UMUM

15-OCT-2021

Farm Fresh, Senheng dan Beberapa Syarikat Bakal ke IPO


 


Setakat pertengahan tahun 2021, terdapat 11 IPO baharu telah disenaraikan di Bursa Malaysia. Penyenaraian IPO ini telah mendapat sambutan luar biasa oleh pelabur saham di Malaysia. IPO adalah singkatan kepada Initial Public Offering. Ia dimana sesebuah syarikat persendirian pertama kali menjual sebahagian milikan syarikatnya kepada orang awam melalui Bursa Malaysia.

Apabila disenaraikan syarikat tersebut mendapat dana yang besar. Lain syarikat, lain cara penggunaan dana. Mari kita lihat antara IPO yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia.

Farm Fresh Bhd

Farm Fresh Bhd sebelumnya dikenali sebagai Holstein Milk Company Sdn Bhd. Perniagaan utama mereka adalah ternakan lembu tenusu dan penjualan susu lembu. Anak syarikat Farm Fresh juga terbabit dalam perniagaan perladangan, pengeluaran dan pelbagai produk tenusu.

Gambar: Farm Fresh

Khazanah mempunyai 30% pegangan dalam syarikat ini. Penyenaraian IPO ini bertujuan untuk mengumpul dana dalam mengembangkan perniagaan di Malaysia termasuk menubuhkan sebuah hab pengeluaran baharu serta kemudahan proses tenusu. Selain itu, mengembangkan pengeluaran fasiliti di Australia dan digunakan sebagai modal kerja.

JIka dilihat pada prestasi kewangan yang diterima oleh Farm Fresh, ia menunjukkan peningkatan mendadak terutamanya dalam segmen pendapatan selama 3 tahun. Pada tahun 2021, Farm Fresh mencatatkan pendapatan sebanyak RM 490.5 juta berbanding RM 178.23 juta (2019) dan RM 303.07 juta (2020). Peningkatan ini terbantut sedikit apabila keuntungan Farm Fresh sedikit merosot daripada RM 34.38 juta (2019) kepada RM 32.83 juta (2021).

Senheng Sdn Bhd

Sengheng mula ditubuhkan pada tahun 1989 yang merupakan cawangan pertama pada ketika itu. Kini, ia adalah salah satu rangkaian peruncitan penjualan barangan elektrik dan elektronik terbesar di Malaysia. Pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa yang ditawarkan dalam rangkaian ini melibatkan peralatan dapur, peralatan penjagaan diri, gadget dan barangan digital serta pelbagai lagi.

Gambar:

Bukan itu sahaja, Senheng juga mempunyai jenama sendiri dalam produk peralatan memasak yang dikenali sebagai "Delighto". Dana daripada penyenaraian IPO akan digunakan untuk menaik taraf dan meningkatkan kualiti cawangan sedia ada. Selain itu, ia juga digunakan dalam mengembangkan perniagaan pengedaran jenama baru, gudang dan pasaran logistik, serta meningkatkan infrastruktur rangkaian digital.

Dari segi prestasi kewangan Senheng mencatatkan keuntungan sebanyak RM 55.64 juta pada tahun 2020. Keuntungan pada tahun tersebut sedikit menurun berbanding tahun 2018 sebanyak RM 61.06 juta. Namun berbeza pula bagi pendapatan yang diterima, ia memperoleh pendapatan tertinggi sepanjang 3 tahun iaitu tahun 2020 sebanyak RM 1.29 bilion.

Swift Haulage Berhad

Swift Haulage Berhad ditubuhkan pada 29 November 2000 yang pada ketika itu menggunakan nama Yinson Haulage Sdn Bhd. Syarikat ini menyediakan perkhidmatan logistik yang merangkumi pengangkutan kontena, pengangkutan darat, perkhidmatan pergudangan dan penghantaran barangan. Operasi logistik domestik bersepadu dan ibu pejabat terletak di Malaysia, manakala di Thailand tertumpu dalam pengangkutan rentas sempadan.

Gambar: Swift

Penyenaraian IPO ini bertujuan untuk mengumpul dana pembinaan gudang baru, pembeliaan tanah dan 30 unit prime movers, serta pembayaran hutang bank. Antara pemain industri yang terlibat dalam industri sama dengan Swift apabila akan di senaraikan dalam pasaran Bursa Malaysia adalah Tasco, Cj Cen, Tiong Nam, Xin Hwa dan lain-lain.

Dari segi aspek kewangan, Swift menunjukkan prestasi tidak konsisten selama 3 tahun dari tahun 2018 sehingga tahun 2020. Jika dilihat pendapatan Swift pada tahun 2019 lebih tinggi dengan mencatatkan RM 610.20 juta berbanding tahun 2020 sebanyak RM 555.84 juta. Berbeza pula dari segi kadar keuntungan yang diterima, pada tahun 2020 Siab mencatatkan keuntungan sebanyak RM 41.69 juta. Ia merupakan keuntungan tertinggi berbanding tahun sebelumnya.

Aurelius Technologies Berhad

Aurelius adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang memfokuskan pasaran industri produk elektronik. Ia mempunyai anak syarikat yang dikenali sebagai BCM Electronics yang bertapak di Kulim, Kedah. Syarikat ini terlibat dalam 3 segmen produk iaitu produk IoT dan komunikasi, komponen semikonduktor dan peralatan elektronik.

Gambar: atechgroup

Dari segi prestasi kewangan, pendapatan Aurelius tidak konsisten sepanjang 3 tahun dari tahun 2018 sehingga 2020. Pada tahun terbaru 2020 ia mencatatkan pendapatan sebanyak RM 362.17 juta berbanding tahun sebelumnya RM 389.31 juta. Keuntungan pada dua tahun pertama adalah tertinggi dengan mencatatkan sekitar RM 23.8 juta (2018) dan 23.59 juta (2019). Namun, pada tahun 2020 ia telah merosot kepada RM 15.01 juta dengan margin keuntungan 4.2%.

Siab Holdings Berhad

Siab Holdings Berhad merupakan kontraktor G7 yang mempunyai 4 anak syarikat iaitu Siab Construction, Siab Development, Siab Engineering dan Siab Network. Melalui anak syarikat ini, Siab bertanggungjawab dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman. Selain itu syarikat ni juga menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan dalam segmen ICT.

Projek pertama kompleks membeli-belah yang diuruskan oleh Siab. Gambar: Siabmy.com

Melalui IPO ini, Siab akan mendapat dana untuk membeli peralatan mesin pembinaan, pembayaran hutang bank serta mendapatkan perisian dan sistem yang lebih baik. Selain itu, dana ini juga akan digunakan untuk membeli tanah yang bertujuan membina kemudahan penyimpanan bahan binaan dan peralatan mesin.

Dari segi prestasi kewangan, Siab menunjukkan pertumbuhan yang stabil dari tahun 2018 sehingga tahun 2020. Prestasi ini diteruskan apabila Siab mencatatkan keuntungan sebanyak RM 11.04 juta pada tahun 2020 berbanding dua tahun sebelumnya RM 5.63 juta (2018) dan RM 6.95 juta (2019).

Cengild Medical Berhad

Cengild Medical Berhad sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mengendalikan pusat perubatan mengkhususkan dalam diagnosis dan rawatan penyakit gastrointestinal, liver diseases, dan obesity. Dana IPO ini akan digunakan dalam mengembangkan rangkaian pusat perubatan, meningkatkan fasiliti sedia ada dari segi pembelian kemudahan perubatan dan lain-lain.

Gambar: Cengild

Cengild menunjukkan peningkatan pendapatan selama 3 tahun dari tahun 2018 hingga 2020 dengan mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM 39.20 juta. Namun keuntungan sedikit menurun pada tahun 2019 dengan mencatatkan RM 1.48 juta berbanding tahun sebelumnya RM 4.14 juta.

Pada tahun 2020, keuntungan Cengild kembali meningkat sebanyak RM 3.95 juta. Berdasarkan graf kita dapat lihat peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) dari RM 3.84 juta pada FPE 2020 ke RM 8.47 juta pada FPE 2021.

Pelbagai lagi IPO menarik

Berdasarkan propektus IPO dari laman web SC terdapat sekitar 20 syarikat yang telah menghantar draf propektus IPO. Syarikat ini meliputi pelbagai berlainan sektor pemain industri. Antara yang boleh dikenalpasti ialah MTT Shipping and Logistic Berhad, TUC Holdings Berhad, Keyfield International Berhad, HARPS Holdings Berhad, Orgabio Holdings Berhad dan SFP Tech Holdings Berhad.

MTT terlibat dalam perkhidmatan penghantaran maritim, khususnya kapal kontena, pengurusan kapal, logistik automotif dan lain-lain perkhidmatan berkaitan kontena. Penyenaraian ini bakal menambahkan jumlah syarikat yang didagangkan di Bursa dalam sektor perkapalan dan logistik.

Seterusnya, TUC merupakan syarikat pelaburan yang mempunyai dua anak syarikat yang dikenali sebagai VSD dan VSD Green. Melalui anak syarikatnya, ia terlibat dalam perkhidmatan penawaran smart meter, pembuatan arc protection system dan integration of electrical distribution systems serta lain-lain berkaitan produk elektrik.

Syarikat-syarikat di atas telah pun menghantar prospektus awal ke SC, ia menandakan langkah yang semakin hampir ke arah IPO. Ada antara syarikat yang sudah melalui fasa permohonan melalui MITI seperti Orgabio, Aurelius Technologies, MTT, Swift, Senheng dan lain-lain.


< kembali ke laman blog utama