ASAS

22-OCT-2021

Bilakah Masa yang Sesuai untuk Mengambil Keuntungan?


NM    


Kebiasaannya sebelum mula berdagang, seorang pelabur hendaklah merancang strategi terlebih dahulu. Di mana hendak masuk (entry), mengurangkan kerugian (cut loss) dan mengambil keuntungan (take profit)?

Namun, sungguhpun telah menyusun rancangan, kadangkala masih sukar untuk kita mengikutinya. Ada masa kita termasuk di atas kerana mengejar harga, ada masa kita tidak mahu mengurangkan kerugian akibat memikirkan jumlah wang yang bakal menjadi kerugian nyata (realized loss). Walakin itu, antara perkara yang dipersetujui ramai sebagai sukar untuk diikuti di dalam rancangan dagangan (trading plan) ialah untuk mengambil keuntungan.

Mengambil keuntungan

Mengambil keuntungan atau take profit adalah situasi apabila pelabur telah mendapat keuntungan dari saham yang dibeli dan ingin menjualnya. Bunyinya mungkin mudah, tetapi ramai yang tidak berjaya mengambil keuntungan pada waktu yang sesuai. Akibatnya, ramai yang terlepas peluang untuk keluar dagangan dengan keuntungan atau boleh kerugian apabila harga saham melakukan penurunan ke entry price.

Akan tetapi, sebagai seorang manusia biasa, agak sukar untuk kita melarikan diri dari sifat tamak. Perasaan 'tidak cukup' akan sentiasa berada di dalam diri kita. Jadi, bilakah masanya untuk kita take profit?

keluar dari dagangan

Masa yang sesuai untuk mengambil keuntungan

Terdapat beberapa cara untuk pelabur keluar dari sesuatu dagangan. Antaranya ialah:

Mengikut trading plan

Strategi ini banyak diikuti oleh pedagang jangka singkat, di mana mereka akan take profit mengikut apa yang telah dirancangkan. Tujuan utama mereka adalah untuk mengembangkan modal di dalam akaun. Oleh kerana itu, walaupun sesuatu saham itu mempunyai potensi untuk meneruskan kenaikan, mereka akan mengambil keuntungan terlebih dahulu dan jika mempunyai peluang, mereka akan masuk semula pada paras harga yang lebih rendah.

Kebiasaannya, mereka akan menggunakan analisa teknikal seperti Relative Strength Index (RSI), volume atau resistance line sebagai rancangan keluar dari dagangan. Strategi ini adalah sangat bagus untuk pelabur kerana ianya dapat melatih diri untuk menjadi lebih berdisiplin.

Terdapat kenaikan mendadak

Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba harga saham sesuatu syarikat membuat kenaikan secara mendadak, kadang-kala sehingga naik ke tahap kenaikan maksima harian (limit up). Situasi ini boleh terjadi atas faktor yang positif seperti kenaikan pendapatan tahunan, namun, ia juga boleh terjadi disebabkan oleh faktor negatif seperti spekulasi atau pump and dump.

Seram-seram cut loss, seram lagi apabila harga saham naik terlalu tinggi. Ini kerana, saham tersebut boleh jatuh semula secara tiba-tiba dan akaun pelabur yang positif tadi mungkin akan menjadi negatif. Sebagai contoh, saham syarikat Sedania yang membuat kenaikan lebih 500% dalam masa yang singkat, dan kemudian jatuh semula setelah beberapa hari.

Contoh saham yang naik mendadak

Seandainya saham tersebut meneruskan kenaikan setelah keuntungan diambil, anggap sahajalah bahawa ia bukan rezeki. Harus diingatkan bahawa tiada siapa yang akan kerugian akibat mengambil keuntungan, walaupun hanya sekadar keuntungan kecil.

Penilaian saham

Pelabur boleh mempertimbangkan untuk menjual saham berdasarkan penilaian seperti valuation, nisbah P/E, kewangan syarikat, pendapatan tahunan dan lain-lain lagi. Contoh syarikat dengan penilaian saham yang bagus boleh dilihat dibawah:

contoh syarikat dengan fundamental yang bagus

Jika memerlukan wang

Kebiasaannya strategi ini digunakan oleh pelabur jangka masa panjang yang menjadikan saham sebagai simpanan. Mereka hanya akan menjual saham milik mereka apabila terdapat keperluan sahaja, seperti untuk kegunaan pembelajaran anak-anak, pembelian rumah atau kereta, dan lain-lain lagi.

Seimbangkan portfolio

Setiap pelabur mempunyai gaya pelaburan tersendiri; sama ada secara all-in pada satu kaunter, atau diversify kepada beberapa kaunter. Oleh kerana itu, ketidakseimbangan boleh terjadi. Bagi mengimbangkan semula portfolio, pelabur boleh mengambil keuntungan ataupun mengurangkan kerugian dengan cut loss atau take profit.

Rule of 72

Penggunaan teknik Rule of 72 boleh memudahkan pelabur untuk menjangka keuntungan serta mencapai matlamat simpanan. Formula Rule of 72 ini menggunakan kadar pulangan untuk menganggarkan masa yang perlu diambil untuk mencapai 100% keuntungan dari modal asal. Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh rujuk di post ini.

Kesimpulan

Setiap manusia tidak dapat lari dari sifat tamak, namun, hendaklah sentiasa beringat tentang risiko yang bakal dihadapi jika perasaan tersebut tidak dapat dikawal. Posting ini hanyalah sekadar cadangan strategi untuk keluar dari dagangan. Hakikatnya, terdapat bermacam cara untuk mengambil keuntungan. Jadi, pilihlah cara yang sesuai untuk diri sendiri.

Seandainya pelabur belum bersedia untuk mengambil keuntungan, adalah digalakkan untuk meletakkan stop limit bagi mengelakkan kerugian. Setiap langkah yang dibuat di dalam pasaran hendaklah berlandaskan kajian, dan bukanlah sekadar mengikut emosi.


< kembali ke laman blog utama