IPO

2-NOV-2022

IPO LEFORM - Dana untuk Meningkatkan Hasil Pengeluaran Keluli


 


IPO Betamek

Leform Berhad, melalui anak-anak syarikatnya, terlibat dalam pembuatan dan perdagangan produk keluli. Produk mereka digunakan dalam pelbagai industri pengguna akhir seperti dalam industri perabot, pembuatan bahagian automotif dan tiang menara telekomunikasi.

Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.23
Status syariah:
Dinilai shariah
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 340 juta
Nisbah PE:
7.7
Permohonan ditutup:
11 November 2022
Cabutan saham:
15 November 2022
Tarikh penyenaraian:
22 November 2022

Perniagaan Leform Berhad

Leform Berhad telah diperbadankan di Malaysia pada 14 Januari 1995 sebagai sebuah syarikat swasta di bawah nama Leform Sdn Bhd dan ditukarkan kepada syarikat awam berhad pada 14 Januari 2022.

Struktur syarikat selepas disenaraikan adalah seperti berikut:

Struktur Syarikat Leform

Sumber: Prospektus IPO

Leform Berhad terlibat dalam dua segmen perniagaan utama iaitu:

  1. Pembuatan dan pengilangan produk keluli
  2. Perdagangan produk keluli

Majoriti pendapatan syarikat diperoleh dari segmen pembuatan dan pengilangan produk keluli. Pada tahun 2022, segmen ini menyumbang sebanyak 78.3% atau RM 167.16 juta daripada jumlah pendapatan keseluruhan syarikat.

Rajah berikut menggambarkan model perniagaan Leform Berhad:

Model Perniagaan Syarikat
Model perniagaan syarikat

Prestasi kewangan

Secara keseluruhannya, Leform Berhad merekodkan pertambahan pendapatan yang konsisten dari tahun 2019 hingga 2021. Pendapatan mereka meningkat sebanyak 2.9% iaitu daripada RM 344.58 juta pada tahun 2019, menjadi RM 354.71 juta pada tahun 2020. Pertumbuhan pendapatan kemudiannya berterusan pada tahun 2021 dengan peningkatan sebanyak 5.4% atau RM 19.26 juta berbanding tahun 2020.

Ini disokong oleh kenaikan hasil pendapatan dari segmen pembuatan produk keluli berikutan pertambahan permintaan terutamanya daripada pelanggan di Malaysia.

Prestasi Kewangan Leform

Prestasi kewangan Leform Berhad

Pendapatan Leform Berhad datang dari dua segmen perniagaan utama iaitu:

  1. Pembuatan dan pengilangan produk keluli
  2. Perdagangan produk keluli

Pendapatan syarikat mengikut jenis produk adalah seperti di bawah:

Prestasi Kewangan Berdasarkan Segmen

Prestasi kewangan Leform Berhad mengikut segmen 

Rajah di atas menunjukkan bahawa majoriti pendapatan syarikat datang dari segmen pembuatan produk keluli. Dari tahun 2019 hingga 2021, segmen ini menyumbang sebanyak 76.9%, 77.7%, 79.3% dan 78.9% daripada pendapatan keseluruhan syarikat.

Pelanggan utama syarikat

Pada tahun 2021, Leform Berhad mempunyai lima pelanggan utama yang menyumbang sebanyak 23.7% daripada pendapatan keseluruhan syarikat. Kelima-lima pelanggan ini mempunyai hubungan perniagaan yang agak panjang dengan Leform Berhad iaitu secara puratanya adalah selama 10 tahun.

Berikut merupakan senarai pelanggan utama Leform Berhad untuk tahun 2021:

Pelanggan Utama Leform
Sumber: Prospektus IPO

Kelebihan daya saing

Leform Berhad mempunyai rangkaian produk keluli yang luas untuk memenuhi pelbagai aplikasi industri. Kelebihan inilah yang membolehkan mereka untuk membekalkan produk keluli kepada pelanggan yang datang daripada sektor yang berlainan seperti:

  1. Pengilang produk perabot untuk kegunaan di rumah dan pejabat seperti meja, kayu, rak dan katil.
  2. Perancah, tangga dan struktur keluli sementara untuk kegunaan kontraktor binaan.
  3. Produk perindustrian seperti peralatan automotif dan tiang menara komunikasi.

Ini membolehkan mereka untuk mengurangkan risiko perniagaan syarikat untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada prestasi industri tertentu sahaja.

Gambar di bawah menunjukkan contoh aplikasi produk keluli Leform Berhad:

Aplikasi Keluli
Contoh aplikasi keluli oleh pengguna akhir industri

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

Prestasi perniagaan dan pendapatan Leform Berhad bergantung kepada naik turun harga keluli global. Produk akhir mereka dihasilkan daripada bahan mentah seperti gegelung besi tergalvani, keluli gulung panas dan keluli gulung sejuk. Harga bahan mentah ini berubah-ubah mengikut harga pasaran semasa yang dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti keadaan ekonomi global, permintaan dan penawaran serta rantaian bekalan keluli.

Setakat ini, harga jualan produk akhir Leform Berhad adalah ditentukan berdasarkan harga semasa keluli global dan secara umumnya mereka boleh menyalurkan sebarang peningkatan kos operasi kepada pelanggan. Sekiranya tidak mampu berbuat demikian pada masa akan datang, mereka terpaksa menanggung kenaikan kos tersebut dan hasil pendapatan serta margin keuntungan mungkin akan berkurangan.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembinaan ibu pejabat, gudang penyimpanan dan tempat penginapan pekerja 30.04 42.0
Pembayaran balik pinjaman bank 14.39 20.1
Modal kerja 21.91 30.6
Pembayaran kos penyenaraian 5.20 7.3
Jumlah 33.75 100

 

Sebanyak RM 30.04 juta bersamaan 42.0% daripada keseluruhan dana IPO akan digunakan untuk tujuan pembinaan ibu pejabat, gudang penyimpanan dan tempat penginapan pekerja. Pembinaan gudang baharu ini dijangka akan menambahkan kapasiti penyimpanan produk akhir mereka sebanyak 93.2% iatu daripada 161,372 Tan Metrik kepada 311,720 Tan Metrik. Kapasiti baharu ini membolehkan syarikat untuk menambah hasil pengeluaran produk bagi menampung jangkaan peningkatan tempahan terutamanya untuk paip keluli dan produk keluli rata.

Mereka juga akan membelanjakan sebanyak RM 21.91 juta atau 30.6% daripada dana IPO untuk modal kerja. Sebahagian besarnya akan digunakan untuk membeli bahan mentah seperti keluli gelung panas, keluli gelung sejuk serta gegelung keluli terbelah. Ini adalah sebahagian langkah awal yang diambil oleh Leform Berhad untuk mengembangkan rangkaian produk mereka dengan menambahkan ketebalan keluli daripada 4mm kepada 5mm untuk digunakan dalam industri lasak seperti pembinaan.

Analisis perniagaan dan industri

Leform Berhad terlibat dalam pembuatan dan perdagangan produk keluli. Oleh itu, analisis industri yang dikeluarkan oleh Providence ini akan membincangkan perkara yang berkaitan dengan industri keluli termasuk jangkaan prestasi pada masa hadapan.

Industri keluli di Malaysia

Keluli ialah bahan keras yang diperbuat daripada biji besi, sekerap besi dan arang batu. Keluli yang berkualiti perlulah memenuhi beberapa kriteria utama seperti tahan lasak, tahap kekerasan dan teganan yang tinggi serta senang dibentuk. Inilah yang menjadikan keluli sebagai komponen utama untuk digunakan dalam pelbagai industri seperti pembinaan, automotif, perabot dan lain-lain.

Rantaian nilai industri keluli boleh dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu upstream, midstream dan downstream. Syarikat Leform Berhad terlibat dalam segmen downstream yang berfungsi sebagai pengilang akhir produk keluli sebelum sampai kepada pengguna industri. 

Rajah di bawah menunjukkan rantaian nilai industri keluli:

Rantaian Nilai Industri Keluli
Sumber: Prospektus IPO

Prestasi industri keluli di Malaysia

Berdasarkan nilai jualan keseluruhan, industri keluli di Malaysia telah berkembang daripada RM 22.6 bilion pada tahun 2018 kepada RM 26.5 bilion pada tahun 2021 dengan CAGR sebanyak 5.4%. Providence menjangkakan bahawa industri keluli di Malaysia akan terus meningkat dengan CAGR sebanyak 5.6% iaitu daripada RM 28.0 bilion pada tahun 2022 kepada RM 31.2 bilion pada tahun 2024.

Manakala, berlaku sedikit penurunan dari segi jumlah penggunaan produk keluli di Malaysia iaitu daripada 9.8 juta Tan Metrik pada tahun 2018 kepada 6.8 juta Tan Metrik pada tahun 2020. Penurunan ini berlaku disebabkan oleh keadaan ekonomi yang perlahan di Malaysia terutamanya dari sektor pembinaan dan industri pembuatan berikutan pandemik COVID-19. Walaupun begitu, penggunaan keluli dijangka akan bertambah kepada 9.1 Tan Metrik pada tahun 2021 selaras dengan peningkatan harga purata gegelung keluli dunia.

Produksi dan Pengunaan Keluli
Pengeluaran dan pengunaan keluli

Penguasaan pasaran Leform Berhad

Pada tahun 2020, Leform Berhad memegang sebanyak 10.2% nilai pasaran berdasarkan jumlah pengeluaran paip dan tiub keluli di Malaysia dengan nilai 555,000 Tan Metrik. Mereka juga memegang sebanyak 4.7% nilai pasaran berdasarkan jumlah pengeluaran gegelung dan kepingan keluli di Malaysia dengan nilai 1.0 juta Tan Metrik pada tahun yang sama.

Persaingan

Bagi tujuan pembandingan, Providence telah memilih 16 pemain industri yang mempunyai model perniagaan yang lebih kurang serupa dengan Leform Berhad.

Syarikat-syarikat tersebut adalah seperti berikut:

Pesaing Syarikat Leform
Pesaing Syarikat Leform
Senarai pesaing utama syarikat

Perbincangan

Prestasi industri keluli di Malaysia bergantung kepada pertumbuhan tiga sektor utama iaitu pembinaan, pengilangan bahagian automotif dan perabot. Kadar pertumbuhan sektor ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti permintaan pelanggan, inisiatif kerajaan dan keadaan ekonomi semasa. Berdasarkan laporan, industri keluli di Malaysia dijangka akan meningkat dengan CAGR sebanyak 5.6% iaitu daripada RM 28.0 bilion pada tahun 2022 kepada RM 31.2 bilion pada tahun 2024.

Secara keseluruhannya, Leform Berhad berjaya mencatat pertumbuhan hasil pendapatan yang konsisten sepanjang tiga tahun kewangan yang terakhir. Pada tahun 2019, mereka memperolehi hasil jualan sebanyak RM 344.58 juta kemudian meningkat sebanyak 10.27% menjadi RM 373.97 juta pada tahun 2021. Pertambahan ini disokong oleh permintaan produk keluli yang berterusan terutamanya daripada pelanggan yang merupakan pemain industri di Malaysia.

Sebahagian besar dana IPO yang diperolehi akan digunakan oleh Leform untuk tujuan pembinaan ibu pejabat, gudang penyimpanan dan tempat penginapan pekerja. Ini adalah langkah positif yang diambil oleh mereka untuk meningkatkan kecekapan kerja serta kapasiti pengeluaran syarikat bagi menampung pertambahan tempahan dan permintaan untuk produk keluli mereka.


< kembali ke laman blog utama