UMUM

21-OCT-2021

Ecomate Meluaskan Pasaran dalam Industri Perabot


 


Ecomate Holdings Berhad

Ecomate Holdings Berhad adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam segmen pembuatan dan eksport perabot. Butiran IPO Ecomate adalah seperti di bawah:

Harga IPO:
RM 0.33
Status syariah:
Penilaian tidak dibuat
Pasaran:
ACE Market
Market Capitalisation:
RM 115.5 Juta
Nisbah PE:
13.56 (FYE 2021)
Permohonan ditutup:
25 Oktober 2021
Cabutan saham:
28 Oktober 2021
Tarikh penyenaraian:
8 November 2021

Dalam prospektus, penilaian syariah tidak dibuat. Namun, Elzar Shariah telah memberi penilaian patuh syariah pada IPO ini.

Status Shariah Ecomate
Gambar: Elzar Shariah

Bisnes Ecomate

Ecomate Holdings Berhad diperbadankan pada 11 November 2020 secara privated limited company dan kemudian ditukarkan kepada public limited company pada 15 Disember 2020. Syarikat ini diasaskan oleh Koh Cheng Huat bersama sepupu beliau iaitu Jason Koh Jian Hui.

Syarikat yang berpangkalan di Muar Johor ini terlibat dalam industri pembuatan perabot. Melalui anak syarikatnya Ecomate, ia menghasilkan dan mengeluarkan produk perabot sedia di pasang yang diperbuat daripada chipboard atau MDF board. Antara produk Ecomate adalah seperti perabot di ruang tamu, bilik tidur atau lain-lain perabot berdasarkan spesifikasi dan kriteria yang diminta oleh pelanggan mereka. Kini, Ecomate mempunyai hampir 700 reka bentuk perabot yang berhasrat mengembangkan lagi reka bentuk produk baru. 

Perkhidmatan Industri Ecomate
Gambar: Propektus IPO Ecomate

Bukan itu sahaja, Ecomate juga mengeksport produk mereka hampir ke serata dunia yang melibatkan 30 buah negara. Untuk lebih dikenali di pasaran asing, Ecomate telah mempertingkatkan pemasaran dengan menyertai pameran perdagangan perabot dengan mempamerkan produk perabot siap dipasang dan bertemu pelanggan baru. Sepanjang tahun 2016 sehingga 2019, Ecomate telah menyertai CIFF di Shanghai, China dan MIFF di Kuala Lumpur, Malaysia.  

Antara produk ditawarkan bagi segmen perabot ruang tamu. Gambar: Propektus IPO Ecomate

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Apabila wabak pandemik Covid-19 menular di Malaysia menyebabkan beberapa sektor dan aktiviti ekonomi tidak beroperasi terutamanya dalam perkhidmatan tidak penting.  Kesannya, Ecomate mengalami tunggakan pengeluaran yang mengakibatkan berlakunya kelewatan dalam memenuhi pesanan sepanjang tempoh tersebut di pasaran domestik dan eksport. Walau bagaimanapun, tiada sebarang pembatalan pesanan jualan atau tuntutan kerugian disebabkan kelewatan penghantaran produk perabot dibuat.

Apa yang positifnya, perniagaan Ecomate bukan melibatkan pengguna akhir tetapi melibatkan pembeli dari pengedar, pemborong, peruncit dan syarikat yang menggunakan saluran e-dagang. Disebabkan pandemik Covid-19, segmen e-dagang telah menjadi saluran penjualan utama untuk perabot siap dipasang. Pelanggan Ecomate merupakan salah satu penjual dalam e-dagang yang memasarkan produk Ecomate dalam platform dalam talian Amazon. Kesannya, produk Ecomate dapat diakses ke seluruh dunia melalui penyebaran platform e-dagang oleh pelanggan mereka.

Jenis Pelanggan Ecomate
Gambar: Propektus IPO Ecomate

Prestasi kewangan

Ecomate menunjukkan pendapatan meningkat selama 3 tahun dari tahun 2019 sehingga 2021. Pada tahun 2021, ia mencatatkan pendapatan sebanyak RM 56.34 juta berbanding dua tahun sebelumnya RM 42.39 juta (2020) dan RM 24.14 juta (2019). 

Margin keuntungan selepas cukai adalah lebih baik pada tahun 2021 sebanyak 15.1% berbanding tahun 2019 (13.8%) dan 2020 (13.7%). Berdasarkan graf kita dapat lihat peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) dari RM 0.67 juta pada FPE 2021 ke RM 2.40 juta pada FPE 2022. 

prestasi kewangan Ecomate Holdings berhad

 

Secara keseluruhannya, nilai pendapatan Ecomate mengalami fasa peningkatan berterusan selama 3 tahun. Tahun 2021 adalah tahun terbaik dengan mencatatkan keuntungan tertinggi sebanyak RM 8.52 juta. Peningkatan ini disumbang melalui 3 segment produk iaitu perabot di ruang tamu, bilik tidur dan lain-lain perabot. 

Dari segi jualan eksport dan pendapatan dari luar negara, Ecomate menggunakan transaksi kadar tukaran tetap USD. Harga perabot ini dinilai berdasarkan kos bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk perabot. Semakin tinggi kos bahan digunakan, semakin mahal harga jualan perabot dikenakan.

a) Harga Perabot Ruang Tamu:

b) Harga Perabot Bilik dan lain-lain:

Pada FYE 2021 jumlah pengeluaran unit Ecomate telah meningkat dari 289,911 unit (FYE 2020) kepada 414,557 unit.

Pendapatan Segmen Industri Ecomate

Strategi IPO dan masa depan

Ecomate akan mengumpul dana sebanyak RM 16.17 juta melalui IPO ini. Dana ini akan digunakan untuk tujuan berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembelian peralatan dan mesin 6.00 37.1
Pembinaan kilang dan hostel 2.00 12.4
Pembelian bahan mentah 5.27 32.6
Perbelanjaan penyenaraian 2.90 17.9
Jumlah 16.17 100.0

Daripada jumlah RM 16.17 juta dana IPO, RM 6 juta merangkumi 37.1% bakal digunakan untuk pembelian peralatan dan mesin. Pembelian ini berupaya menambah jumlah pengeluaran sebanyak 79.2 ribu unit setahun. Secara tidak langsung jumlah pengeluaran Ecomate akan meningkatkan di Kilang A dan Kilang B sebanyak 475,200 unit setahun.

Menjangkakan perniagaan Ecomate semakin berkembang, sebanyak RM 2 juta bersamaan 12.4% penggunaan dana IPO akan digunakan dalam pembinaan kilang dan hostel baru. Pembinaan ini melibatkan kos RM 9 juta berkeluasan 60 ribu kaki persegi meliputi (kilang C) dan 1 blok asrama berkembar empat tingkat dalam sebidang tanah yang sama. RM 2 juta ini akan digunakan membiayai kos pembinaan kilang C dan bakinya dibayar melalui pinjaman bank atau sumber dana yang dijana. Apabila siapnya kilang baru ini, Ecomate berupaya memenuhi kapasiti pengeluaran sekitar 237,600 unit.

Selain itu, Ecomate juga memperuntukkan dana sebanyak RM 5.27 juta untuk pembelian bahan mentah. Bahan mentah ini melibatkan particles board dan MDF board yang digunakan untuk menghasilkan produk perabot mereka. Semasa FYE 2021, Ecomate telah membelanjakan RM 17.3 juta untuk pembelian bahan mentah ini. Selebihnya dana IPO akan digunakan dalam perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri Ecomate

Pendapatan Ecomate bukan sahaja diperolehi dari dalam negara, malah melibatkan jualan eksport ke luar negara. Jika dilihat pada analisis pendapatan di bawah, kita dapat melihat pendapatan tertinggi di rantau Asia selain Malaysia sebanyak (36.4%), Eropah (13.7%), Amerika Utara (17.2%), Australasia (10.9%) dan Afrika (1.9%).

Pendapatan Ecomate mengikut geografi
Gambar: Segmen pasaran geografi Ecomate 

Prestasi industri perabot

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis produk perabot yang dihasilkan melibatkan perabot kayu, rotan dan perabot logam. Walau bagaimanapun, pembuatan perabot berasaskan kayu dan rotan adalah segmen terbesar. Antara tahun 2010 sehingga 2019, Malaysia mencatatkan pertumbuhan dari RM 11.4 bilion kepada RM 17.8 bilion bersamaan CAGR 5.1%.

Pada tahun 2020, pengeluaran perabot Malaysia merosot kepada RM 16.5 bilion disebabkan pandemik Covid-19 telah memberi kesan dalam industri perabot. Jika dilihat pada sudut geografi di Malaysia. Muar adalah kawasan utama yang menghasilkan dua per tiga kadar eksport di Malaysia. 

Industri Perabot di Malaysia
Gambar: Propektus IPO Ecomate

Permintaan eksport dan import dalam industri perabot

Sepanjang tahun 2010 dan 2019, eksport perabot Malaysia telah meningkat dari RM 8.0 bilion kepada RM 11.1 bilion dengan CAGR 2.7%. Pada tahun 2020, eksport perabot Malaysia konsisten meningkat menjadi RM 12.9 bilion (YoY) sebanyak 16.2%. Peningkatan didorong oleh peningkatan jual beli dalam platform secara dalam talian e-dagang. Hal ini disebabkan ketika wabak Covid-19 melanda, ramai orang bekerja dari rumah.

Bukan setakat itu saja, kadar import di Malaysia juga berlakunya peningkatan pertumbuhan dalam tempoh yang sama sebanyak RM 1.3 bilion kepada Rm 3.1 bilion pada CAGR 9.9%. Pada tahun 2020, import perabot Malaysia meningkat kepada RM 4.00 bilion (YoY) sebanyak 29.0%. Pada tahun 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-9 peengeksport perabot terbesar di dunia dengan kadar eksport berjumlah RM 12.9 bilion.

Eksport dan import industri perabot
Gambar: Propektus IPO Ecomate

Prestasi industri perabot secara global

Undang-undang dan peraturan yang dikenakan oleh negara lain juga telah mempengaruhi kadar eksport perabot di Malaysia. Situasi ini dapat dilihat apabila Amerika Syarikat dan China saling mengenakan tarif antara satu sama lain disebabkan isu perdagangan pada bulan Julai 2018.

Kesannya, Malaysia telah menerima kelebihan daripada perang dagangan ini apabila eksport perabot ke AS telah meningkat sebanyak USD 0.9 bilion pada tahun 2018 kepada USD 1.1 bilion (2019) dan USD 1.9 bilion (2020).

Gambar: Propektus IPO Ecomate

Pesaing bisnes

Antara pesaing atau syarikat yang terlibat dalam industri yang sama dengan Ecomate telah disenaraikan dalam propektus berikut:

Pesaing yang terlibat dalam industri sama dengan Ecomate. Gambar: IPO Propektus Ecomate

Seperti yang dilihat di atas, Ecomate merupakan antara pemain industri yang agak kecil dalam industri perabot. Namun itu bukan satu ukuran dalam penentuan prestasi syarikat. Berdasarkan laporan kewangan 2021, syarikat dinilai pada nisbah PE 13.56, lebih kecil sedikit jika dibandingkan median sektor perabot sebanyak PE 14.3. Secara dasarnya, dana ini membolehkan Ecomate mengembangkan pasaran lebih baik pada masa akan datang, tertakluk bagaimana cara keberkesanan dana ini diuruskan oleh pihak pengurusan.

Perbincangan

Melihat secara keseluruhannya, Ecomate menunjukkan prestasi memberasangkan sama ada dari segi pendapatan, mahupun keuntungan yang diperolehi sepanjang 3 tahun dari 2019 sehingga 2021. Peningkatan ini didorong oleh pendapatan yang diperolehi dari produk perabot yang dihasilkan sama ada dipasarkan secara domestik ataupun secara ekspot yang melibatkan hampir 30 buah negara.

Dari sudut positifnya, Ecomate menjalankan bisnes " dibuat secara pesanan" ia bermaksud produk perabot hanya dihasilkan setelah menerima pesanan dari pelanggan. Kaedah ini berupaya mengelakkan stok produk yang tidak laku atau perubahan trend design perabot.

Selain itu, Ecomate berupaya mengurangkan kos penghantaran produk disebabkan menggunakan kaedah pembungkusan corrugated box dan polyfoam secara rata dimana perabot tersebut dibungkus tanpa pemasangan. Maklumat pemasangan dan alat asas akan disediakan dalam pembungkusan tersebut. Kaedah ini berupaya mengelakkan kerosakan semasa penghantaran dan memudahkan produk di eksport ke luar negara.

Antara risiko yang mungkin akan dihadapi oleh Ecomate adalah majoriti produk yang dihasilkan tidak melibatkan perjanjian jangka masa panjang hanya melibatkan pelanggan dalam jangka masa pendek berdasarkan pesanan pembelian. Walau bagaimanapun, Ecomate menyatakan ia tidak bergantung pada pelanggan tunggal saja. Namun, mempunyai pelanggan dari pengedar, pemborong, peruncit dan syarikat yang menggunakan saluran e-dagang dari pelbagai negara di seluruh dunia. 


< kembali ke laman blog utama