IPO

21-DEC-2022

DS Sigma - Dana IPO untuk Perolehan Jentera dan Kilang Baharu


 


DS Sigma terlibat dalam pembuatan produk pembungkusan kertas beralun termasuk karton, perlindungan bungkusan dan palet kertas, termasuk perlindungan bungkusan yang tidak berasaskan kertas seperti plastik, foam dan produk berasaskan getah.

Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.55
Status syariah:
Disahkan syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 264 juta
Nisbah PE:
12.56
Permohonan ditutup:
21 Disember 2022
Cabutan saham:
27 Disember 2022
Tarikh penyenaraian:
6 Januari 2023

Perniagaan DS Sigma

Syarikat ini telah diperbadankan sebagai syarikat persendirian di bawah nama DS Sigma Holdings Sdn Bhd dan seterusnya ditukarkan kepada syarikat awam pada 17 Febuari 2022.

Struktur syarikat selepas disenaraikan adalah seperti berikut:

Struktur syarikat
Sumber: Prospektus IPO

DS Manufacturing terlibat dalam pembuatan produk pembungkusan kertas beralun, manakala DS Packaging terlibat dalam pembuatan produk pembungkusan kertas beralun dan juga produk bungkusan bukan berasaskan kertas seperti plastik, foam dan produk getah. Kaisung pula terlibat dalam pembekalan produk perlindungan bungkusan.

Rajah berikut menggambarkan model perniagaan DS Sigma:

Model perniagaan DS Sigma
Model perniagaan syarikat

Prestasi kewangan DS Sigma

Pada tahun kewangan 2020, pendapatan syarikat menurun sebanyak RM 19.79 juta (18.73%), menjadi RM 85.89 juta daripada RM 105.68 juta pada tahun 2019. Ini adalah kerana terdapat kekurangan permintaan daripada pelanggan-pelanggan utama yang terkesan akibat persaingan elektronik pengguna secara global.

Selain itu, syarikat ini juga adalah salah satu syarikat yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu pandemik COVID-19 melanda akibat panggantungan sementara aktiviti perniagaan. Pendapatan syarikat menurun daripada RM 8.65 juta menjadi RM 5.33 juta pada bulan Mac 2020 dan RM 0.73 juta pada April 2020.

Pendapatan syarikat kemudian meningkat sebanyak RM 41.97 juta (48.86%) menjadi RM 127.86 juta pada tahun 2021. Namun, jatuh semula sebanyak RM 6.64 juta (5.19%) pada tahun 2022. Ini adalah kerana terdapat kekurangan permintaan daripada pelanggan-pelanggan utama yang terganggu akibat Pelan Pemulihan Fasa 1 dan juga yang terpaksa menghentikan model produk daripada Rusia semasa sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas negara itu pada awal tahun 2022.

Prestasi kewangan syarikat

Pendapatan syarikat DS Sigma datang daripada 2 segmen perniagaan iaitu:

  1. Pembuatan produk pembungkusan kertas beralun
  2. Pembekalan produk perlindungan bungkusan

Pendapatan syarikat mengikut segmen adalah seperti di bawah:

Prestasi kewangan mengikut segmen

Secara umumnya, pendapatan syarikat yang diperoleh daripada jualan barangan atau khidmat akan dikira apabila barangan tersebut telah diterima oleh pelanggan. Dari tempoh tahun kewangan 2019 sehingga tahun 2022, pendapatan syarikat meningkat dengan kadar CAGR sebanyak 4.68%, iaitu daripada RM 105.68 juta pada tahun 2019 menjadi RM 121.22 juta pada tahun 2022. Peningkatan ini adalah kebanyakkannya disumbangkan oleh operasi pembuatan.

Operasi pembuatan syarikat DS Sigma adalah segmen utama yang menyumbang kepada majoriti pendapatan syarikat, iaitu sebanyak 72.66% pada tahun 2019, pada 74.67% tahun 2020, 78.57% pada tahun 2021 dan 80.36% pada tahun 2022. Ini adalah disebabkan oleh penjualan karton dan produk perlindungan pembungkusan.

Manakala untuk pembekalan produk perlindungan pembungkusan pula menyumbang kepada 27.34% (RM 28.90 juta), 25.33% (RM 21.76 juta), 21.43% (RM 27.40 juta) dan 19.64% (RM 23.81 juta) daripada jumlah pendapatan pada tahun 2019, 2020, 2021 dan 2022. Pendapatan ini adalah hasil daripada jualan beg LDPE dan HDPE, foam dan beg PE foam yang berlamina.

Pelanggan utama syarikat

DS Sigma bergantung kepada sekumpulan pelanggan utama iaitu SSCSM, Samsung Electronics, SOEM, PAACM dan PAVC, yang secara kolektif mengambil kira 91.33%, 91.85%, 78.97% dan 73.32% daripada jumlah hasil syarikat untuk tahun kewangan 30 Jun 2019, 30 Jun 2020, 30 Jun 2021 dan 30 Jun 2022.

Berikut merupakan senarai pelanggan utama DS Sigma:

Senarai pelanggan utama syarikat

Kelebihan daya saing

DS Sigma mampu menyediakan produk pembungkusan seperti produk papan beralun, pembekalan bahan bungkusan dan penyediaan perkhidmatan nilai tambah dengan pembuatan secara in house.

Syarikat ini juga telah beroperasi selama 20 tahun, di mana mereka telah membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan-pelanggan mereka. 5 pelanggan utama mereka ini telah menjalinkan hubungan perniagaan bersama selama 9 tahun hingga 20 tahun.

Tambahan lagi, mereka juga mampu untuk menyediakan penghantaran pantas kepada pelanggan dan pada masa yang sama mempunyai pengurusan inventori yang bagus.

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

DS Sigma bergantung kepada pelanggan-pelanggan utama mereka, iaitu SSCSM, Samsung Electronics, SOEM, PAACM dan PAVC, yang menyumbang sebahagian besar daripada pendapatan syarikat. Sekiranya kehilangan salah satu daripada pelanggan ini dan tidak dapat digantikan dalam masa yang singkat, ia akan memberikan kesan negatif kepada kewangan syarikat.

Syarikat ini juga terdedah kepada pengurangan pembekalan bahan-bahan input. Disebabkan syarikat in tidak mempunyai hubungan jangka masa panjang dengan mana-mana pembekal, oleh itu tiada jaminan bahawa mereka mampu untuk mendapatkan sumber secara konsisten.

Selain itu, perubahan harga produk berasaskan kertas, ketersediaan pekerja asing dan kebergantungan kepada kontraktor persendirian untuk aktiviti pemasangan juga dapat memberi kesan kepada syarikat.

Tambahan lagi, syarikat ini juga terdedah kepada gangguan yang tidak dijangka seperti kerosakan mesin dan PKP ketika pandemik.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima daripada IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Perluasan kemudahan operasi 17.20 34.30
Pembelian mesin dan peralatan baru 16.14 31.91
Menubuhkan pusat reka bentuk pembungkusan dan inovasi 1.14 2.27
Pembayaran balik pinjaman bank 6.00 11.96
Modal kerja 5.41 10.79
Perbelanjaan penyenaraian IPO 4.40 8.77
Jumlah 50.149 100

 

Majoriti dana akan digunakan untuk tujuan perkembangan perniagaan, iaitu dengan perluasan kemudahan operasi (34.30%), pembelian mesin dan peralatan baru (31.91%) serta penubuhan pusat reka bentuk pembungkusan dan inovasi (2.27%).

Syarikat ini bercadang untuk meluaskan kemudahan operasi dengan mengembangkan perniagaan ke Pulau Pinang serta membuka pejabat dan kilang baru di Lembah Klang. Daripada nilai dana yang diperuntukkan untuk perkembangan ini iaitu RM 17.20 juta, RM 16 juta akan digunakan untuk pembukaan pejabat dan kilang di Lembah Klang, manakala baki RM 1.2 juta akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan ke Pulau Pinang.

Bagi memenuhi hasrat mereka untuk mengautomasikan sepenuhnya produksi karton beralun, DS Sigma merancang untuk membeli dan memasang mesin pembungkusan automatik dan robotik untuk bahagian pengeluaran dalam kilang mereka. Selain itu, mereka juga bercadang untuk memperkenalkan jenis palet kertas baharu yang menggunakan papan honeycomb. Oleh itu, mereka bercadang untuk membeli mesin papan honeycomb menghasilkan papan honeycomb dalam pelbagai saiz. Mereka juga merancang untuk memperkenalkan cetakan 6 warna pada karton beralun mereka, justeru memerlukan mesin mencetak flexographic dengan 6 warna.

Baki selebihnya akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman sebanyak 11.96%, modal kerja sebanyak 10.79% dan 8.77% akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian IPO.

Analisis perniagaan dan industri

DS Sigma melalui anak-anak syarikatnya terlibat dalam pembuatan produk pembungkusan kertas beralun, termasuk karton, pembungkusan pelindung dan palet kertas. Oleh itu, analisis ini akan memberi fokus kepada industri pembungkusan berasaskan kertas.

Struktur industri pembungkusan

Industri pembungkusan berasaskan kertas boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu tegar, fleksibel dan pelindung. 

Pembungkusan tegar melibatkan pembungkusan luaran yang datang dalam bentuk karton, kotak atau bekas. Pembungkusan ini diperbuat daripada papan beralun, papan kertas, plastik tegar dan logam. Kotak jenis ini mempunyai tahap kekerasan yang tinggi untuk digunapakai dalam industri pelbagai seperti industri barangan pengguna agar mudah untuk disimpan dan dikendalikan. 

Pembungkusan fleksibel pula akan menggunakan bahan yang mudah dilentur dan dibentuk. Contohnya seperti beg plastik termasuk kantung untuk mengisi produk cecair. Pembungkusan pelindung pula bertindak sebagai aksesori kepada produk kotak pembungkusan rigid yang berfungsi untuk melindungi kandungan daripada kerosakan ketika dibawa dan disimpan dalam proses pengangkutan. Antara contoh kotak pembungkusan pelindung ialah kotak bersarang, papan pelindung tepi dan beg plastik.

DS Sigma mempunyai kepakaran untuk mengeluarkan produk pembungkusan tegar dan fleksibel yang diilustrasikan dalam rajah di bawah:

Struktur Industri Pembungkusan

Struktur industri pembungkusan

Tahap proses pembungkusan

Proses pembungkusan boleh dibahagikan kepada tiga tahap iaitu peringkat primer, sekunder dan tertier. DS Sigma terlibat dalam aktiviti pembungkusan tahap sekunder dan tertier.

Rajah di bawah menunjukkan ringkasan kepada tahap proses pembungkusan:
 

Prestasi industri

Antara tahun 2019 hingga 2021, jumlah jualan produk pembungkusan karton beralun bagi peringkat domestik meningkat dengan CAGR sebanyak 10.4% menjadi RM 3.2 bilion pada tahun 2021. Peningkatan ini adalah berikutan daripada pembelian atas talian yang tinggi berkaitan produk barangan pengguna.

Prestasi Industri Pembungkusan

Sumber: Prospektus

Persaingan

Berikut merupakan senarai syarikat pengeluar karton beralun yang secara langsung merupakan pesaing rapat DS Sigma Group.

Senarai Pesaing Utama Syarikat

Senarai pesaing utama syarikat

Perbincangan

Secara umumnya, syarikat DS Sigma mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 4.68% iaitu daripada RM 105.68 juta pada tahun 2019 menjadi RM 121.22 juta pada tahun 2022. Peningkatan ini adalah berikutan daripada permintaan kotak pembungkusan berasaskan kertas yang meningkat terutamanya daripada pelanggan mereka yang merupakan pengeluar produk elektronik pengguna seperti Samsung Electronics.

Dana yang diperolehi oleh mereka akan digunakan untuk tujuan pengembangan perniagaan melalui pembelian jentera dan perolehan kilang baharu. Ini adalah langkah drastik yang diambil oleh mereka bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran tahunan sejajar dengan perancangan masa hadapan syarikat untuk terlibat dalam industri baharu seperti solar dan perlatan perubatan.


< kembali ke laman blog utama