IPO

10-MAY-2022

Cnergenz - Meluaskan Segmen EMS Melalui Dana IPO


 


Cnergenz Thumbnails

Cnergenz Berhad merupakan syarikat semikonduktor yang terlibat dalam penyediaan penyelesaian pembuatan elektronik bagi syarikat-syarikat semikonduktor. Butiran IPO adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.58
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 288.84 juta
Nisbah PE:
17.9
Permohonan ditutup:
11 Mei 2022
Cabutan saham:
13 Mei 2022
Tarikh penyenaraian:
24 Mei 2022

Bisnes Cnergenz Berhad

Cnergenz Berhad, melalui anak syarikatnya, terlibat dalam penyelesaian pembuatan elektronik, khususnya dalam penyelesaian dan pembuatan teknologi pelekap permukaan untuk industri elektronik dan semikonduktor (E&S).

Gambar di bawah menunjukkan aktiviti dan penyelesaian utama syarikat Cnergenz:

Aktiviti perniagaan syarikat
Gambar: Prospektus IPO

Pelanggan syarikat terutamanya daripada sektor berikut:

  1. Syarikat semikonduktor seperti integrated device manufacturers (IDM) dan pembekal outsourced semiconductor assembly and test services (OSATs).
  2. Pengeluar produk elektronik seperti pembekal outsourced electronics manufacturing services (EMS) dan pemilik jenama produk elektronik.

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Disebabkan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan aktiviti ekonomi tidak dapat dijalankan termasuklah operasi perniagaan syarikat Cnergenz. Sejak pelaksanaan PKP pertama, syarikat Cnergenz mengalami kelewatan dalam penghantaran mesin, peralatan dan alatan, dimana mengakibatkan kelewatan sehingga 6 bulan untuk beberapa projek syarikat. Namun begitu, tiada pembatalan pesanan atau penalti yang dikenakan oleh pelanggan mereka.

Walaupun PKP dilaksanakan dan operasi dihadkan, keuntungan syarikat Cnergenz tidak terjejas kerana syarikat masih menerima pesanan daripada pelanggan baharu dan sedia ada di Malaysia. Pesanan baharu ini menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan syarikat, khususnya di Malaysia, daripada RM 80.8 juta pada FYE 2019 kepada RM 103.2 juta pada FYE 2020 dan RM 109.9 juta pada FYE 2021.

Sungguhpun begitu, secara keseluruhannya, pendapatan syarikat menurun sebanyak 48.1% kepada RM 132.8 juta pada FYE 2020 (FYE 2019: RM 256 juta). Pandemik COVID-19 adalah antara punca penurunan pendapatan syarikat. Hal ini kerana syarikat Cnergenz memperoleh kontrak yang kurang di luar Malaysia disebabkan sekatan perjalanan dan penutupan sempatan yang dikenakan.

Prestasi kewangan

Pendapatan syarikat Cnergenz diperolehi terutamanya daripada perkhidmatan penyediaan penyelesaian bersepadu untuk pembuatan SMT, penjualan mesin dan peralatan SMT. Baki pendapatan syarikat pula diperolehi daripada penyediaan sokongan teknikal dan perkhidmatan untuk penyelesaian bersepadu syarikat.

Cnergenz mengalami kenaikan pendapatan semenjak FYE 2018, iaitu dari RM 187.75 juta menjadi RM 255.98 juta pada FYE 2019. Pada FYE 2020, pendapatan syarikat menurun, iaitu sebanyak RM 123.16 juta atau 48.11% menjadikan jumlah pendapatan pada tahun tersebut sebanyak RM 132.82 juta.

Penurunan ini adalah disebabkan penularan wabak COVID-19 yang mengakibatkan penutupan sempadan, dimana memberi kesan kepada aktiviti pemasaran syarikat dan pembangunan luar negara. Oleh itu, syarikat Cnergenz mendapatat sedikit pesanan baharu dari pelanggan luar negara semasa tahun 2020. Namun, pendapatan syarikat meningkat pada FYE 2021 iaitu sebanyak RM 20.13 juta atau 15.16%.

Pendapatan Cnergenz
Prestasi kewangan Cnergenz

Pendapatan Cnergenz melalui segmen perniagaanya dibahagikan kepada tiga, iaitu perkhidmatan penyediaan penyelesaian bersepadu untuk pembuatan SMT, penjualan mesin dan peralatan SMT dan lain-lain (penyediaan sokongan teknikal dan perkhidmatan).

Pada FYE 2018 sehingga FYE 2020, kenaikan pendapatan banyak disumbangkan daripada segmen perkhidmatan penyediaan penyelesaian bersepadu untuk pembuatan SMT. Manakala bagi FYE 2021 pula, pendapatan syarikat banyak diperolehi daripada segmen penjualan mesin dan peralatan SMT. Pendapatan bagi segmen lain-lain iaitu penyediaan sokongan teknikal dan perkhidmatan untuk penyelesaian bersepadu meningkat sejak FYE 2019 sehingga FYE 2021.

Pendapatan mengikut segmen
Pendapatan mengikut segmen

Jika dilihat, kesemua segmen ini mengalami peningkatan yang baik pada FYE 2018 sehingga FYE 2019. Namun, perniagaan syarikat menjadi sedikit terbantut pada tahun 2020 dan 2021 akibat kesan dari pandemik COVID-19 yang melanda.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari penyenaraian IPO iaitu sebanyak RM 58 juta akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pengembangan kemudahan operasi syarikat 37.80 65.2
Perbelanjaan R&D 6.0 10.3
Modal kerja 10.0 17.2
Perbelanjaan penyenaraian 4.2 7.3
Jumlah 58.0 100.0

Jika dilihat dari jadual di atas, dapat disimpulkan bahawa kebanyakan dana yang diperoleh dari penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk pengembangan kemudahan operasi syarikat iaitu sebanyak RM37.80 juta mewakili 65.2% daripada jumlah dana IPO tersebut.

Selain itu, RM 6 juta iaitu bersamaan 10.3% akan digunakan untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Dari segi modal kerja, Cnergenz Berhad memperuntukkan RM 10 juta iaitu mewakili 17.2% daripada dana IPO yang akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baru, pembayaran am, perbelanjaan pemasaran dan lain-lain. Baki selebihnya pula akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri Cnergenz Berhad

Mengikut Laporan IMR, Cnergenz Berhad terlibat dalam industri penyelesaian pembuatan elektronik (EMS) serta elektronik dan semikonduktor (E&S). Cnergenz adalah penyedia penyelesaian pembuatan elektronik, dimana digunakan terutamanya oleh syarikat dalam industri E&S di Malaysia, Vietnam dan Thailand.

Perkhidmatannya termasuklah pemprosesan teknologi pelekap permukaan (SMT) bagi komponen E&S, iaitu produk pembungkusan semikonduktor termaju dan pemasangan papan litar bercetak (PCBA). Penyelesaian syarikat ini juga telah digunakan oleh syarikat dalam industri E&S di negara lain di Asia (Singapura dan Korea Selatan) dan wilayah lain (Oceania dan Amerika).

Industri EMS

Electronics Manufacturing Solutions (EMS) atau penyelesaian pembuatan elektronik merujuk kepada pelbagai mesin, peralatan dan alatan automatik atau sistem barisan pengeluaran bersepadu yang digunakan dalam pembuatan produk E&S. Produk E&S ini termasuklah mikrocip, produk pembungkusan semikonduktor termaju dan PCBA. Produk-produk ini digunakan sebagai komponen dalam pengeluaran produk elektronik akhir seperti komputer, telefon pintar dan kenderaan elektrik.

Proses dalam rantaian nilai industri E&S boleh dilihat pada rajah di bawah:

Proses dalam rantaian nilai industri E&S
Rantaian nilai industri E&S. Gambar: Prospektus IPO

Prestasi, saiz dan pertumbuhan industri

Cnergenz Berhad adalah penyedia penyelesaian pembuatan elektronik, khususnya dalam penyelesaian pembuatan teknologi pelekap permukaan (SMT), dimana digunakan terutamanya oleh syarikat dalam industri E&S di Asia Tenggara, Malaysia, Vietnam dan Thailand.

Menurut laporan IMR, saiz industri global untuk penyelesaian pembuatan telah berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 6.4% daripada USD 3.0 bilion (RM 12.4 bilion) pada 2016 kepada anggaran USD 4.1 bilion (RM 17.0 bilion) pada 2021.

Saiz industri
Saiz industri untuk Asia Tenggara, Malaysia, Vietnam dan Thailand.

Saiz industri untuk penyelesaian pembuatan SMT boleh diukur dari segi jualan penyelesaian pembuatan SMT. Berdasarkan data dari laporan IMR, saiz industri untuk servis ini telah berkembang dari tahun 2016 sehingga 2019 di Asia Tenggara, Malaysia, Vietnam dan Thailand. Sedikit penurunan dapat dilihat pada tahun 2020, dimana sebahagian besarnya disebabkan gangguan dalam rantaian bekalan untuk produk elektronik akhir. Selain itu, pandemik COVID-19 juga diantara punca menyebabkan penangguhan dalam pelancaran produk elektronik akhir. Namun, Providence Strategic Partners menganggarkan saiz industri ini akan pulih bagi tahun 2021 sehingga tahun 2024.

Anggaran saiz industri antara tahun 2022 dan 2024
Anggaran saiz industri antara tahun 2022 dan 2024

Persaingan

Antara pesaing atau syarikat yang terlibat dalam industri yang sama dengan Cnergenz telah disenaraikan dalam prospektus seperti berikut:

Pesaing yang terlibat

Pesaing yang terlibat dalam industri yang sama dengan Cnergenz. Gambar: Prospektus IPO

Pesaing yang terlibat
Pesaing yang terlibat dalam industri yang sama dengan Cnergenz. Gambar: Prospektus IPO

Jika dilihat berdasarkan prospektus, perbandingan antara syarikat ini telah dipilih berdasarkan kriteria berikut:

Jika dibandingkan dengan syarikat lokal yang beroperasi di Malaysia, Vietnam dan Thailand, Cnergenz mencatatkan margin keuntungan selepas cukai tertinggi iaitu 8.5% berbanding syarikat Dual Matrix dan Premtronic.

Perbincangan

Secara keseluruhannya, industri penyelesaian pembuatan SMT di Asia Tenggara telah berkembang pada CAGR sebanyak 6.3% antara tahun 2016 dan 2019. Namun, pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020 telah mengakibatkan penutupan sempadan, menyebabkan penurunan dalam saiz industri di Asia Tenggara pada tahun itu.

Pendapatan dan keuntungan syarikat Cnergenz juga turut terkesan pada tahun tersebut. Walaupun begitu, pendapatan syarikat bagi tahun 2021 menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun 2020, dimana pendapatan tersebut banyak diperolehi daripada segmen penjualan mesin dan peralatan SMT.

Melalui IPO ini, Cnergenz menunjukkan jumlah besar dana akan digunakan untuk mengembangkan kemudahan operasi syarikat. Hal ini menunjukkan langkah yang positif oleh syarikat dalam usaha untuk meningkatkan lagi pendapatan pada masa hadapan, tertakluk bagaimana cara keberkesanan dana ini diuruskan oleh pihak pengurusan.


< kembali ke laman blog utama