IPO

10-JUL-2023

Daythree - Dana IPO untuk Keperluan Modal Kerja


 


Butiran IPO syarikat Daythree

Latar belakang perniagaan syarikat

Syarikat Daythree Digital Berhad merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan perniagaan global (GBS) yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan pengurusan pengalaman pelanggan (CX) melalui alatan digital yang dibangunkan oleh syarikat mereka sendiri iaitu DAISY, FAITH dan SAIGE. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti perkhidmatan pelanggan, pengurusan penerimaan dan pemprosesan transaksi. Sebagai penyedia GBS, Daythree turut menyediakan perkhidmatan di luar fungsi transaksi tradisional dan memberikan nilai fungsi yang tinggi seperti perundingan dan analitik perniagaan. 

Setakat 31 Mei 2023, Daythree telah mempunyai 22 pelanggan dalam pelbagai segmen. Model perniagaan syarikat Daythree adalah seperti berikut:

Peralatan digital berasaskan AI

Selaras dengan kemajuan teknologi baru seperti Automasi Proses Robotik (RPA) dan kecerdasan buatan (AI), syarikat Daythree telah membangunkan tiga peralatan digital iaitu DAISY, FAITH dan SAIGE yang dibangunkan secara khusus untuk mengoptimumkan pengalaman pelanggan dan meningkatkan prestasi operasi pelanggan mereka. DAISY merupakan alatan digital yang membantu untuk mengendalikan interaksi pelanggan dengan lebih cekap manakala SAIGE merupakan platform analitik data dan pelaporan terintegrasi yang mengumpulkan data interaksi pelanggan untuk tujuan analisa dan penambahbaikan. FAITH pula merupakan aplikasi yang digunakan untuk tujuan sumber kemanusiaan. 

Prestasi kewangan syarikat

Secara keseluruhan, syarikat Daythree menunjukkan prestasi pendapatan dan keuntungan yang positif dari tahun kewangan 2019 hingga 2022. Pendapatan utama syarikat diperoleh melalui perkhidmatan GBS. 

Berdasarkan segmen pelanggan, pelanggan daripada segmen tenaga dan utiliti, dan telekomunikasi dan media merupakan pelanggan yang masing-masing menyumbang sebanyak 48.9% dan 23.4% kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan 2022, diikuti dengan pelanggan daripada segmen teknologi kewangan dan perkhidmatan kewangan, pembinaaan dan lain-lain. 

Pendapatan syarikat dikira berdasarkan kontrak-kontrak dengan pelanggan. Model harga yang digunakan terdiri daripada model berdasarkan transaksi, model setara masa penuh (FTE) dan model jam produktif. 

Pelanggan utama syarikat

Syarikat Daythree mempunyai lima pelanggan utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan syarikat. Daripada lima pelanggan ini, syarikat Daythree mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap pelanggan G, E dan F. Jumlah pendapatan daripada pelanggan G, E dan F adalah yang tertinggi dengan sumbangan terkini sebanyak 29.0%, 19.9% dan 18.4% pada tahun kewangan 2022. Berdasarkan maklumat prospektus, pelanggan G merupakan syarikat yang tersenarai di pasaran Utama Bursa Malaysia. 

Strategi IPO dan masa depan

Melalui dana IPO yang diperoleh, Daythree merancang untuk menggunakan dana bagi mengembangkan dan mengubahsuai ruang kerja yang akan digunakan untuk pelbagai kemudahan. Selain itu, dana IPO juga akan digunakan untuk merekrut pakar industri, perbelanjaan modal IT dan lain-lain lagi. 

Aktiviti D&D yang berterusan

Daythree komited menjalankan aktiviti reka bentuk dan pembangunan (D&D) sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan produktiviti dan perkhidmatan pengurusan pelanggan. Aktiviti D&D yang sedang diusahakan oleh mereka adalah integrasi sistem pengenalan digital yang didayakan oleh perisian blockchain ke dalam alatan digital sedia ada, diikuti dengan penggunaan pengenalan digital dalam kelulusan transaksi.

Selain itu, mereka juga sedang membangunkan bot penyelia yang akan melakukan pemantauan secara real-time tanpa memerlukan pemantauan manusia. 

Kelebihan daya saing

Dengan kelebihan tenaga kerja yang menjadi aset utama syarikat, Daythree memberi fokus yang tinggi terhadap pembangunan modal kemanusiaan untuk menghasilkan pengalaman pelanggan yang berkualiti tinggi. Hal ini boleh dilihat menerusi bilangan eksekutif CX yang meningkat sepanjang tahun kewangan. 

Melalui keupayaan teknologi terkini, alatan digital yang dibangunkan oleh Daythree dapat meningkatkan pengurusan dalam pengalaman pelanggan. Dengan alatan digital ini, Daythree berjaya mengembangkan pangkalan pelanggan mereka dalam pelbagai industri dan segmen seperti segmen tenaga dan utiliti yang memberi pendapatan yang signifikan kepada syarikat. 

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

Syarikat Daythree mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap tiga pelanggan utama yang menyumbang kepada pendapatan syarikat. Sifat perniagaan syarikat dijalankan berdasarkan kontrak perjanjian yang mempunyai tempoh sekitar satu hingga tiga tahun. Oleh itu, prestasi kewangan syarikat boleh terjejas jika syarikat kehilangan salah satu atau pelanggan utama tanpa mendapatkan pelanggan baru dengan segera. Daythree juga amat bergantung kepada pekerja mereka yang mempunyai pengalaman yang tinggi dalam menyokong operasi perniagaan mereka dalam perkhidmatan pengalaman pelanggan. 

Perbincangan

Syarikat Daythree merupakan syarikat yang berkembang dalam industri GBS dengan memberi fokus terhadap pengurusan pengalaman pelanggan melalui alatan digital yang dibangunkan sendiri oleh mereka. Syarikat ini mencatatkan prestasi kewangan yang positif, dengan pendapatan utama daripada segmen pelanggan yang datang dari industri tenaga dan utiliti. 

Daythree juga merancang untuk mengembangkan ruang kerja dan merekrut pakar industri melalui dana yang diperoleh. Syarikat ini juga aktif dalam aktiviti D&D untuk meningkatkan lagi produktiviti dan pengalaman pelanggan. Walaupun begitu, syarikat Daythree mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap tiga pelanggan utama dan pekerja mereka yang mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan operasi perkhidmatan pelanggan.


< kembali ke laman blog utama