IPO

21-SEP-2022

IPO Cosmos - Meningkatkan Kapasiti Pengeluaran dengan Bangunan dan Jentera Baharu


 


IPO Cosmos

Cosmos Technology International Berhad terlibat dalam perniagaan pengedaran dan instrumentasi produk kawalan bendalir. Selain itu, mereka juga terlibat dalam pembuatan produk logam untuk kegunaan industri air, sisa minyak dan gas.

Butiran IPO syarikat ini adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.35
Status syariah:
Interim-Shariah oleh Elzar
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 89.78 juta
Nisbah PE:
12.04
Permohonan ditutup:
22 September 2022
Cabutan saham:
27 September 2022
Tarikh penyenaraian:
6 Oktober 2022

Perniagaan Cosmos Technology International

Syarikat ini telah diperbadankan pada 14 Mei 2019 sebagai sebuah syarikat sendirian berhad di bawah nama Cosmos Technology International Sdn Bhd dan ditukarkan kepada syarikat awam berhad pada 30 September 2019.

Syarikat Cosmos telah dinyahsenarai daripada pasaran LEAP pada 10 November 2021 berikutan daripada permohonan syarikat untuk disenaraikan di pasaran ACE. Struktur syarikat adalah seperti berikut:

Struktur Syarikat
Struktur syarikat selepas disenaraikan

Cosmos beroperasi dalam 2 segmen perniagaan utama iaitu:

  1. Pembuatan produk logam untuk kegunaan industri air, minyak dan gas.
  2. Pengedaran dan perkhidmatan instrumentasi produk kawalan bendalir.

Berikut adalah model perniagaan untuk syarikat Cosmos:

Model Perniagaan Cosmos
Model perniagaan syarikat

Pada tahun kewangan berakhir 2022, majoriti pendapatan syarikat diperoleh dari segmen pembuatan produk logam untuk kegunaan industri air, minyak dan gas. Segmen ini menyumbang sebanyak 61.20% kepada keseluruhan pendapatan syarikat.

Selain itu, pasaran domestik merupakan penyumbang utama kepada pendapatan syarikat dengan nilai sebanyak 52.88% hingga 84.37% untuk tahun kewangan 2019 hingga 2022. Pendapatan selebihnya diperoleh daripada pasaran luar negara terutamanya Amerika Syarikat.

Di bawah merupakan beberapa contoh produk kawalan bendalir dan logam yang diedarkan oleh Cosmos:

Produk Kawalan Bendalir

Sebahagian produk kawalan bendalir yang diedarkan oleh Cosmos

Produk Logam
Produk logam untuk kegunaan industri air, sisa minyak dan gas

Prestasi kewangan

Cosmos menunjukkan prestasi kewangan yang bercampur-campur untuk tahun kewangan 2019 hingga 2022. Untuk penerangan yang lebih terperinci adalah seperti di bawah:

Pendapatan Cosmos menurun sebanyak RM 18.89 juta atau 42.85% daripada RM 44.08 juta pada tahun 2019 kepada RM 25.19 juta pada tahun 2020. Penurunan ini adalah disebabkan oleh prestasi jualan yang menurun dalam segmen pembuatan produk logam. Ini berpunca daripada pengurangan permintaan untuk produk logam terutamanya daripada pelanggan minyak dan gas berikutan harga minyak mentah dunia yang mengalami penurunan ketara pada tahun 2020.

Pada tahun 2021 pula, Cosmos mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak RM 8.53 juta atau 33.88% daripada RM 25.19 juta pada tahun 2020. Ini disebabkan oleh peningkatan permintaan dalam segmen pengedaran, pemasangan dan perkhidmatan meter air terutamanya daripada pihak berkuasa air negeri yang berlainan.

Cosmos mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang berterusan pada tahun kewangan 2022 dengan peningkatan sebanyak RM 15.40 juta atau 45.66% daripada RM 33.72 juta pada tahun 2021. Ini disokong oleh peningkatan permintaan untuk produk logam terutamanya daripada pelanggan yang terlibat dalam industri minyak dan gas kesan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Prestasi Kewangan

Prestasi kewangan 

Pendapatan syarikat Cosmos dibahagikan kepada 2 segmen utama iaitu pengedaran dan perkhidmatan instrumentasi produk kawalan bendalir dan penjualan produk logam untuk kegunaan industri air, minyak dan gas. 

Prestasi Kewangan Mengikut Segmen

Prestasi kewangan mengikut segmen

Berdasarkan rajah di atas, majoriti pendapatan syarikat adalah dari segmen penjualan produk logam untuk kegunaan industri air, minyak dan gas. Sepanjang tahun kewangan 2019 hingga 2022, penjualan produk logam menyumbang 74.49%, 58.41%, 46.58% dan 61.20% kepada jumlah pendapatan syarikat.

Pelanggan utama syarikat

Secara umumnya, produk dan perkhidmatan Cosmos banyak diedarkan kepada syarikat yang terlibat di dalam industri air, sisa minyak dan gas. Antara kriteria pelanggan utama Cosmos adalah seperti berikut:

Di bawah merupakan 5 pelanggan utama Cosmos untuk tahun kewangan 2022:

Syarikat Negara Asal Jenis Produk  Tempoh Perniagaan (Tahun) Peratus Penglibatan (%)
NOV (Malaysia) SB Malaysia Peralatan logam 12 18.01
National Oilwell Varco, Inc. Amerika Syarikat Peralatan logam 6 15.63
NOV Process & Flow Technologies Malaysia SB Malaysia Peralatan logam 1 15.50
Air Selangor Malaysia Kawalan bendalir 5 9.84
M8 Machinery SB Malaysia Perlatan logam 4 7.90

 

Kelebihan daya saing

Cosmos melalui anak syarikatnya, Cosmos Instruments, merupakan rakan kongsi yang sah kepada Siemens Malaysia Sdn Bhd (SMSB). Melalui kerjasama ini, Cosmos mampu mendapatkan akses yang lengkap terhadap keseluruhan portfolio perniagaan SMSB termasuk kelebihan sokongan teknikal dan latihan yang disediakan oleh mereka.

Manakala anak syarikat Cosmos yang lain iaitu MCI, memiliki keupayaan dalam pembinaan dan penyesuaian produk logam yang pelbagai. Ini adalah penting untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang dari latar belakang industri yang berbeza.

Selain itu, perniagaan Cosmos juga diuruskan oleh barisan kakitangan yang berpengalaman. Pengarah urusan mereka iaitu Dato' Chong, telah terlibat dalam industri berkaitan air sejak tahun 1991 lagi. Beliau memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan dan dasar syarikat untuk 18 tahun yang terakhir.

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

Cosmos bergantung kepada syarikat Siemens Malaysia Sdn Bhd yang merupakan pembekal utama untuk produk kawalan bendalir. Siemens Malaysia membekal sebanyak 24.54%, 46.09%, 62.45% dan 38.18% daripada jumlah pembelian yang yang dilakukan oleh syarikat Cosmos dari tahun 2019 hingga 2022. Sekiranya Siemens Malaysia menamatkan kontrak pembekalan, seluruh kegiatan perniagaan Cosmos akan terganggu dan seterusnya akan menjejaskan prestasi kewangan mereka.

Pembekal Utama Cosmos
Senarai pembekal utama peralatan kepada Cosmos

Cosmos banyak bergantung kepada pelanggan utama mereka. Majoriti pendapatan syarikat Cosmos diperoleh daripada penjualan produk logam untuk pelanggan minyak dan gas tertutamanya syarikat NOV Malaysia Sdn Bhd dan National Oilwell Varco. Dari tahun 2019 hingga 2022, kedua-dua syarikat ini menyumbang sebanyak 71.79%, 56.18%, 26.62% dan 33.64% kepada keseluruhan pendapatan syarikat. Kegagalan untuk meneruskan perniagaan dengan kedua-dua syarikat ini pada masa hadapan akan menjejaskan hasil pendapatan tahunan Cosmos.

Selain itu, perniagaan Cosmos dipengaruhi oleh prestasi semasa industri minyak dan gas serta industri berkaitan sisa air. Sebagai contoh, kemerosotan dalam harga minyak mentah dunia akan menyebabkan pelanggan Cosmos mula mengurangkan permintaan bekalan produk logam atau menangguh projek sedia ada sebagai inisiatif pemotongan kos operasi syarikat. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan keseluruhan jualan produk logam Cosmos.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Perolehan bangunan baharu 10.00 44.56
Modal kerja 4.44 19.80
Pembelian jentera baharu 3.50 15.59
Pembayaran kos penyenaraian 3.00 13.37
Pembayaran balik pinjaman bank 1.50 6.68
Jumlah 22.44 100.00

Majoriti dana yang diperoleh melalui IPO iaitu sebanyak RM 10.0 juta atau 44.56% daripada dana keseluruhan digunakan untuk perbelanjaan kos bagi perolehan bangunan baharu yang terletak di atas sebidang tanah perindustrian sekitar Balakong, Selangor. Bangunan baharu ini mempunyai keluasan sekitar 36,860 kaki persegi serta dilengkapi dengan kemudahan kilang berkembar, pejabat pengurusan dan kawasan utiliti terbuka. 

Cosmos merancang untuk menjadikan bangunan ini sebagai ibu pejabat dan akan menyatukan kedua-dua tempat pengurusan serta operasi yang sekarang ini berada di lokasi yang berbeza. Ini memudahkan mereka untuk membuat penyelarasan dalam proses pengurusan, meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos perjalanan perkerja. Selain itu, Cosmos juga bercadang untuk membangunkan satu ruang pameran untuk mempromosi segala jenis produk yang ditawarkan seperti alat kawalan bendalir, meter alir dan RTU kepada bakal pelanggan yang berpotensi.

Seterusnya, sebanyak RM 3.50 juta atau 13.37% dana IPO akan digunakan untuk membeli jentera baharu bagi tujuan pengembangan operasi selaras dengan permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan minyak dan gas. Melalui pembelian ini, Cosmos menganggarkan akan berlaku peningkatan sebanyak 42.86% dalam kapasiti pengeluaran mereka.

Di bawah menunjukkan senarai jentara baharu yang akan dibeli oleh Cosmos:

Peralatan Baharu

Sumber: Prospektus IPO

Analisis perniagaan dan industri Cosmos

Cosmos terlibat dalam perniagaan pengedaran dan instrumentasi produk kawalan bendalir. Selain itu, mereka juga terlibat dalam pembuatan produk logam untuk kegunaan industri air, sisa minyak dan gas.

Industri produk kawalan bendalir

Produk kawalan bendalir digunakan secara meluas dalam industri automasi. Industri kawalan bendalir merangkumi pembuatan dan/atau pengedaran produk dan penyelesaian yang mengurus, mengukur, atau mengawal aliran bendalir. Industri ini membantu untuk menyediakan peralatan kejuruteraan yang khusus serta mesin penyelesaian untuk mengawal aliran bendalir untuk aplikasi industri seperti air dan gas.

Saiz industri untuk produk kawalan bendalir di Malaysia dijangka berkembang daripada RM 99.8 juta pada tahun 2021 kepada RM 190.7 juta pada tahun 2025, dengan nilai CAGR sebanyak 17.6%.

Segmentasi untuk industri produk kawalan bendalir adalah seperti berikut:

Segmentasi Industri Kawalan Bendalir

Sumber: Prospektus IPO

Industri produk penapis shaker

Penapis shaker adalah sejenis peratalan kritikal dalam industri minyak dan gas. Peralatan ini berfungsi untuk menapis dan mengeluarkan sisa batu yang terperangkap di mesin gerudi ketika proses penggalian minyak berlangsung. Alat ini penting kerana ia membolehkan operator penggalian untuk membersihkan dan mengguna semula mesin gerudi setiap kali selesai proses penggalian. Tanpa alat ini, mereka perlu menampung kos operasi yang besar untuk menggantikan mesin gerudi yang baru sebelum melalukan kerja-kerja penggerudian.

Syarikat Cosmos terlibat dalam pembuatan bingkai logam untuk penapis shaker yang digunakan dalam segmen penerokaan dan pembangunan lapangan rantaian nilai industri minyak dan gas (upstream).  Di peringkat global, pengeluaran tahunan produk penapis shaker dijangka berkembang daripada 6,210,000 kepingan pada tahun 2021 kepada 7,544,418 kepingan pada tahun 2025 dengan nilai CAGR sebanyak 4.9%.

Rajah berikut menunjukkan rantaian proses untuk industri minyak dan gas (upstream).

Sektor Upstream Minyak dan Gas
Sumber: Prospektus IPO

Prestasi industri

Perniagaan dan permintaan produk penapis shaker bergantung kepada prestasi industri minyak dan gas. Pengeluaran minyak mentah dan gas asli di peringkat global untuk tahun antara 2017 hingga 2021 direkodkan pada CAGR sebanyak -1.0% dan 2.4%. Pengeluaran minyak mentah dunia dan gas asli masing-masing memuncak pada tahun 2018 dan 2019.

Manakala, untuk tahun 2020, pengeluaran minyak mentah dan gas asli global telah terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19. Kebanyakan negara pengeluar terpaksa mengalami sekatan ekonomi dan aktiviti penggerudian dan penggalian minyak serta gas asli tidak dapat berjalan seperti biasa. Walaupun begitu, kedua-dua aktiviti ini mula mengalami peningkatan untuk tahun 2021.

Pengeluaran Minyak dan Gas
Sumber: Prospektus IPO

Persaingan

Untuk tujuan perbandingan, Infobusiness Research telah memilih 7 pemain dalam industri yang menjalankan perniagaan yang sama dengan Cosmos. Antara kriteria yang diambil kira dalam membuat perbandingan ini ialah syarikat-syarikat tersebut haruslah terlibat dalam perniagaan:

Pemain industri yang dikenal pasti ini adalah seperti yang diperincikan di bawah:

Perbandingan Syarikat
Pesaing syarikat

Perbincangan

Saiz industri untuk produk kawalan bendalir di Malaysia dijangka berkembang daripada RM 99.8 juta pada tahun 2021 kepada RM 190.7 juta pada tahun 2025, dengan nilai CAGR sebanyak 17.6%. Selain itu, pengeluaran tahunan produk penapis shaker dijangka akan berkembang daripada 6,210,000 kepingan pada tahun 2021 kepada 7,544,418 kepingan pada tahun 2025 dengan nilai CAGR sebanyak 4.9%.

Pendapatan Cosmos menurun pada tahun 2020 disebabkan oleh permintaan yang kurang terutamanya daripada pelanggan yang terlibat dalam industri minyak dan gas. Walaupun begitu, pendapatan mereka mula meningkat daripada RM 25.18 juta pada tahun 2020 kepada RM 49.12 juta pada tahun 2022. Seperti yang dinyatakan dalam laporan, kenaikan ini adalah didorong oleh pertambahan permintaan produk berikutan kenaikan harga minyak mentah yang mula mengalami pemulihan pasca COVID-19.

Sebahagian besar dana IPO yang diperolehi akan digunakan oleh Cosmos untuk membeli bangunan serta peralatan baharu untuk meningkatkan kapasti pengeluaran produk terutamanya alat kawalan bendalir serta penapis shaker. Ini adalah langkah produktif yang diambil oleh Cosmos untuk memenuhi permintaan produk yang semakin meningkat terutamanya daripada pelanggan yang terlibat dalam industri minyak dan gas.


< kembali ke laman blog utama