UMUM

06-APR-2020

Cara Pengeluaran i-Lestari melalui KWSP


 


Baru-baru ini PM ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat bertahan di kala ekonomi yang tak menentu ini. Antara bantuan yang diberikan adalah pengeluaran duit simpanan KWSP.

muhyidding yassin thumbs up Gambar: PMO

Memang betul yang orang kata duit ni memang duit kita sendiri. Tapi kalau tak digunakan, entah dapat pegang ke tidak masa hari tua nanti. Jadi kalau perlu atau ada kegunaannya, boleh lah keluarkan untuk digunakan sekarang.

Syarat pengeluaran i-Lestari

i-Lestari adalah nama skim pengeluaran yang diberikan untuk bantuan COVID-19 ini. Ada beberapa syarat yang dikenakan untuk pengeluaran duit simpanan anda dari Akaun 2 KWSP seperti yang tertulis di bawah:

Untuk memudahkan urusan keluaran, anda perlu memastikan:

  1. Nombor telefon bimbit anda yang didaftarkan dengan KWSP adalah sah dan aktif bagi penerimaan 'Transaction Authorization Code' (TAC)
  2. Akaun bank anda (Simpanan/Semasa) adalah AKTIF.

Permohonan pengeluaran ini boleh dihantar bermula 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021 (permohonan hendaklah diterima oleh KWSP sebelum atau pada 31 Mac 2021).

Kenapa boleh hantar sehingga Mac 2021?

Mac 2021 tu tahun depan, dan masa tu pun masih boleh hantar permohonan i-Lestari. Tapi kalau hantar lambat, makin sikit yang anda boleh keluarkan. Fahami konsep pengeluaran i-Lestari seperti di bawah ini:

  1. Pengeluaran adalah daripada Akaun 2 sahaja
  2. Bayaran pengeluaran akan dibuat secara bulanan dan berulang (recurring) untuk bulan-bulan berikutnya tertakluk kepada kelayakan bilangan bulan pengeluaran seperti di para (c)
  3. Kelayakan bilangan bulan pengeluaran adalah dikira bermula daripada tarikh penerimaan permohonan pengeluaran yang diluluskan oleh KWSP hingga tamat tempoh kuatkuasa Pengeluaran i-Lestari iaitu 31 Mac 2021.

Contoh Situasi:

Penerimaan permohonan Maksimum kelayakan pengeluaran
April 2020 12 bulan
September 2020 7 bulan
Mac 2021 1 bulan

Saluran memohon

Ada tiga saluran permohonan pengeluaran i-Lestari.

  1. Secara dalam talian melalui e-Pengeluaran dalam i-Akaun (Ahli).
  2. Secara e-mel yang dialamatkan kepada: ilestarimohon@epf.gov.my; atau
  3. Secara hantaran pos/kurier kepada alamat:

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,

Beg Berkunci No 220,

Jalan Sultan 46720,

Petaling Jaya

Nota: Sila catatkan (UP : i-Lestari) di hadapan sampul surat.

Cara yang paling disarankan oleh pihak KWSP sendiri adalah secara dalam talian (a) yang lebih cepat. Cara (b) dan (c) akan mengambil lebih masa untuk diproses.

i-lestari banner

Cara memohon secara dalam talian

Anda perlu log masuk ke i-Akaun (Ahli) > tekan tab Pengeluaran > tekan Permohonan Baru > pilih Pengeluaran i-Lestari dan tekan butang Seterusnya untuk membuat permohonan.

kwsp - pengeluaran

Dari sini, anda cuma perlu ikut arahan dan langkah yang telah digariskan. Anda cuma perlu masukkan maklumat diri dan butiran pengeluaran.

kwsp - pengesahan

Selesai mengisi maklumat dan sahkan dengan kod TAC, anda dah sedia untuk menghantar permohonan. Sekiranya anda hantar permohonan dalam bulan April ini, bayaran pertama i-Lestari akan diterima mulai bulan Mei 2020. Kami doakan supaya anda dapat tempuhi pandemik COVID-19 ni dengan selamat. Jaga kesihatan diri, jaga jarak dan duduk rumah.


< kembali ke laman blog utama