FUNDAMENTAL

18-FEB-2022

Capital A, Identiti Baharu AirAsia - Kini Bukan Sekadar Syarikat Penerbangan Tambang Murah


 


Bila sebut tentang tambang tiket penerbangan yang murah, mesti ramai teringat pada syarikat penerbangan AirAsia. Baru-baru ini AirAsia Group Berhad telah mengumumkan pertukaran nama kepada Capital A Berhad. Ia sudah dicadangkan sejak awal Januari tahun ini, dan sah ditukarkan pada 10 Februari lalu.

Pertukaran nama kepada Capital A ini bertujuan untuk menunjukkan kepelbagaian portfolio perniagaan syarikat. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes menyatakan bahawa langkah ini menunjukkan gambaran bahawa syarikat ini bukan hanya sebuah syarikat penerbangan lagi, malah ia juga mengendalikan perniagaan dan perkhidmatan berkaitan perjalanan dan gaya hidup digital.

Permulaan AirAsia

AirAsia ditubuhkan pada 1993 oleh pengasas DRB-Hicom, Tan Sri Yahaya Ahmad dengan tujuan untuk menjadi syarikat penerbangan kedua terbesar Malaysia, selepas Malaysia Airlines Berhad (MAS). Pada tahun 2001, syarikat penerbangan yang berhutang ini telah dibeli oleh Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranun pada harga RM 1 dengan nilai hutang sebanyak RM 40 juta.

AirAsia Boeing 737-300 selepas pengambilalihan oleh Tune Air
Gambar: Wikipedia

Gambar di atas adalah kapal terbang AirAsia selepas diambil alih oleh Tune Air (yang diasaskan oleh Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranun). Dua rakan kongsi ini telah menjenamakan dan melancarkan semula syarikat perkhidmatan penerbangan ini kepada syarikat penerbangan tambang murah tetapi tanpa frills. Tujuannya untuk membolehkan semua orang menaiki kapal terbang termasuk orang biasa, seiring dengan slogan mereka iaitu "Now Everyone Can Fly".

Prestasi Kewangan

Berdasarkan prestasi kewangan dalam tempoh lima tahun yang lalu, pendapatan Capital A dilihat telah turun mendadak pada tahun 2020. Pendapatan syarikat pada FYE 2020 merosot kepada RM 3.13 bilion berbanding RM 11.86 bilion pada FYE 2019. Hal ini disebabkan penularan COVID-19 yang telah menyebabkan sekatan perjalanan di seluruh dunia. Oleh itu, industri penerbangan adalah salah satu industri yang amat terkesan dengan pandemik ini. Disebabkan itu, syarikat ini tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19.

Prestasi kewangan Capital A
Prestasi pendapatan Capital A

Pada 14 Januari 2022, syarikat ini telah diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah atau Nota Amalan 17 (PN17) selepas rayuannya kepada Bursa Malaysia untuk pelanjutan tempoh pelepasan ditolak. Menurut penganalisis daripada Maybank Investment Bank, syarikat ini dikelaskan sebagai PN17 kerana kedudukan ekuiti pemegang sahamnya yang negatif pada suku ketiga 2021 dan mengalami kerugian besar dalam tempoh tujuh quarter lalu akibat wabak COVID-19.

Bukan Sekadar Syarikat Penerbangan

Seperti yang diterangkan di atas, pertukaran nama kepada Capital A adalah untuk mencerminkan strategi perniagaan baharu syarikat termasuk logistik, gaya hidup digital, dan perkhidmatan kewangan iaitu di bawah AirAsia Digital. Walaupun nama syarikat bertukar, nama AirAsia masih kekal untuk syarikat penerbangannya.

Gambar di bawah menunjukkan sektor perniagaan dan perkhidmatan Capital A terkini yang terbahagi kepada dua iaitu berkaitan syarikat penerbangan dan AirAsia digital.

Sektor perniagaan dan perkhidmatan Capital A
Gambar: AirAsia

AirAsia Digital

AirAsia Digital mewakili perniagaan dan perkhidmatan digital daripada AirAsia. Sebelum ini dikenali sebagai RedBeat Ventures, dimana terdiri daripada semua perniagaan mereka yang berasaskan produk digital seperti Super App, BigPay, Teleport dan lain-lain. Dengan gangguan dalam industri penerbangan akibat wabak COVID-19, mereka telah memberi lebih tumpuan kepada perniagaan ini.

Produk dan perkhidmatan yang disediakan di AirAsia Super App
Produk dan perkhidmatan yang disediakan di AirAsia Super App. Gambar: AirAsia

Kesimpulan

COVID-19 telah menjadi pemangkin kepada transformasi digital dalam pelbagai industri. Capital A juga telah mengambil peluang dalam pendigitalan produk dan perkhidmatan mereka seperti yang dibincangkan di atas. Walaupun perniagaan digital syarikat sudah lama dijalankan, namun penukaran nama ini menandakan permulaan baharu kepada syarikat dalam menyokong pengembangan pantas portfolio perniagaan Capital A. Di samping itu, ia juga turut membantu dalam pertumbuhan yang kukuh bagi kedua-dua syarikat penerbangan dan bukan penerbangan.


< kembali ke laman blog utama