IPO

30-JUN-2022

Ecoscience Ingin Mengembangkan Operasi di Indonesia


 


Ecoscience

Ecoscience International Berhad adalah syarikat penyedia penyelesaian sehenti untuk pembinaan kilang kelapa sawit dan kemudahan sokongan, dan fabrikasi peralatan.

Harga IPO:
RM 0.30
Status syariah:
Penilaian tidak dibuat
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM102 juta
Nisbah PE:
12.5
Permohonan ditutup:
1 Julai 2022
Cabutan saham:
6 Julai 2022
Tarikh penyenaraian:
18 Julai 2022

Dalam prospektus, penilaian syariah tidak dibuat, namun Elzar Shariah telah memberi penilaian patuh syariah pada IPO ini.

Elzar Shariah

Bisnes Ecoscience

Ecoscience International Berhad diperbadankan pada 21 Ogos 2020 secara privated limited company dan kemudian ditukarkan kepada public limited company pada 15 Julai 2021.

Ecoscience merupakan syarikat penyedia penyelesaian sehenti untuk pembinaan kilang kelapa sawit dan kemudahan sokongan, dan fabrikasi peralatan. Aktiviti teras Ecoscience adalah pembinaan kilang, yang kebanyakannya merupakan kilang kelapa sawit dan kemudahan yang disokong oleh fabrikasi peralatan dalaman syarikat. Aktiviti pelengkap lain termasuk pembekalan bahan dan peralatan, alat ganti dan penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan.

Model perniagaan syarikat Ecoscience adalah seperti berikut:

Model perniagaan
Model perniagaan syarikat

Majoriti pendapatan syarikat banyak diperoleh daripada perniagaan dalam industri minyak sawit, manakala pendapatan yang diperoleh daripada industri getah adalah terutamanya untuk aktiviti perniagaan dalam pembinaan kemudahan. Selain itu, pendapatan syarikat juga diperoleh daripada industri lain iaitu fabrikasi peralatan, pembinaan kilang dan kemudahan, dan membekalkan bahan binaan, peralatan pembinaan, alat ganti dan penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan.

Pendapatan syarikat
Gambar: Prospektus

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Disebabkan COVID-19 yang melanda seluruh dunia, operasi perniagaan syarikat Ecoscience di Malaysia, Gabon dan Indonesia terjejas. Dengan pelaksanaan sekatan perjalanan antarabangsa dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), telah melambatkan kerja-kerja terhadap beberapa projek syarikat dan penggantungan sementara kemudahan fabrikasi telah dilaksanakan. Akibatnya, beberapa penghantaran struktur keluli fabrikasi, mesin dan peralatan telah terganggu. Beberapa projek telah ditangguhkan semasa FYE 2020 dan FYE 2021 dan lanjutan masa telah diminta daripada beberapa pelanggan. Ini mengakibatkan pelaksanaan projek syarikat bergerak perlahan.

Ecoscience juga mengalami perbelanjaan pengangkutan dan logistik yang lebih tinggi untuk tahun 2020 dan 2021 berbanding tahun 2019. Syarikat Ecoscience juga mencatatkan kerugian kasar untuk beberapa projek pada tahun 2020 akibat lebihan kos daripada kelewatan dalam beberapa projek, dan peningkatan kos penghantaran serta harga keluli.

Prestasi kewangan

Ecoscience menunjukkan pendapatan yang menaik pada tahun 2019. Ia meningkat sebanyak 50.43% daripada RM 113.63 juta tahun 2018 kepada RM 170.9 juta tahun 2019. Keuntungan bersih tertinggi juga pada tahun 2019 sebanyak RM 12.48 juta. Ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan hasil sebanyak RM53.2 juta daripada pembinaan kilang dan kemudahan.

Bagi FYE 2020, jumlah pendapatan Ecoscience mengalami penurunan sebanyak RM17.2 juta atau kira-kira 10.1% kepada RM153.7 juta berbanding RM 170.9 juta pada FYE 2019. Untuk FYE 2021, jumlah pendapatan menurun sedikit sebanyak RM0.5 juta atau kira-kira 0.3% kepada RM153.2 juta berbanding pada FYE 2020.

Prestasi kewangan
Prestasi kewangan

Pendapatan syarikat Ecoscience International Berhad diperolehi daripada 4 segmen iaitu pembinaan kilang dan kemudahan, fabrikasi peralatan, bekalan bahan dan peralatan dan perniagaan lain.

Prestasi kewangan mengikut segmen
Prestasi kewangan mengikut segmen

Jika lihat pada rajah di atas, pendapatan bagi segmen pembinaan kilang dan kemudahan menurun sejak tahun 2019. Manakala, segmen lain seperti fabrikasi peralatan dan bekalan bahan & peralan meningkat sejak tahun 2018. Namun, secara keseluruhannya, majoriti pendapatan syarikat Ecoscience banyak diperoleh daripada segmen pembinaan kilang dan kemudahan dan diikuti dengan segmen fabrkasi peralatan, bekalan bahan dan peralan serta aktiviti perniagaan lain.

Strategi IPO pada masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (juta) Peratusan (%)
Menubuhkan kemudahan fabrikasi baru dan pejabat di Indonesia 5 20.3
Mengembangkan perniagaan cekap tenaga dan mesra alam 1 4.1
Modal kerja 7.85 31.8
Pembayaran balik pinjaman bank 7 28.4
Perbelanjaan penyenaraian 3.8 15.4
Jumlah 24.65 100.00

Majoriti dana yang dikutip daripada penyenaraian IPO akan digunakan sebagai modal kerja syarikat iaitu sebanyak RM 7.85 juta, bersamaan 31.8% daripada dana IPO. Selain itu, syarikat Ecoscience akan memanfaatkan dana IPO yang diperoleh untuk mengembangkan perniagaannya iaitu melalui pembinaan kemudahan fabrikasi baru dan pejabat di Indonesia diperuntukkan sebanyak RM 5 juta iaitu bersamaan dengan 20.3% daripada dana IPO serta RM 1 juta untuk pengembangan perniagaan cekap tenaga dan mesra alam.

Syarikat Ecoscience juga akan menggunakan RM 7 juta daripada hasil IPO untuk pembayaran balik pinjaman bank. Baki selebihnya pula akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri Ecoscience

Menurut laporan IMR, Ecoscience International Berhad dan anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam pembinaan kilang kelapa sawit dan infrastruktur berkaitan, termasuk pengeluaran peralatan pengilangan minyak sawit. Operasi perniagaan ini menyumbang sekurang-kurangnya 75% daripada jumlah pendapatan Ecoscience.

Industri pengilangan kelapa sawit

Rantaian nilai industri minyak sawit bermula dari ladang kelapa sawit di mana pokok kelapa sawit diusahakan untuk menghasilkan fresh fruit bunches (FFB) yang mengandungi buah-buahan dari mana minyak sawit diekstrak. Kilang kelapa sawit perlu berdekatan dengan sumber FFB ini kerana kualiti buah merosot dari masa dipetik sehingga diproses.

Industri kelapa sawit
Industri kelapa sawit

Operasi segmen upstream bermula dari ladang kelapa sawit, kemudian di proses di kilang kelapa sawit dan kilang penghancur isirong. Manakala, dalam segmen downstream, operasi yang terlibat adalah penapisan minyak sawit di kilang. Penapisan ini bertujuan untuk membuang unsur-unsur yang tidak diingini daripada CPO dan CPKO untuk mendapatkan produk minyak sawit yang ditapis.

Perkhidmatan Ecoscience di kategorikan di segmen upstream, di mana mereka terlibat terutamanya dalam pembinaan kilang dan kemudahan kelapa sawit dan fabrikasi peralatan pengilangan minyak sawit.

Prestasi industri

Perkhidmatan minyak sawit syarikat Ecoscience ini tertumpu di pasaran negara Malaysia, Indonesia dan Gabon. Oleh itu, kita akan lihat prestasi industri minyak sawit untuk 3 negara tersebut.

Prestasi industri minyak sawit di Malaysia

Industri minyak sawit adalah salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. GDP industri minyak sawit menunjukkan prestasi industri, di mana ia berkait dengan permintaan untuk pembinaan kilang dan peralatan minyak sawit. Menurut laporan IMR, sektor minyak sawit menyumbang 35.1% daripada GDP industri pertanian pada 2021.

Prestasi minyak sawit Malaysia
Prestasi minyak sawit di Malaysia

Pada tahun 2021, GDP industri minyak sawit merosot sebanyak 5.6% berbanding tahun 2020. Pada Q1 2022, GDP industri minyak sawit meningkat sebanyak 3.9% berbanding hingga Q1 2021. Secara keseluruhan pada tahun 2022, industri pertanian diramalkan pulih dan berkembang sebanyak 1.5%. Menurut laporan IMR, ramalan kenaikan ini didorong oleh pengeluaran kelapa sawit yang lebih tinggi dengan jangkaan peningkatan dalam tenaga buruh serta hujan yang lebih lebat pada awal tahun yang akan meningkatkan kelembapan tanah, secara tak langsung akan meningkatkan hasil kelapa sawit pada akhir tahun nanti.

Prestasi industri minyak sawit di Gabon

Menurut data terkini yang tersedia, GDP industri pertanian Gabon berkembang pada CAGR sebanyak 13.5% antara 2017 dan 2019, mengatasi pertumbuhan GDP negara sebanyak 3.8% dalam tempoh yang sama. Walau bagaimanapun, sumbangan pertanian kekal terhad, iaitu kurang daripada 3.0% daripada keseluruhan GDP sepanjang masa yang sama.

Prestasi minyak sawit di Gabon
Prestasi minyak sawit di Gabon

Prestasi industri minyak sawit di Indonesia

Pada tahun 2021, industri pembuatan, perdagangan, pertanian dan pembinaan merupakan penyumbang utama kepada GDP Indonesia, manakala industri pertanian menyumbang kira-kira 12.6% kepada keseluruhan GDP Indonesia. Pada tahun 2020, ekonomi Indonesia menguncup sebanyak 2.1%, terutamanya disebabkan oleh pandemik COVID-19. Namun, GDP industri pertanian berkembang sebanyak 1.8%, walaupun pada kadar yang lebih rendah berbanding tahun 2019.

Prestasi minyak sawit di Indonesia
Prestasi minyak sawit di Indonesia

Pada tahun 2021, GDP bagi ekonomi Indonesia tumbuh 3.7% berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, GDP industri pertanian meningkat sebanyak 1.9% pada 2021.

Persaingan

Berdasarkan prospektus, persaingan Ecoscience di dalam industri dipilih berdasarkan kriteria seperti dibawah:

Antara pesaing Ecoscience yang menepati kriteria-kriteria di atas adalah seperti berikut:

Pesaing syarikat
Pesaing Ecoscience yang terlibat dalam industri yang sama

Perbincangan

Pembinaan kilang dan kemudahan, serta fabrikasi peralatan untuk pengilangan minyak sawit boleh dikatakan berkait rapat dengan prestasi industri minyak sawit. Industri minyak sawit yang berkembang maju dicerminkan oleh peningkatan keluasan ladang kelapa sawit dan juga didorong oleh harga CPO. Harga CPO pula bergantung kepada permintaan global, persaingan daripada minyak makan pengganti seperti sunflower, rapeseed dan soybean, permintaan daripada penggunaan bukan makanan seperti biodiesel, pengaruh iklim seperti El Nino dan La Nina, serta sekatan perdagangan dari negara pengimport utama.

Jika diperhatikan, prestasi kewangan syarikat agak menurun. Namun, melalui penyenaraian IPO ini, Ecoscience menunjukkan majoriti dana IPO yang dikutip akan dimanfaatkan sebagai modal kerja untuk mengembankan lagi perniagaan syarikat. Perancangan ini adalah usaha syarikat Ecoscience untuk meningkatkan lagi pendapatan dan keuntungan syarikat. Walaubagaimanapun, mereka perlu membuktikan keberkesanan perancangan mereka apabila disenaraikan di Bursa Malaysia nanti.


< kembali ke laman blog utama