IPO

03-MAR-2022

Farm Fresh Ingin Meluaskan Bisnes Serantau dengan IPO


 


Farm Fresh

Farm Fresh Berhad adalah sebuah syarikat yang terlibat dengan penternakan lembu tenusu, pemprosesan dan penjualan susu lembu. Syarikat ini kini membuka permohonan IPO dan butirannya adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 1.35
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
Utama
Permodalan pasaran:
RM 2.5 bilion
Nisbah PE:
71.1
Permohonan ditutup:
8 Mac 2022
Cabutan saham:
11 Mac 2022
Tarikh penyenaraian:
22 Mac 2022

Bisnes Farm Fresh

Farm Fresh Bhd sebelumnya dikenali sebagai Holstein Milk Company Sdn Bhd. Perniagaan utama syarikat adalah ternakan lembu tenusu dan penjualan susu lembu. Anak syarikat Farm Fresh juga terbabit dalam perniagaan perladangan, pemprosesan dan pengeluaran pelbagai produk tenusu. Setakat ini, syarikat ini mempunyai 5 ladang tenusu di Malaysia dan 1 ladang tenusu di Australia merentasi kira-kira 5,400 ekar tanah, dengan jumlah sekitar 9,960 lembu tenusu dan lembu jantan.

Farm Fresh mempunyai pelbagai portfolio produk seperti produk susu RTD (Ready To Drink) sejuk, produk susu (Ultra-high Temperature Processing) UHT/ambien RTD, produk berasaskan tumbuhan, produk yoghurt, jem buah-buahan dan sos. Rajah di bawah menunjukkan operasi utama syarikat, iaitu daripada perladangan kepada pemprosesan dan pengedaran produk mereka.

Operasi perniagaan Farm Fresh
Operasi utama perniagaan Farm Fresh

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Walaupun pandemik COVID-19 telah melanda dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dijalankan berulang kali di Malaysia, ia tidak memberikan kesan buruk yang ketara terhadap perniagaan dan operasi Farm Fresh. Dari segi kewangan, Farm Fresh juga tidak mengalami kesan yang serius kerana dibenarkan untuk terus beroperasi pada masa tersebut sebagai 'perkhidmatan penting'. Hal ini kerana mereka adalah syarikat yang terlibat dalam sektor makanan dan minuman (F&B) iaitu membekal dan mengeluarkan susu dan produk tenusu lain.

Prestasi kewangan

Farm Fresh mengalami kenaikan pendapatan mendadak selama 3 tahun semenjak FYE 2019, iaitu dari RM 178.23 juta menjadi RM 303.07 juta pada FYE 2020. Kenaikan pendapatan diteruskan pada FYE 2021 menjadi jumlah pendapatan pada tahun tersebut sebanyak RM 490.5 juta. Walaupun negara berada dalam PKP, syarikat ini diberikat kebenaran untuk beroperasi sebagai 'perkhidmatan penting'. Oleh itu, ramai pengguna membeli bertujuan untuk simpanan stok ketika PKP tersebut.

Farm Fresh juga menunjukkan peningkatan dalam keuntungan mereka pada 2020 iaitu sebanyak RM34.38 juta berbanding RM 27.38 juta (2019). Namun, peningkatan ini terbantut sedikit kepada RM 32.83 juta dalam tahun 2021 disebabkan liabiliti cukai tambahan sebanyak RM 25.71 juta.

Prestasi kewangan Farm Fresh
Prestasi kewangan Farm Fresh

Pendapatan Farm Fresh melalui segmen perniagaannya dibahagikan kepada dua, iaitu melalui penjualan produk tenusu dan penjualan produk bukan tenusu. Produk tenusu mereka merangkumi produk susu RTD sejuk, produk susu UHT/ambien, dan yogurt. Manakala, produk bukan tenusu merangkumi produk berasaskan tumbuhan, jem buah dan sos, serta susu mentah.

Pada FYE 2019 sehingga FYE 2020, kenaikan pendapatan banyak disumbangkan daripada dua segmen ini iaitu sebanyak RM 270.52 juta (produk tenusu) dan RM 32.55 juta (produk bukan tenusu) berbanding RM 161.31 juta (produk tenusu) dan RM 16.92 juta (produk bukan tenusu) pada FYE 2019. Kenaikan ini diteruskan pada FYE 2021 menjadi jumlah pendapatan tahun tersebut sebanyak RM 423.76 juta (produk tenusu) dan RM 66.74 juta (produk bukan tenusu).

Jika dilihat, kesemua segmen ini mengalami peningkatan yang baik pada FYE 2019 sehingga FYE 2021 dan pendapatan banyak disumbangkan daripada segmen produk tenusu mereka.

Pendapatan Farm Fresh mengikut segmen

Pendapatan Farm Fresh mengikut segmen

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (juta) Peratusan (%)
Penubuhan hab pembuatan baharu, ladang tenusu baharu, dan kemudahan pemprosesan integrasi di Malaysia 140 46.5
Pengembangan kemudahan di Australia 60 19.9
Pengembangan di kawasan serantau luar Malaysia 40 13.3
Modal kerja 40.8 13.6
Perbelanjaan penyenaraian 20.2 6.7
Jumlah 301 100.0

Jika dilihat dari jadual di atas, dapat disimpulkan bahawa kebanyakkan dana yang diperolehi dari penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan. Majoriti dana sebanyak RM 140 juta akan dimanfaatkan untuk penubuhan hab pembuatan baharu, ladang tenusu baharu, dan kemudahan pemprosesan integrasi di Malaysia. Sebahagian daripada dana iaitu 19.9% akan digunakan untuk pengembangan kemudahan di Australia dan 13.3% untuk pengembangan di kawasan serantau luar Malaysia.

Selain itu, tawaran IPO ini juga dapat memberikan modal kerja kepada syarikat sebanyak 13.6% iaitu bersamaan dengan RM 40.8 juta. Baki selebihnya pula akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Analisis dan industri Farm Fresh

Farm Fresh terlibat dalam industri tenusu, di mana syarikat ini memberi tumpuan kepada penternakan lembu tenusu, pemprosesan dan pengedaran pelbagai produk tenusu dan produk berasaskan tumbuhan.

Industri tenusu

Menurut analisis pasaran industri oleh Frost & Sullivan, industri tenusu di Malaysia berkembang didorong oleh kedua-dua permintaan dan penawaran. Dari segi permintaan, Malaysia semakin mementingkan kesihatan dan mengamalkan diet yang lebih seimbang kaya dengan nutrien dan protein. Dari segi penawaran, syarikat tenusu di Malaysia telah menginovasikan produk yang memenuhi keperluan pengguna, seperti saiz pek baharu, perisa baharu dan lain-lain.

Prestasi industri tenusu
Penjualan runcit produk susu terpilih di Malaysia mengikut segmen

Berdasarkan laporan IMR, industri tenusu ini mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dari 2015 hingga 2019. Penjualan runcit produk susu meningkat dari 2015 hingga 2019. Pada tahun 2020, pasaran tenusu ini menunjukkan prestasi yang mampan didorong dengan pembelian panik untuk penyimpanan stok semasa sekatan pergerakan dikenakan di seluruh negara oleh kerajaan. Dalam sembilan bulan pertama 2021, jualan produk tenusu untuk industri di Malaysia stabil, tetapi merosot sedikit berbanding dengan prestasi kukuh yang dicapai pada 2020.

Persaingan

Industri tenusu di Malaysia mempunyai daya saing yang tinggi, dengan penawaran produk yang pelbagai daripada jenama tempatan hingga antarabangsa. Aktiviti perniagaan Farm Fresh terlibat dalam peringkat upstream, midstream, dan downstream. Di peringkat upstream, Farm Fresh bersaing dengan jenama antarabangsa dan tempatan. Di peringkat midstream dan downstream, Farm Fresh bersaing dengan pemproses yang menghasilkan susu mentah dari Malaysia dan luar negara. Beberapa pesaing Farm Fresh termasuk jenama keluaran bersepadu Malaysia seperti Kedah Dairy, Bright Cow, Eco-Fresh dan banyak lagi. Manakala persaing dari peringkat midstream dan downstream ialah Dutch Lady, Goodday, Marigold dan lain-lain.

Nilai pasaran Farm Fresh dan persaingnya
Nilai pasaran Farm Fresh dan persaingnya

Berdasarkan rajah di atas, Farm Fresh menunjukkan pertumbuhan yang kukuh berbanding persaingnya dari 2018 hingga September 2021. Walaubagaimanapun, jenama Dutch Lady masih menjadi peneraju dalam industri tenusu.

Nilai pasaran Farm Fresh dalam produk susu RTD dan yogurt
Nilai pasaran Farm Fresh dalam produk susu RTD dan yogurt untuk 2015 sehingga September 2021

Tambahan pula, nilai pasaran Farm Fresh untuk produk susu RTD telah meningkat daripada 3% pada 2015 kepada 15% pada sembilan bulan pertama 2021. Manakala, untuk nilai pasaran produk yogurt pula menunjukkan peningkatan kepada 11% dalam sembilan bulan pertama 2021 dariapda 5% pada 2015. Menurut Frost & Sullivan, pada Januari 2022, Farm Fresh mempunyai portfolio terluas bagi produk tenusu buatan tempatan (iaitu produk susu RTD, yogurt dan susu RTD berasaskan tumbuhan) di kalangan syarikat bersepadu Malaysia yang mengeluarkan jenama tenusu tempatan.

Perbincangan

Industri tenusu adalah industri yang tidak terima impak yang besar di kala wabak COVID-19 yang melanda. Walaupun sekatan perjalanan dan PKP telah dilaksanakan berulang kali, ia tidak menjejaskan perniagaan Farm Fresh. Hal ini kerana syarikat Farm Fresh dibenarkan beroperasi sebagai 'perkhidmatan penting', kerana mereka ialah syarikat yang mengeluarkan bekalan produk susu.

Jika diperhatikan, pendapatan syarikat dilihat meningkat dengan baik bagi 3 tahun yang terakhir. Tambahan pula, menurut Frost & Sullivan, syarikat ini mempunyai kedudukan pasaran yang kukuh dan rekod kejayaan dalam segmen perniagaan mereka.

Melalui penyenaraian di IPO ini, Farm Fresh akan menggunakan jumlah besar dana yang dikumpul untuk membangunkan dan mengembangkan perniagaan syarikat. Hal ini menunjukkan satu langkah yang positif oleh syarikat dalam usahanya untuk meningkatkan lagi pendapatan. Namun begitu, syarikat masih perlu membuktikan keberkesanan strategi mereka apabila disenaraikan di Bursa Malaysia pada akhir bulan ini.


< kembali ke laman blog utama