IPO

06-OCT-2022

IPO Betamek - Mengembangkan Kebolehan EMS untuk Industri Automotif


 


IPO Betamek

Betamek Berhad, melalui anak-anak syarikatnya terlibat dalam servis penyediaan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) untuk industri automotif di Malaysia. Antara produk elektronik yang dikeluarkan oleh syarikat ini ialah seperti sistem infotainment kereta, sensor, kabel HDMI, suis cermin dan pengecas USB.

Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.50
Status syariah:
Dinilai shariah
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 225 juta
Nisbah PE:
16.7
Permohonan ditutup:
7 Oktober 2022
Cabutan saham:
12 Oktober 2022
Tarikh penyenaraian:
26 Oktober 2022

Perniagaan Betamek Berhad

Betamek Berhad telah diperbadankan di Malaysia pada 7 Disember 2021 sebagai sebuah syarikat swasta di bawah nama Betamek Sdn Bhd dan ditukarkan kepada syarikat awam berhad pada 18 Mac 2022.

Mirzan bin Mahathir, anak kepada bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr. Mahathir, merupakan pemilik terbesar syarikat ini melalui pegangan saham sebanyak 72%.

Struktur syarikat selepas disenaraikan adalah seperti berikut:

 

Struktur Syarikat
Sumber: Prospektus IPO

 

Betamek Berhad melalui anak-anak syarikatnya terlibat dalam operasi penyediaan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) untuk industri automotif di Malaysia.

Majoriti pendapatan syarikat diperoleh dari segmen reka bentuk dan pembuatan produk audio dan visual kenderaan. Pada tahun 2022, segmen ini menyumbang sebanyak 80.5% daripada pendapatan keseluruhan syarikat.

Rajah berikut menggambarkan model perniagaan Betamek Berhad:

 

Model Perniagaan Betamek

Model perniagaan syarikat Betamek

Prestasi kewangan

Secara keseluruhannya, Betamek Berhad merekodkan pertambahan pendapatan dari tahun 2019 hingga 2022. Pendapatan mereka meningkat sebanyak 3.31% iaitu daripada RM 126.54 juta pada tahun 2019 menjadi RM 130.73 juta pada tahun 2020.

Pada tahun 2021 pula, mereka mencatatkan pendapatan yang sedikit menurun sebanyak 0.7% iaitu daripada RM 130.73 juta kepada RM 129.87 juta pada tahun 2021. Penurunan ini adalah disebabkan oleh jualan yang sedikit merosot untuk produk audio dan visual kenderaan.

Walaupun begitu, Betamek mula mencatatkan kenaikan pendapatan sebanyak 2.45% iaitu daripada RM 129.87 juta pada tahun 2021 kepada RM 133.05 juta untuk tahun 2022. Kenaikan ini dibantu oleh pertambahan permintaan untuk produk audio dan visual terutamanya untuk kereta keluaran Perodua.

 

Prestasi Kewangan
Prestasi kewangan Betamek Berhad

 

Pendapatan syarikat Betamek Berhad datang dari 2 jenis produk utama iaitu:

  1. Sistem audio dan visual kenderaan
  2. Aksesori kenderaan

Pendapatan syarikat mengikut jenis produk adalah seperti di bawah:

 

Prestasi Kewangan Mengikut Segmen
Prestasi kewangan mengikut jenis produk

 

Rajah di atas menunjukkan bahawa majoriti pendapatan syarikat datang daripada penjualan produk berkaitan audio dan visual kenderaan. Dari tahun 2019 hingga 2022, produk ini menyumbang sebanyak 78.5%, 77.7%, 79.5% dan 80.5% daripada keseluruhan pendapatan syarikat.

Pelanggan utama syarikat

Pada tahun 2022, Betamek Berhad mempunyai beberapa pelanggan utama yang menyumbang sebanyak 98.5% daripada keseluruhan pendapatan syarikat. Majoriti pendapatan mereka iaitu sebanyak 95% disumbang oleh syarikat Perodua melalui penjualan produk berkaitan audio dan aksesori kereta.

Berikut merupakan senarai pelanggan utama Betamek Berhad untuk tahun 2022:

 

5 Pelanggan Utama

Sumber: Prospektus IPO

Kelebihan daya saing

Betamek Berhad mempunyai keupayaan untuk menyediakan servis EMS secara menyeluruh kepada pengilang automotif di Malaysia. Antara servis yang disediakan oleh mereka ialah seperti pembuatan dan pemasangan papan litar bercetak (PCB), pemasangan produk dan pembinaan sistem berkotak. Syarikat ini menyediakan servis EMS pada semua peringkat (one-stop solution) iaitu bermula dari proses pembangunan sehingga penghantaran produk siap.

Selain itu, Betamek merupakan rakan kongsi perniagaan yang utama kepada syarikat Perodua. Mereka mempunyai aliran tunai yang stabil berikutan permintaan produk yang sentiasa tinggi daripada Perodua untuk produk berkaitan audio dan visual kenderaan. Mengikut rekod, Betamek telah menjadi pembekal sistem audio kepada syarikat Perodua sejak model pertama keluaran mereka lagi iaitu Kancil pada tahun 1994. Kini, Betamek menjadi pembekal utama sistem audio kepada 63.2% kereta keluaran Perodua di Malaysia.

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

Betamek sangat bergantung kepada prestasi perniagaan syarikat Perodua. Hal ini kerana, untuk tahun 2022 sahaja, 95% atau RM 126.33 juta daripada keseluruhan pendapatan Betamek disumbang oleh Perodua terutamanya melalui penjualan produk berkaitan audio dan visual kereta.

Sekiranya Perodua tidak mampu untuk kekal kompetitif dan terkedepan dalam industri automotif terutamanya dalam segmen reka bentuk dan teknologi kereta, permintaan orang ramai terhadap produk kereta keluaran Perodua mungkin akan berkurangan. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan prestasi perniagaan Betamek yang menjadi pembekal utama produk elektronik automotif kepada mereka.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembangunan produk baharu 7.00 20.7
Pengembangan ruang pejabat dan fasiliti 6.50 19.3
Pembelian peralatan baharu 3.00 8.9
Modal kerja 3.85 11.40
Pembayaran balik pinjaman bank 10.00 29.6
Pembayaran kos penyenaraian 3.40 10.1
Jumlah 33.75 100

 

Sebanyak RM 7.0 juta bersamaan 20.7% daripada keseluruhan dana akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk baharu. Antara produk yang akan terlibat dalam R&D ini adalah seperti visual kenderaan, sensor, akses keselamatan, sistem infotainment, integrasi telefon pintar, telemetri, solusi e-call dan pelbagai aplikasi IoT yang lain.

Betamek juga akan membelanjakan RM 6.5 juta atau 19.3% daripada dana IPO untuk tujuan pengembangan ruang pejabat, tempat penyimpanan peralatan dan fasiliti lain. Dana ini akan digunakan untuk membayar kerja-kerja pembinaan seperti substruktur, mekanikal, elektrik dan kemasan kilang yang terletak di Rawang. Pengembangan ini adalah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan operasi sejajar dengan aktiviti R&D produk yang akan dijalankan nanti.

Selain itu, dana sebanyak RM 3.0 juta akan digunakan Betamek untuk tujuan pembelian peralatan baharu. Ini adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengautomasikan operasi kilang ke arah meningkatkan produktiviti, kelajuan dan kualiti kerja. Antara peralatan baharu yang bakal dibeli adalah seperti mesin sinar-X dan mesin pemeterian automatik.

Analisis perniagaan dan industri

Betamek Berhad, melalui anak-anak syarikatnya terlibat dalam servis penyediaan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) untuk industri automotif di Malaysia.

Industri elektronik automotif

Peralatan elektronik automotif adalah penting untuk memastikan setiap kenderaan itu dapat berfungsi sepenuhnya. Peralatan ini terdapat dalam sistem kawalan kuasa, aplikasi keselamatan, komunikasi dan hiburan termasuk elektronik badan kenderaan. Peralatan ini digunapakai dalam keseluruhan proses automasi kenderaan bermula daripada enjin hingga diagnosis prestasi. Penganalisa pasaran, Providence menjangkakan hasil jualan perlatatan ini akan meningkat dengan CAGR sebanyak 5.4% iaitu daripada RM 32.3 bilion pada tahun 2019 kepada RM 39.9 bilion pada tahun 2025.

Segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) pula merujuk kepada proses yang terlibat untuk menghasilkan sesuatu komponen elektronik kenderaan. Ia termasuk reka bentuk, pembuatan, ujian, pengedaran serta penyediaan servis pembaikan produk elektronik untuk pengeluar asal kenderaan (OEM).

Berikut merupakan rantaian proses untuk industri EMS automotif:

 

Industri EMS Automotif

Industri EMS automotif

Industri automotif di Malaysia

Jualan kenderaan di Malaysia meningkat dengan CAGR sebanyak 1.4% iaitu daripada 580,085 unit pada tahun 2016 kepada 604,287 unit pada tahun 2019. Kenaikan ini dibantu oleh pertumbuhan ekonomi dan aliran perdagangan serantau. Walaupun begitu, jualan kenderaan sedikit menurun untuk tahun 2020 dan 2021 disebabkan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh kerajaan berikutan pandemik COVID-19.

 

Unit Kenderaan Terjual di Malaysia
Sumber: Prospektus IPO

 

Proton dan Perodua menyumbang sebanyak 59.9% daripada keseluruhan jualan kenderaan di Malaysia dan selebihnya disumbang oleh pengeluar dari negara luar seperti Honda dan Toyota. Setakat tahun 2019 hingga 2022, Perodua memegang majoriti jualan kenderaan di Malaysia dengan peratus sebanyak 39.77% hingga 37.39%.

 

Jualan Kenderaan Berdasarkan Jenama
Sumber: Prospektus IPO

Penguasaan pasaran Betamek

Pada tahun 2021, Betamek membekalkan sebanyak 120,335 unit sistem infotainment kereta kepada syarikat Perodua. Jumlah jualan kereta penumpang dan komersial untuk semua jenis kenderaan pada tahun yang sama ialah sebanyak 508,911 unit. Dengan ini, Betamek memegang 23.6% daripada nilai pasaran untuk segmen tersebut.

Jika dibandingkan dengan jumlah jualan kereta penumpang sahaja pula, Betamek menguasai 26.6% daripada nilai pasaran berdasarkan 452,663 unit kereta terjual pada tahun 2021. Penguasaan pasaran ini dapat dicapai oleh Betamek berikutan keupayaan mereka untuk membekalkan peralatan elektronik kepada 63.2% kereta Perodua yang terjual di Malaysia pada tahun 2021.

Persaingan

Bagi tujuan perbandingan, Providence telah memilih beberapa syarikat awam dan swasta yang terlibat dalam servis penyediaan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) berkaitan automotif di Malaysia.

Senarai syarikat tersebut adalah seperti berikut:

 

Pesaing Syarikat

 

Pesaing Syarikat

 

Pesaing Syarikat
Pesaing syarikat

Perbincangan

Industri automotif sedang berkembang pesat di Malaysia. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan bahawa jualan kereta akan meningkat sebanyak 17.89% iaitu daripada 508,911 unit pada tahun 2021 kepada 600,000 unit pada tahun 2022. Ini dibantu oleh pengecualian cukai jualan kenderaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang mendorong pengeluar kenderaan untuk merancakkan lagi industri automotif di Malaysia.

Peningkatan ini secara tidak langsung akan membantu Betamek Berhad yang merupakan pemain penting dalam industri EMS peralatan automotif di Malaysia. Pendapatan mereka secara keseluruhannya meningkat sebanyak sebanyak 5.14% daripada tahun 2019 hingga tahun 2022 berikutan pertambahan permintaan produk visual dan audio kereta terutamanya daripada syarikat Perodua. 

Sebahagian besar dana IPO akan digunakan oleh Betamek untuk tujuan (R&D) produk baharu seperti visual kenderaan, sensor, akses keselamatan dan sistem infotainment kereta. Mereka menjanjikan produk yang lebih canggih pada masa hadapan seterusnya mempu menjadi pengeluar utama komponen elektronik untuk industri automotif di Malaysia.


< kembali ke laman blog utama