IPO

04-AUG-2022

IPO Agmo untuk Mengembangkan Penawaran Penyelesaian Digital


 


Agmo Holdings

Agmo Holdings Berhad terlibat dalam pembangunan aplikasi mudah alih dan web, penyediaan perkhidmatan berasaskan platform digital, dan penyediaan perkhidmatan langganan, hosting, sokongan teknikal dan penyelenggaraan.

Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.26
Status syariah:
Penilaian tidak dibuat
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 84.5 juta
Nisbah PE:
12.63
Permohonan ditutup:
8 Ogos 2022
Cabutan saham:
10 Ogos 2022
Tarikh penyenaraian:
18 Ogos 2022

Dalam prospektus, penilaian syariah tidak dibuat, namun Elzar Shariah telah memberi status diragui kerana ketiadaan maklumat yang mencukupi.

Elzar Shariah

Bisnes Agmo

Agmo telah diperbadankan pada 5 Januari 2021 sebagai syarikat swasta di bawah nama Agmo Holdings Sdn Bhd dan ditukarkan kepada syarikat awam berhad pada 30 September 2021. Struktur syarikat adalah seperti berikut:

Struktur syarikat

Agmo beroperasi dalam 3 perniagaan utama iaitu:

  1. Pembangunan aplikasi mudah alih dan web.
  2. Penyediaan perkhidmatan berasaskan platform digital.
  3. Penyediaan perkhidmatan langganan, hosting, sokongan teknikal dan penyelenggaraan.

Model perniagaan syarikat Agmo adalah seperti berikut:

Model perniagaan
Model perniagaan syarikat

Majoriti pendapatan syarikat diperoleh dari segmen pembangunan aplikasi mudah alih dan web, diikuti segmen penyediaan perkhidmatan langganan, hosting, sokongan teknikal dan penyelenggaraan. Seterusnya adalah segmen penyediaan perkhidmatan berasaskan platform digital.

Kebanyakan pelanggan syarikat Agmo adalah daripada perniagaan dan syarikat dari pelbagai industri seperti healthcare, logistik, oil & gas, automotif, perkhidmatan kewangan, agensi kerajaan dan pelbagai lagi.

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Disebabkan pandemik COVID-19, Kerajaan Malaysia telah mengenakan pelbagai peringkat sekatan pergerakan di seluruh negara (iaitu PKP, PKP bersyarat, PKP pemulihan, dan lain-lain). Sepanjang tempoh PKP ini, pekerja syarikat Agmo meneruskan kerja-kerja syarikat dari rumah. Oleh itu, operasi perniagaan syarikat dapat diteruskan dan tidak ada gangguan pada operasi perniagaannya mahupun kelewatan masa dalam pelaksanaan projek mereka.

Dalam tempoh sekatan pergerakan ini, Agmo telah menghadapi satu penangguhan projek yang sepatutnya dirancang untuk disiapkan pada Jun 2021, tetapi telah siap pada November 2021. Memandangkan projek itu telah siap dalam tahun yang sama, tiada kesan kepada prestasi kewangan syarikat Agmo. Selain itu, tiada lagi penangguhan projek atau pembatalan projek membawa kepada kesan terhadap prestasi kewangan syarikat. Syarikat Agmo Holdings juga tidak menghadapi sebarang gangguan dalam perolehan dan penerimaan bekalan daripada pembekal kami atau menghadapi sebarang gangguan dalam jadual penghantaran ke pelanggan-pelanggan syarikat Agmo.

Prestasi kewangan

Agmo Holdings menunjukkan pendapatan yang menaik dari tahun kewangan 2019 sehingga tahun kewangan 2022. Pendapatan mereka meningkat sebanyak 14% iaitu daripada RM 5.4 juta pada tahun 2019, menjadi RM RM 6.21 juta pada tahun 2020. Kenaikan pendapatan kemudian diteruskan lagi pada tahun kewangan 2021, iaitu sebanyak 45% menjadikan pendapatan pada tahun tersebut sebanyak RM 9.04 juta. Kenaikan pendapatan ini diteruskan lagi pada tahun kewangan 2022 dengan peningkatan sebanyak 83% bersamaan RM 7.5 juta menjadi RM 16.53 juta.

Prestasi kewangan

Pendapatan syarikat Agmo Holdings Berhad dibahagikan kepada 3 segmen iaitu pembangunan aplikasi mudah alih dan web, penyediaan perkhidmatan berasaskan platform digital, dan penyediaan perkhidmatan langganan, hosting, sokongan teknikal dan penyelenggaraan.

Prestasi kewangan

Jika dilihat pada rajah di atas, majoriti pendapatan adalah dari segmen pembangunan aplikasi mudah alih dan web. Kemudian diikuti dengan segmen perkhidmatan langganan, hosting, sokongan teknikal dan penyelenggaraan, dan segmen perkhidmatan berasaskan platform digital. Secara keseluruhannya, pendapatan bagi semua segmen ini mengalami peningkatan setiap tahun, termasuk untuk tempoh kewangan 2022.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

 

Dana Nilai (juta) Peratusan (%)
Pembentukan pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) 3.45 15.6
Pembentukan pasukan jualan, pemasaran, & pembangunan perniagaan 2.46 11.1
Pembentukan bahagian sokongan teknikal & perkhidmatan penyelenggaraan 3.56 16.1
Penubuhan pusat latihan dan pembangunan 2.54 11.5
Pengembangan syarikat ke Singapura 0.69 3.1
Modal kerja untuk pengembangan pembangunan aplikasi mudah alih dan web, dan perkhidmatan berasaskan platform digital 5.92 26.8
Modal kerja untuk penubuhan pejabat baharu 0.3 1.4
Perbelanjaan penyenaraian 3.18 14.4
Jumlah 22.10 100.0

Majoriti dana yang dikutip daripada penyenaraian IPO iaitu sebanyak RM 5.92 juta (26.8% daripada dana IPO) akan diperuntukkan untuk modal kerja dan perbelanjaan bagi memenuhi keperluan untuk pengembangan pembangunan aplikasi mudah alih dan web, dan perkhidmatan berasaskan platform digital. Sebanyak 1.4% (RM 0.3 juta) akan digunakan sebagai modal kerja untuk penubuhan pejabat baharu di Lembah Klang.

Syarikat Agmo bercadang untuk menggunakan dana IPO yang dikutip sebanyak RM 9.47 untuk pelaburan bagi pembentukan pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D), pasukan jualan, pemasaran, & pembangunan perniagaan serta pembentukan bahagian sokongan teknikal & perkhidmatan penyelenggaraan.

Selain itu, 11.5% dari dana IPO akan digunakan untuk penubuhan pusat latihan dan pembangunan, manakala RM 0.69 juta akan digunakan untuk pengembangan perniagaan syarikat di Singapura.

Lebihan dana sebanyak RM 3.18 juta akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri Agmo

Agmo Holdings Berhad terlibat dalam pembangunan aplikasi mudah alih dan web, penyediaan perkhidmatan berasaskan platform digital, serta penyediaan perkhidmatan untuk langganan, hosting, sokongan teknikal dan penyelenggaraan.

Industri pembangunan aplikasi mudah alih dan web

Mobile apps atau aplikasi mudah alih ialah satu aplikasi yang dibangunkan khusus untuk digunakan pada peranti (devices) pengkomputeran mudah alih dan wireless, seperti telefon pintar dan tablet. Mobile apps ini memerlukan pengguna download dan install aplikasi tersebut daripada app stores (cth. Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery).

Web apps atau aplikasi web sebaliknya, ialah aplikasi berfungsi sepenuhnya dan boleh diakses pada web browsers di mana-mana devices seperti desktop, komputer riba dan peranti mudah alih yang lebih kecil seperti tablet dan telefon pintar. Web apps ini tidak memerlukan pengguna untuk download dan install dalam devices mereka.

Aplikasi mudah alih dan web boleh dikategorikan kepada 3 kategori, iaitu:

3 jenis kategori aplikasi mudah alih dan web

Prestasi industri

Saiz industri pembangunan aplikasi mudah alih dan web di Malaysia, diukur dari segi hasil jualan. Saiz industri meningkat daripada RM269.08 juta pada 2018 kepada RM514.21 juta pada 2021, pada CAGR sebanyak 24.09%.

Prestasi industri
Sumber: Prospektus syarikat

Walaupun pandemik COVID-19 melanda, industri pembangunan aplikasi mudah alih dan web di Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 21.02% pada 2020 dan 29.43% pada 2021. Hal ini disebabkan oleh peningkatan keperluan pendigitalan daripada perniagaan semasa pandemik, dan pelaksanaan inisiatif untuk transformasi digital oleh Kerajaan Malaysia.

Persaingan

Bagi tujuan pembandingan, Smith Zander telah memilih beberapa syarikat yang menjalankan perniagaan yang serupa dengan Agmo. Syarikat-syarikat ini haruslah menetapi kriteria seperti berikut:

Antara pesaing Agmo yang menepati kriteria-kriteria di atas adalah seperti berikut:

Pesaing Agmo
Pesaing Agmo
Sumber: Prospektus syarikat

Perbincangan

Saiz industri pembangunan aplikasi mudah alih dan web di Malaysia meningkat daripada RM269.08 juta pada 2018 kepada RM514.21 juta pada 2021, pada CAGR sebanyak 24.09%. Seperti yang dinyatakan dalam laporan IMR, pasaran sektor pembangunan aplikasi mudah alih dan web dijangka meneruskan pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh peningkatan pengguna dalam mobile devices untuk melakukan aktiviti harian dalam talian, pendigitalan perniagaan dan lain-lain.

Secara keseluruhannya, Agmo Holdings menunjukkan penumbuhan yang memberangsangkan dari segi pendapatan dan keuntungan sepanjang tahun 2019 sehingga 2021. Peningkatan ini didorong daripada peningkatan keperluan pendigitalan daripada perniagaan semasa pandemik, dan pelaksanaan inisiatif untuk transformasi digital oleh Kerajaan Malaysia.

Melalui IPO ini, Agmo Holdings menunjukkan jumlah besar dana akan digunakan untuk tujuan mengembangkan perniagaan syarikat. Hal ini merupakan langkah yang positif bagi pihak syarikat untuk meningkatkan lagi pendapatan mereka. Namun begitu, syarikat Agmo masih perlu buktikan keyakinan pelabur dan keberkesanan dalam strategi mereka apabila disenaraikan di Bursa Malaysia tidak lama lagi.


< kembali ke laman blog utama