IPO

10-NOV-2022

IPO ECA - Pembelian Jentera Baharu untuk Memperkukuh Keupayaan Teknikal


 


IPO ECA Integrated Solution

ECA Integrated Solution Berhad terlibat dalam penyediaan sistem pengeluaran bersepadu dan peralatan automatik selain menyediakan perkhidmatan sokongan teknikal dan alat ganti selepas jualan. Antara pelanggan mereka ialah syarikat multinasional yang terlibat dalam pembuatan semikonduktor, kereta elektrik, komponen automotif, solar dan produk industri yang lain.

Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.17
Status syariah:
Shariah Interim Elzar
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 98 juta
Nisbah PE:
11.97
Permohonan ditutup:
11 November 2022
Cabutan saham:
16 November 2022
Tarikh penyenaraian:
23 November 2022

Perniagaan ECA 

Syarikat ini telah diperbadankan di Malaysia pada 28 September 2021 sebagai sebuah syarikat swasta di bawah nama ECA Integrated Solution Berhad dan ditukarkan kepada syarikat awam berhad pada 1 March 2022.

Struktur syarikat selepas disenaraikan adalah seperti berikut:

Struktur Syarikat

Sumber: Prospektus IPO

ECA terlibat dalam tiga segmen perniagaan utama iaitu:

  1. Penyediaan sistem pengeluaran bersepadu
  2. Reka bentuk dan fabrikasi peralatan automatik kendiri
  3. Perkhidmatan sokongan teknikal

Majoriti hasil jualan syarikat diperoleh dari segmen penyediaan sistem pengeluaran bersepadu. Pada tahun 2021, segmen ini menyumbang sebanyak RM 20.51 juta atau 81.7% daripada pendapatan keseluruhan syarikat.

Rajah berikut menggambarkan model perniagaan ECA:

Model Perniagaan ECA

Model perniagaan syarikat

Prestasi kewangan

Secara keseluruhannya, ECA merekodkan pertambahan pendapatan yang konsisten dari tahun 2019 hingga 2021. Pendapatan mereka meningkat sebanyak 100.33% iaitu daripada RM 7.67 juta pada tahun 2019 menjadi RM 15.37 juta pada tahun 2020. Pertumbuhan pendapatan kemudiannya berterusan pada tahun 2021 dengan peningkatan sebanyak 33.47% atau RM 5.14 juta dari tahun 2020.

Ini disokong oleh pertambahan pesanan kerja daripada syarikat multinasional domestik dan antarabangsa yang terlibat dalam pembuatan semikonduktor, solar, bateri kereta elektrik serta peralatan industri yang lain.

Prestasi Kewangan Syarikat

Prestasi kewangan syarikat

Pendapatan syarikat ECA datang dari 3 aktiviti perniagaan utama iaitu:

  1. Penyediaan sistem pengeluaran bersepadu
  2. Reka bentuk dan fabrikasi peralatan automatik kendiri
  3. Perkhidmatan sokongan teknikal

Pendapatan syarikat mengikut segmen adalah seperti di bawah:

Prestasi Kewangan Mengikut Segmen

Prestasi kewangan mengikut segmen

Rajah di atas menunjukkan bahawa majoriti pendapatan syarikat datang dari segmen penyediaan sistem pengeluaran bersepadu. Dari tahun 2019 hingga 2021, segmen ini menyumbang sebanyak 85.4%, 92.2%, 81.7% daripada pendapatan keseluruhan syarikat.

Pelanggan utama syarikat

Pada tahun 2021, ECA mempunyai lima pelanggan utama yang menyumbang sebanyak 79.6% daripada keseluruhan pendapatan syarikat. Pelanggan mereka ini terdiri daripada syarikat multinasional yang terlibat dalam pelbagai aktiviti perindustrian seperti pembuatan semikonduktor, komponen solar dan bahagian automotif.

Berikut merupakan senarai pelanggan utama ECA untuk tahun 2021:

Senarai Pelanggan Utama Syarikat

Senarai pelanggan utama syarikat

Kelebihan daya saing

Sistem pengeluaran bersepadu ECA direka khusus untuk memenuhi keperluan pelbagai aplikasi industri buatan. Sistem pengeluaran ini membolehkan pelanggan mereka untuk menyelaraskan segala aktiviti pembuatan produk akhir. Selain mampu untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan, pelanggan mereka juga mampu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manusia.

Di bawah menunjukkan pecahan pendapatan ECA mengikut industri:

Pecahan Pendapatan Mengikut Industri

Pecahan pendapatan mengikut industri

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

Pendapatan syarikat ECA bergantung kepada dua kumpulan pelanggan iaitu kumpulan A dan kumpulan B. Pada tahun 2019 hingga 2021, kedua-dua kumpulan pelanggan ini menyumbang sebanyak 77.4%, 68.6%, dan 62.3% daripada hasil keseluruhan syarikat.

Sekiranya ECA tidak mampu menyambung kontrak kerja dengan syarikat tersebut atau tidak mampu mencari pelanggan baharu yang lain, seluruh aktiviti perniagaan mereka akan terganggu dan seterusnya menjejaskan prestasi kewangan syarikat pada masa akan datang.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima daripada IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembelian jentera baharu 7.70 30.2
Modal kerja 14.00 54.9
Pembayaran balik pinjaman bank 1.00 3.9
Pembayaran kos penyenaraian 2.80 11.0
Jumlah 25.5 100

 

Sebanyak RM 7.70 juta bersamaan dengan 30.2% daripada dana IPO akan digunakan untuk tujuan pembelian jentera baharu. Ini selaras dengan rancangan masa hadapan syarikat untuk menambah kapasiti pengeluaran dan keupayaan teknikal  berkaitan penyediaan sistem pengeluaran bersepadu mereka. Jentera baharu ini juga akan membolehkan syarikat untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan sistem terutamanya jika membabitkan pembuatan produk berskala besar oleh pelanggan.

Mereka juga akan membelanjakan sebanyak RM 14.0 juta atau 54.9% daripada dana IPO untuk pembiayaan modal kerja. Sebahagian besarnya akan digunakan untuk membeli bahan mentah bagi menyokong operasi syarikat seperti perkakasan, komponen robotik, injap, motor, aluminium, perisian teknologi maklumat, kamera, sensor dan banyak lagi.

Selain itu juga, syarikat ECA juga sedang merancang untuk mengembangkan kebolehan syarikat dalam aktiviti penyelesaian kilang pintar berikutan permintaan daripada pelanggan sedia ada. Kilang pintar ini dipercayai boleh membantu pengilang untuk menjalankan seluruh aktiviti pengeluaran secara integrasi lengkap beserta dengan pengurusan ruang penyimpanan dan inventori secara automatik.

Analisis perniagaan dan industri

ECA Integrated Solution Berhad terlibat dalam penyediaan sistem pengeluaran bersepadu dan peralatan automatik selain menyediakan perkhidmatan sokongan teknikal dan alat ganti selepas jualan.

Mereka mempunyai keupayaan yang luas dalam aktiviti reka bentuk, fabrikasi, dan integrasi sistem pengeluaran bersepadu yang lengkap untuk memenuhi keperluan pelbagai proses industri seperti pembuatan peralatan elektronik, semikonduktor, kereta elektrik, komponen solar dan banyak lagi. Oleh itu, analisis ini akan memberi fokus kepada industri sistem pengeluaran bersepadu serta potensi yang ada pada masa hadapan.

Industri penyelesaian pembuatan automatik

Penyelesaian pembuatan automatik merujuk kepada satu rantaian pengeluaran lengkap yang dibina khusus untuk memenuhi keperluan pengilangan, pembuatan komponen, perolehan serta pengurusan inventori.

Rajah di bawah menunjukkan segmen industri sistem pengeluaran bersepadu:

Rantaian Nilai

 

Sumber: Providence, IPO Prospektus

Industri penyelesaian kilang pintar

Kilang pintar merujuk kepada persekitaran kilang yang menghubungkan seluruh proses pembuatan produk secara digital. Ini merupakan salah satu solusi dalam Industri 4.0 yang direka khusus untuk memudahkan seluruh proses pengilangan, pengurusan dan pemantauan yang boleh dilakukan secara automatik pada jarak jauh.

Kecerdikan buatan digunakan untuk mengawal seluruh proses pengilangan dan membolehkan setiap mesin untuk berintegrasi dan berkomunikasi antara satu sama lain tanpa bantuan daripada manusia. Contohnya, robot mudah alih beserta perisian analitik digunakan untuk meningkatkan kecekapan aktiviti pembuatan sekaligus membantu mengurangkan kos operasi syarikat.

ECA berhasrat untuk mengimplementasikan sistem penyelesaian kilang pintar ini pada masa hadapan untuk memenuhi keperluan pelanggan terutamanya dalam sektor pembuatan komponen pada skala besar.

Rajah di bawah menunjukkan contoh aplikasi kilang pintar:

Ilustrasi Kilang Pintar

Ilustrasi kilang pintar

Prestasi industri

Di peringkat global, industri penyelesaian pembuatan automatik meningkat daripada RM 731.7 bilion pada tahun 2015 kepada RM 1.2 trilion pada tahun 2021 dengan CAGR sebanyak 7.9%. Penganalisa pasaran, Providence, menjangkakan bahawa industri ini akan terus berkembang dengan nilai CAGR 8.7% iaitu daripada RM 1.4 trilion pada tahun 2022 kepada RM 1.6 trilion pada tahun 2024.

Industri ini berkembang dengan lebih pesat di Malaysia iaitu daripada RM 3.1 bilion pada tahun 2015 kepada RM 8.7 bilion pada tahun 2021 dengan CAGR sebanyak 17.5%. Industri ini dianggarkan akan terus meningkat kepada RM 15.3 bilion pada tahun 2024 dengan CAGR sebanyak 19.3% berikutan aktiviti pengilangan yang semakin rancak dalam sektor elektronik dan semikonduktor, automotif, solar serta telekomunikasi.

Prestasi Masa Hadapan

Sumber: Prospektus IPO

Persaingan

Bagi tujuan perbandingan, Providence telah memilih beberapa syarikat awam dan swasta yang terlibat dalam servis penyediaan sistem pengeluaran bersepadu yang beroperasi di Malaysia.

Senarai syarikat tersebut adalah seperti berikut:

Senarai Pesaing Utama Syarikat

Senarai pesaing utama syarikat

Perbincangan

Industri penyelesaian pembuatan automatik merupakan salah satu industri yang sedang berkembang di Malaysia. Industri ini telah merekodkan pertambahan CAGR yang tinggi iaitu sebanyak 17.5% dari tahun 2015 kepada tahun 2021. Penganalisa pasaran menjangkan bahawa industri ini akan terus meningkat dengan CAGR sebanyak 19.3% hingga tahun 2024 selaras dengan aktiviti pengilangan yang semakin rancak.

Secara keseluruhannya, syarikat ECA berjaya mencatat pertumbuhan hasil pendapatan yang konsisten sepanjang tiga tahun kewangan terakhir. Pada tahun 2019, mereka berjaya mengutip hasil jualan sebanyak 7.67 juta kemudian meningkat sebanyak 167.41% menjadi RM 20.51 juta pada tahun 2021. Ini disokong oleh pertambahan pesanan kerja daripada syarikat multinasional domestik dan antarabangsa.

Sebahagian besar dana IPO akan digunakan oleh ECA untuk tujuan pembelian jentera baharu untuk memperkukuh keupayaan teknikal dan output mereka. Mereka juga dalam perancangan untuk mengembangkan kebolehan syarikat dalam aktiviti penyelesaian kilang pintar.  Ini adalah langkah produktif yang diambil oleh mereka bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat terutamanya dalam sektor pembuatan komponen semikonduktor dan produk elektronik.


< kembali ke laman blog utama