UMUM

07-OCT-2021

Cara Pengurusan Kewangan


 


Wang adalah satu perkara yang memberi impak besar terhadap kehidupan kita. Jika kita ingin makan dan minum, ianya memerlukan wang. Jika kita ingin membeli buku, semestinya memerlukan wang. Jika kita ingin menghubungi keluarga melalui internet, ini juga memerlukan wang.

Tanpa wang, kita sukar mencari makan minum. Tanpa wang, kita sukar menghadiri kelas atas talian. Tanpa wang, kita tidak mampu membeli atau menyewa rumah. Sebahagian orang mungkin tidak mempunyai wang atas faktor-faktor tertentu, namun, ramai juga yang berjaya bekerja dengan gaji yang tinggi tetapi tetap gagal melepaskan diri daripada belitan kewangan. Dalam artikel ini, kita akan lihat pada tiga elemen utama pengurusan kewangan dan kaedah-kaedah pengurusan kewangan.

Elemen utama pengurusan kewangan

Terdapat tiga elemen utama di dalam pengurusan kewangan. Antaranya ialah:

Pengurusan Kewangan

1. Keperluan

Perkara paling utama yang perlu diambil kira ialah keperluan untuk kelangsungan kehidupan. Sepanjang sejarah peradaban manusia, terdapat 3 keperluan asas iaitu makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Namun dalam era digital hari ini, keperluan ini bertambah lagi dua iaitu kesihatan dan capaian internet.

Oleh itu, 5 perkara ini perlu terlebih dahulu diutamakan dalam bajet kewangan anda. Lakukan pengiraan bajet bulanan anda bagi kesemua 5 keperluan ini terlebih dahulu.

Jika anda seorang ketua keluarga, maka pastikan anda mengira kesemua keperluan ini terlebih dahulu termasuklah kesemua di bawah tanggungan anda. Jika ibu bapa anda masih bersama-sama anda, maka kirakan sekali pemberian kepada ibu bapa di bawah keperluan.

Perkara paling utama berkaitan keperluan ialah ia tidak boleh dikurangkan kepada sifar dalam bajet keseluruhan. Tanpa bajet keperluan, kelangsungan kehidupan akan menjadi sukar. Oleh itu, asingkan terlebih dahulu pendapatan anda untuk memenuhi keperluan-keperluan ini.

Makanan

2. Simpanan dan pelaburan

Simpanan dan pelaburan adalah dua perkara yang kerap terlepas daripada pengurusan kewangan individu. Namun kedua-duanya memainkan peranan penting bagi menjamin kesejahteraan hidup dalam jangka masa panjang.

Simpanan diperlukan bagi memenuhi keperluan atau kehendak dalam jangka masa yang terdekat. Sebagai contoh, anda mahu membeli barangan pada harga diskaun di suatu masa tertentu. Anda perlu menyediakan simpanan awal untuk berbelanja apabila masanya sudah tiba. Jika anda ingin berkahwin, anda perlu menyediakan simpanan. Jika anda ingin membeli rumah, atau kereta yang memerlukan deposit, anda perlu menyimpan.

Simpanan ada berbagai tujuan namun simpanan yang paling penting adalah simpanan kecemasan. Simpanan kecemasan ini bertujuan menjadi penimbal (buffer) untuk memenuhi keperluan anda di masa-masa yang terdesak seperti ketika kehilangan pekerjaan. Walaupun pendapatan anda terputus, anda tetap boleh meneruskan kehidupan buat sementara waktu melalui simpanan kecemasan ini.

Simpanan boleh dilaksanakan menggunakan akaun simpanan di bank, atau tabung fizikal di rumah.

Pelaburan berbeza dengan simpanan. Tujuan pelaburan juga berbeza dengan simpanan. Pelaburan bertujuan untuk menjana lebih banyak wang dalam jangka masa tertentu. Pada kebiasaannya, pelaburan dilakukan untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam jangka masa yang panjang.

Sebagai contoh, pelaburan KWSP dan ASB biasanya dilaksanakan untuk menyediakan diri anda bagi menghadapi hari tua, selepas pencen daripada pekerjaan harian. Anda boleh menyimpan untuk hari tua, namun simpanan anda ini terdedah kepada risiko inflasi setiap tahun yang menyebabkan susut nilai simpanan anda.

Terdapat pelbagai jenis pelaburan mengikut risiko dan pulangan. Antara pelaburan yang popular adalah seperti unit amanah, emas, saham, matawang kripto dan hartanah.

Melabur Saham

3. Kehendak

Selepas keperluan asas dipenuhi, bajet kewangan beralih pula kepada kehendak. Keperluan manusia perlu dipenuhi bagi memastikan kelangsungan hidup. Kehendak manusia pula dipenuhi bagi mencorakkan kehidupan tersebut mengikut kehendak masing-masing. Kehendak ini adalah subjektif, bergantung kepada setiap orang.

Kehendak yang terkait dengan keperluan asas adalah seperti memilih jenis makanan yang lebih mahal, memilih rumah yang lebih besar, kawasan perumahan yang lebih selesa dan membeli pakaian yang berjenama. Manakala kehendak yang lebih umum adalah seperti pelancongan, pengangkutan, hiburan dan perhiasan.

Jika bajet kewangan anda masih berlebihan, maka anda boleh asingkan sebahagian untuk bajet kehendak. Kehendak tidak wajib dipenuhi. Kehendak hanya dipenuhi untuk memberikan kepuasan dan kebahagiaan pada kehidupan.

Rumah Besar

Kaedah pengurusan kewangan

Dalam merangka bajet kewangan anda, perkara pertama ialah pendapatan dan skala masa pendapatan tersebut. Bagi contoh kaedah ini, kita ambil pendapatan secara bulanan.

Andaikan anda memperoleh gaji minimum sekitar RM 1,200 dan bekerja di sektor swasta. Gaji anda akan terus dipotong untuk KWSP, SOCSO, EIF sekitar RM 120. Maka anda akan mempunyai baki lebih kurang RM 1080 untuk menguruskan bajet bulanan.

Perkara pertama ialah untuk mengira terlebih dahulu bajet bagi keperluan asas anda. Hitungkan jumlah berikut mengikut urutan:

1. Sewa rumah

2. Makanan dan minuman untuk sebulan

3. Hutang-hutang lain

Jika pendapatan anda tidak cukup untuk memenuhi 3 perkara di atas, maka pengambilan hutang-hutang baharu perlu dikurangkan. Anda juga digalakkan untuk berusaha mencari pendapatan tambahan, mendapatkan bantuan zakat atau bantuan kerajaan. Sewajarnya, elakkan daripada mengambil hutang-hutang seperti hutang peribadi, hutang kad kredit dan hutang-hutang yang sekadar memenuhi kehendak anda, melainkan kewangan anda sudah kukuh.

Selepas keperluan di atas dipenuhi, bajet seterusnya adalah memenuhi simpanan dan pelaburan. Berapa banyak simpanan yang perlu dipenuhi? Persoalan ini bergantung kepada diri masing-masing. Namun, simpanan paling penting, iaitu simpanan kecemasan perlu dipenuhi terlebih dahulu.

Pengiraan simpanan kecemasan adalah dengan mengira 3 keperluan sebelum ini (sewa, makan minum dan hutang) didarabkan dengan enam. Andaikan 3 keperluan ini adalah sebanyak RM 1000, maka anda perlu cuba melengkapkan simpanan RM 6000. Jika anda menghadapi masalah dibuang kerja, simpanan ini boleh memberi masa timbal (buffer) untuk anda mencari pekerjaan baharu tanpa menyukarkan kelangsungan kehidupan anda selama 6 bulan.

Seterusnya, asingkan pula sebahagian untuk pelaburan berisiko rendah seperti ASB dan Tabung Haji. Pelaburan ini untuk menambahkan lagi keselesaan anda di masa hadapan. Jika anda seorang yang bersedia dengan pelaburan risiko tinggi, anda boleh cuba melabur sendiri di pasaran saham, atau dalam matawang kripto. Pelaburan-pelaburan berisiko tinggi memerlukan ilmu untuk menjamin keuntungan. Jika anda tidak mahir berkaitan pelaburan berisiko tinggi, elakkan dari melabur, belajar terlebih dahulu baru melabur.

Bajet paling akhir adalah kehendak. Kehendak ini dibayar daripada baki pendapatan setelah ditolak bajet keperluan, simpanan dan pelaburan. Ingat, kehendak ini dipenuhi dari baki lebihan, bukan daripada keperluan, simpanan mahupun pelaburan.

Pengiraan Bajet

Peraturan 50-30-20

Antara peraturan yang popular dalam pengurusan kewangan ialah peraturan 50-30-20, iaitu 50% untuk keperluan, 30% untuk kehendak dan 20% untuk simpanan & pelaburan. Peraturan ini bagus untuk mendisiplinkan diri dalam menguruskan kewangan kita. Jika berkemampuan, cuba ikuti peraturan 50-30-20 ini.

Disiplinkan diri dan berbelanjalah dengan berhemah.


< kembali ke laman blog utama