UMUM

16-DEC-2021

Dyson - Syarikat Terkemuka dalam Pengeluaran Barangan Perkakas Rumah


 


Dyson merupakan sebuah syarikat teknologi yang berasal dari British yang ditubuhkan pada tahun 1991 oleh James Dyson di United Kingdom. Syarikat ini mencipta dan menghasilkan beberapa jenis model pembersih vakum. Dyson bukan sahaja terkenal dengan pembersih vakum, malah mereka juga menghasilkan barangan perkakas rumah seperti pengering rambut, penapis udara, pengering tangan dan pelbagai lagi. Sejak ditubuhkan, prestasi Dyson semakin dikenali dan mendapat perhatian sebagai salah satu pelopor dalam industri ini. Ia mempunyai beribu-ribu pelanggan sekitar 100 negara dan 340 rangkaian jualan kedai di serata dunia.

Siapa James Dyson

James Dyson yang kini dikenali sebagai Sir James Dyson adalah seorang pencipta British yang dilahirkan di Norfolk, England pada 2 Mei 1947. Semasa zaman remaja, beliau mendapat pendidikan di Gresham's School dari tahun 1956 sehingga 1965. Kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang perabot dan reka bentuk dalaman di Royal College of Art selama 4 tahun dari tahun 1966 sehingga tahun 1970. Selepas itu, barulah beliau melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

James Dyson
Gambar: famous-entrepreneurs

Timbulnya idea penciptaan

Idea ini timbul apabila James berasa kecewa apabila pembersih vakum yang dibelinya sentiasa mengalami kerosakan berulang kali. Kerosakan ini disebabkan kotoran habuk tersumbat sehingga berlakunya kehilangan kuasa sedutan. James Dyson telah membuat lawatan dan merangka idea untuk menghasilkan pembersih vakuum yang lebih cekap dan efektif. Beliau telah berhasil mencipta pembersih vakum cyclonic pertama di dunia tanpa menggunakan beg penyedut.

Idea Penciptaan Vakum Dyson
Gambar: jamesdysonfoundation

Pembersih vakum pertama Dyson berjaya terjual di Jepun apabila syarikat Apex pada ketika itu mempatenkan reka bentuknya. Pembersih vakum ini dikenali sebagai G-force yang dijual pada harga USD 2000 seunit di Jepun. James Dyson telah mengumpul pendapatan yang diperolehi dari royalti ini dengan menubuhkan syarikat Dyson serta pusat penyelidikan di United Kingdom pada tahun 1993. Dyson mengambil masa hampir 10 tahun selepas penciptaan produknya untuk dikenali dan dipasarkan di seluruh negara. Kini Dyson Dual Cyclone merupakan salah satu pembersih vakum terlaris yang dijual di seluruh dunia.

Perubahan teknologi dan reka bentuk pembersih vakum Dyson selama 25 tahun. Gambar: Dyson

Pengoperasian

Pada penghujung tahun 2002, syarikat Dyson telah memindahkan kilang pengeluaran dari Malmesbury ke negara Malaysia atas faktor ekonomi dan pengembangan operasi mereka. Kilang ini terletak di Senai Johor. Dyson juga dijangka memindahkan ibu pejabat (HQ) ke negara Singapura di St James Power Station.

Dyson Malaysia
Gambar: Dyson, Malaysia

Syarikat pembekal terlibat dengan Dyson

Apabila kilang pengeluaran Dyson berpindah ke Malaysia, ia telah memberi banyak manfaat ekonomi terutamanya kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut. Secara tidak langsung, kilang yang beroperasi di Johor juga menerima tempias yang sama. Jika dilihat, terdapat beberapa buah syarikat di Johor pernah dan ada juga yang masih menjalinkan kerjasama kontrak dengan Dyson. Ia juga melibatkan syarikat yang didagang di Bursa Malaysia adalah seperti:

VS

VS Industry Berhad merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1982 yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia tahun 1998. VS terlibat dalam industri electronic manufacturing service (EMS) dengan mempunyai pelanggan dari pelbagai jenama global untuk produk elektrik dan elektronik pejabat serta isi rumah. Syarikat yang berpangkalan di Senai Johor ini disenaraikan sebagai 50 syarikat terbaik di dunia bagi sektor EMS selama 10 tahun berturut-turut. 

Gambar: VS

SKPRES

SKP Resources Bhd ataupun dikenali sebagai SKPRES di Bursa Malaysia merupakan sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman hampir 40 tahun dalam industri pembuatan plastik bagi barangan elektrik dan elektronik. Syarikat yang berpangkalan di Batu Pahat Johor ini, mempunyai pelanggan dari pelbagai jenama barangan yang terlibat dalam peralatan IT, peralatan audio dan visual, peralatan rumah, komponen automotif, komputer dan pelbagai lagi. Jenama tersebut adalah:

Misalnya, pada tahun 2016 SKPRES telah memperolehi kontrak selama 4 tahun dengan nilai sebanyak RM 2 bilion daripada Dyson bagi pembuatan produk pengering rambut. (sumber theedgemarket).

Produk SKPRES
Gambar: SKPRES

ATAIMS

Baru-baru ini agak kecoh apabila syarikat pengeluar pembersih vakum berteknologi terkemuka Dyson telah menamatkan kontrak dengan ATAIMS pada 24 November 2021. Kontrak ini melibatkan Dyson Operations Pte Ltd (Dyson Operations) dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd (Dyson Manufacturing). Ia disebabkan dakwaan ATAIMS telah terlibat dengan isu pengabaian buruh pekerja. Penamatan kontrak ini telah memberikan kesan drastik kepada ATAIMS apabila sekitar 80% pendapatan diperolehi mereka daripada kerjasama dengan Dyson. 

ATAIMS merupakan sebuah syarikat yang bertapak di Kawasan Perindustrian Dewani, Johor yang didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Syarikat ini terlibat dalam sektor electronic manufacturing service (EMS), automotif, internet of thing (IOT) dan lain-lain. ATAIMS juga terlibat dalam plastic injection moulding, box build assembly, painting, mould design fabrication, PCBA, filter dan logistik. 

Gambar: ATAIMS

MTAG

MTAG Group merupakan sebuah syarikat yang mempunyai 3 anak syarikat iaitu Toyo Sho Industrial Products Sdn Bhd, Intag Industrial Supplies Sdn Bhd dan Intag Steel Hardware Sdn Bhd. MTAG menyediakan perkhidmatan pencetakan label dan pelekat, pelekat industri, adhesives dan lain-lain produk. Selain itu, MTAG merupakan pengedar pita industri dan produk pelekat di jenama 3M dan Henkel. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1995 yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Tebrau III, Johor Bahru. Syarikat ini didagangkan sebagai tidak patuh shariah dalam pasaran Bursa Malaysia.

Antara pelanggan MTAG adalah:

Produk MTAG
Antara produk yang ditawarkan oleh MTAG. Gambar: MTAG

Aimflex

Aimflex Berhad memulakan operasi perniagaan pada 29 Januari 2007 dengan tertubuhnya AIMFLEX Technology Sdn. Bhd (dahulunya dikenali sebagai i-Stone Technology Sdn Bhd). Syarikat ini beroperasi di Skudai, Johor yang terlibat dalam automation, test and measurement, data management system, precision parts and sheet metal fabrication, siemens digital industries software. Syarikat ini baru sahaja didagangkan di pasaran Bursa Malaysia melalui penyenaraian IPO pada tahun 2019 dengan nama saham pada ketika itu "ISTONE".

Berdasarkan maklumat propektus IPO, Aimflex menerima separuh pendapatan syarikat daripada Dyson sepanjang tahun 2015 sehingga tahun 2018. Ia melibatkan jumlah sebanyak RM 23.87 juta (2015), RM 26.54 juta (2016), RM 40.13 juta (2017) dan RM 44.26 juta (2018).

Propektus IPO AIMFLEX
Maklumat pendapatan yang diperolehi oleh Aimflex ketika penyenaraian IPO. Gambar: Propektus IPO Aimflex.

Kesimpulan

Selepas hampir 30 tahun ditubuhkan, Dyson telah berkembang sebagai sebuah syarikat teknologi yang besar dengan mempunyai sebanyak 1000 jurutera di seluruh dunia. Pada penghujung Disember 2020, Dyson telah memperolehi pendapatan sebanyak USD 8.2 bilion

Rujukan

 


< kembali ke laman blog utama