besar (LSS).

Pelanggan utama syarikat

Untuk tahun 2022, Sunview Group mempunyai 5 pelanggan utama yang menyumbang hampir 52.0% kepada keseluruhan pendapatan syarikat. Pelanggan ini terdiri daripada pemilik fasiliti, kontraktor utama dan subkontraktor solar.

Senarai pelanggan Sunview Group untuk tahun 2022 adalah seperti berikut:

Pelanggan Utama Sunview
Sumber: Prospektus IPO

Kelebihan daya saing

Sunview Group mempunyai kepakaran dalam segmen EPCC fasiliti solar. Setakat tahun kewangan berakhir 2022, mereka berjaya menyelesaikan 98 kontrak kerja berkaitan EPCC untuk pemasangan solar berbumbung merangkumi sektor industri, komersial dan bangunan kediaman dengan kapasiti sebanyak 23.08 MWp.

Selain itu, mereka juga berjaya menyiapkan kerja-kerja pembinaan dan pemasangan fasiliti solar untuk 6 projek solar berskala besar (LSS) dengan kapasiti bermula 29.92 MWp hingga 100 MWp sebagai subkontraktor. Projek-projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh yang diberikan tanpa sebarang penangguhan.

Sunway Group berjaya memperoleh 7 kontrak baharu berkaitan projek solar berskala besar tahap 1.0, 2.0 dan 4.0 serta pembekalan tenaga solar melalui program NEDA dengan kapasiti terkumpul sebanyak 178.0 MW. Nilai keseluruhan projek ialah RM 658.04 juta dan dianggarkan siap menjelang tahun 2024.

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

Prestasi perniagaan Sunview Group bergantung kepada keupayaan mereka untuk mendapatkan projek baharu terutamanya yang berkaitan dengan EPCC solar. Kontrak bagi projek solar yang perlu diselesaikan oleh mereka adalah bersifat "one-off" untuk jangka masa pendek hingga sederhana.

Untuk kerja berkaitan EPCC solar berbumbung, tempoh yang diberikan ialah selama 12 bulan dan 18 bulan untuk projek EPCC solar berskala besar. Manakala, untuk kerja-kerja berkaitan pembinaan dan pemasangan fasiliti solar, tempoh yang diperuntukkan ialah hanya 7 bulan. 

Selepas selesai sahaja kontrak tersebut, Sunview Group perlu mendapatkan kontrak baharu melalui aktiviti pembidaan kompetitif bersama pencabar yang lain. Kegagalan untuk memenangi kontrak projek solar baharu akan mengganggu hasil pendapatan mereka.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Modal kerja 20.09 58.72
Pembayaran balik pinjaman bank 7.00 20.46
Pembayaran kos penyenaraian 3.60 10.52
Perbelanjaan modal 1.85 5.42
Pengembangan perniagaan 1.67 4.88
Jumlah 34.22 100.00

Sebanyak RM 20.09 juta bersamaan 58.72% daripada keseluruhan dana akan digunakan untuk tujuan pembiayaan modal kerja. Modal kerja ini merangkumi beberapa bon seperti bon pembinaan, bon bida, bon prestasi dan bon pelaksanaan. Bon ini antaranya berfungsi sebagai instrumen pengurusan risiko dan akan bertindak sebagai penjamin kepada pelaksanaan projek EPCC solar Sunview Group pada masa hadapan.

Sunview Group juga akan membelanjakan RM 7.20 juta atau 21.04% daripada dana IPO untuk tujuan pembelian peralatan baharu berkaitan kerja-kerja EPCC fasiliti solar seperti modul PV solar, inverter solar dan kabel. Dana ini juga akan digunakan untuk menjelaskan bayaran kepada pembekal dan subkontraktor mereka bagi menjamin kelancaran perniagaan pada masa hadapan.

Selain itu, Sunview Group akan menggunakan RM 1.67 juta atau 4.88% daripada dana IPO untuk membangunkan pejabat baharu di Johor. Ini adalah untuk memudahkan pengembangan perniagaan mereka termasuk meningkatkan kedudukan pasaran di wilayah selatan. Mereka juga sedang mengkaji untuk memperluaskan keupayaan EPCC dalam industri biogas dan produk pelengkap.

Analisis perniagaan dan industri Sunview Group

Sunview Group, melalui anak-anak syarikatnya terlibat dalam servis EPCC, pembinaan dan pemasangan fasiliti PV solar termasuk operasi penjanaan dan pembekalan tenaga solar. 

Sumber Tenaga Elektrik di Malaysia

Majoriti tenaga elektrik di Malaysia dihasilkan melalui sumber yang tidak boleh diperbaharui. Pada tahun 2021, sumber ini menyumbang 77% (29,789 MW) manakala sumber yang boleh diperbaharui seperti hidro, solar dan biotenaga hanya menyumbang 23% (8,898 MW) daripada keseluruhan tenaga elektrik yang dijana.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli komited untuk meningkatkan penjanaan tenaga melalui sumber yang boleh diperbaharui di Malaysia. Sumber ini bakal menyumbang sebanyak 31% dan 40% daripada tenaga elektrik yang akan dihasilkan menjelang tahun 2025 dan 2045. Ini memberi peluang perniagaan kepada penyedia perkhidmatan berkaitan solar di Malaysia.

 

Sumber Utama Tenaga Elektrik
Sumber: Prospektus IPO

Di peringkat global pula, tenaga solar telah berkembang pesat untuk menjadi sumber utama tenaga elektrik yang dihasilkan terutamanya di China, Jepun dan India. Kapasiti PV solar yang dipasang di seluruh dunia meningkat dengan CAGR sebanyak 21.3% daripada 395 GW pada tahun 2017 kepada 855 GW pada tahun 2021.

Prestasi industri PV solar

Di Malaysia, kapasiti PV solar meningkat sebanyak 38.3% dan 64.0% untuk tahun 2018 dan 2019. Kenaikan ini disokong oleh pelaksanaan projek solar berskala besar termasuk dengan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM 2.0). Antara tahun 2019 hingga 2021, kapasiti PV solar meningkat dengan CAGR 41.4%. 

Peningkatan kapasiti PV solar di Malaysia ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan di peringkat global dengan CAGR sebanyak 21.3% antara tahun 2019 hingga 2021. Walaupun begitu, dari segi purata, kapasiti PV solar di Malaysia adalah masih rendah dengan nilai 0.05 MW untuk setiap 1000 orang berbanding dengan negara membangun seperti Amerika Syarikat, Jepun dan China dengan nilai 0.59 MW.

 

Kapasiti Solar Terkumpul
CAGR kapasiti solar terkumpul di Malaysia

Persaingan

Setakat 1 September 2022, terdapat 142 kontraktor berdaftar CIDB yang terlibat dalam operasi berkaitan fasiliti PV solar. Selain itu, terdapat 209 syarikat berdaftar SEDA yang terlibat sebagai penyedia perkhidmatan untuk kerja-kerja yang berkaitan dengan EPCC solar. 

Berikut merupakan beberapa syarikat penyedia perkhidmatan EPCC solar yang disenaraikan oleh Vital Factor untuk tujuan perbandingan:

Pesaing Sunview
Sumber: Prospektus IPO

Perbincangan

Kapasiti PV solar di Malaysia meningkat dengan CAGR sebanyak 41.4% antara tahun 2019 hingga 2021. Ini dibantu oleh pelaksanaan beberapa projek solar berskala besar melalui program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM 2.0). Industri solar ini dijangka akan mengalami pertumbuhan untuk tahun-tahun yang akan datang berikutan inisiatif daripada kerajaan agar Malaysia mampu menjana 41% daripada tenaga elektrik domestik melalui sumber yang boleh diperbaharui pada tahun 2045.

Secara keseluruhannya Sunview Group merekodkan pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan dari tahun 2019 hingga 2022. Kenaikan ini banyak disumbang oleh penyelesaian kontrak kerja terutamanya yang berkaitan dengan EPCC fasiliti projek solar berskala besar tahap 1 hingga 4. Kebanyakan projek solar yang dilaksanakan mereka setakat ini adalah bersifat "one-off".

Oleh itu, Sunview Group perlu lebih produktif pada masa hadapan untuk memenangi bidaan projek berkaitan solar agar pendapatan mereka tidak terganggu. Mereka yakin dengan modal yang diperolehi melalui IPO nanti akan digunakan untuk tujuan pengembangan perniagaan solar termasuk untuk memperluas keupayaan mereka dalam sektor baharu seperti biogas.


< kembali ke laman blog utama