UMUM

19-FEB-2020

Bekalan Tak Menentu di China, Ancom Mendapat Perhatian


 


Ancom merupakan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan bahan kimia untuk kegiatan pertanian atau nama pendeknya agrokimia. Aktiviti ini termasuk penghasilan (sintesis) ramuan aktif, formulasi, penyelidikan dan juga pengeluaran produk kimia pertanian seperti racun rumpai, baja, pengawet kayu dan sebagainya.

Ancom herbicide pesticide

Produk ini sebenarnya adalah penting kepada industri perladangan kerana ia membantu tanaman mengeluarkan hasil yang berkualiti. Penggunaan produk racun rumpai sebagai contoh, digunakan secara meluas oleh industri perladangan untuk pelbagai jenis tanaman. Produk ini juga lah yang membolehkan Ancom mendapatkan pendapatan yang tinggi untuk syarikat mereka.

Ketidaktentuan bekalan China dan peluang Ancom

Dalam sedekad ini, kita dapat lihat negara China berkembang pesat menjadi negara dengan GDP kedua tertinggi selepas Amerika. Kedudukan ini menjadikan China sebagai sumber penting kepada ekonomi dunia, termasuklah bahan kimia. China menjadi sumber utama dunia sebagai pembekal untuk pelbagai peringkat produk sama ada bahan mentah, bahan ramuan atau produk akhir.

Namun, dalam sedekad ini juga, pelbagai ketidak tentuan bekalan terjadi kepada negara China ini. Antaranya insiden letupan kilang yang seakan-akan menjadi acara tahunan memberi kesan kepada operasi kilang berhampiran. Pada tahun 2019, letupan kilang bahan kimia telah mengakibatkan kematian sebanyak 78 orang di Jiangsu, China. Ia menyebabkan penutupan kilang di kawasan perindustrian tersebut selama paling kurang 2 minggu.

Jiangsu China factory explosion Letupan kilang racun serangga di Jiangsu, China mengakibatkan penutupan dan pemindahan operasi kilang di kawasan terlibat. Gambar: AP

Apabila kilang di China ini ditutup, maka berlakunya gangguan bekalan di China dan memberikan kesan kepada pembeli dari seluruh dunia. Secara semula jadinya, pembeli akan mencari alternatif kepada bekalan dari China. Dalam situasi ini, terdapat beberapa kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh Ancom Berhad.

Kenali Ancom

Pada asalnya, Ancom di bawa masuk oleh syarikat Amerika pada tahun 1969 dengan nama Ansul (Malaysia) Sdn Bhd. Ianya mula berdagang dengan nama Ancom pada tahun 1989 dan tersenarai di Bursa Malaysia pada tahun 1990.

Tiga syarikat tersenarai awam dan syarikat media Redberry

Secara keseluruhan, operasi Ancom terbahagi kepada empat bahagian iaitu bahan agrokimia, bahan kimia perindustrian dan polimer, logistik dan juga media. Struktur syarikat Ancom boleh dilihat seperti gambar di bawah.

Ancom group structure

Ancom

Aktiviti utama Ancom ialah dalam pengeluaran bahan agrokimia yang sebahagian besarnya dilaksanakan oleh Ancom Crop Care (ACC). ACC adalah syarikat teras kepada Ancom yang menjalankan penyelidikan, formulasi, pengeluaran, jualan, perlesenan dan sebagainya untuk produk bahan agrokimia.

Antara bahan agrokimia yang dikeluarkan oleh ACC ialah racun rumpai, racun serangga, racun kulat dan pengawet kayu. Produk yang dihasilkan oleh ACC ini dijual ke serata dunia dengan rangkaian yang luas.

Ancom Logistic

Dengan rangkaian pengguna yang luas di serata dunia, pengangkutan menjadi satu elemen yang penting kepada Ancom. Aktiviti pengangkutan mereka ini disokong oleh Ancom Logistic untuk pengangkutan dan logistik bahan kimia. Ancom Logistic ini juga sebenarnya tersenarai di papan Ace Bursa Malaysia.

Nylex

Tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia pula ialah Nylex yang juga merupakan anak syarikat Ancom Berhad. Aktiviti utama yang dijalankan dalam Nylex ialah polimer dan bahan kimia perindustrian.

Penyumbang utama pendapatan Nylex adalah pada bahagian bahan kimia perindustrian seperti ethanol, phosphoric acid, adhesive dan juga sealant. Nylex juga adalah penyumbang terbesar pendapatan kumpulan syarikat Ancom dengan pulangan lebih RM 1.5 bilion nilai jualan.

Redberry

Satu bahagian aktiviti dalam Ancom yang agak baru ialah operasi media yang dikendalikan oleh Redberry Sdn Bhd. Operasi tumpuan dalam bahagian media ini adalah dari segi pengiklanan melalui papan berbayar (billboard), lapangan terbang, panggung wayang, stesen MRT, bas awam dan pelbagai lagi tumpuan awam di Lembah Klang.

Redberry outdoor billboard banner

Redberry sebenarnya merupakan satu bahagian yang menarik kumpulan Ancom kebelakang dalam beberapa tahun terbaru. Ancom kini telah memutuskan untuk mengurangkan pegangan dalam syarikat ini dan hanya akan memegang faedah minoriti dalam Redberry.

Prestasi kewangan Ancom

Keseluruhan kumpulan syarikat Ancom Berhad telah pun berjaya menjana pendapatan sehingga RM 1.9 bilion sejak tahun 2018. Angka ini agak mendatar pada tahun 2019, namun masih mencatat sedikit dengan sedikit kenaikan pada 2.1%. Keuntungan sebelum cukai pula semakin rendah dengan penurunan 54.3% dari RM 47.0 juta pada tahun 2018 kepada RM 21.5 juta pada tahun 2019.

Ancom sebenarnya mencatatkan kerugian walaupun dengan pulangan sebanyak RM 1.9 bilion. Nylex yang menyumbang pendapatan sebanyak RM 1.5 bilion sebenarnya mencatatkan keuntungan hanya sebanyak RM 4.6 juta sebelum cukai. Ancom melalui ACC pula menyumbang sebanyak RM 304.4 juta dari segi pendapatan dengan RM 47.1 juta keuntungan sebelum cukai. Setelah dimasukkan operasi media dan koperat, angka keseluruhan menunjukkan kerugian bersih selepas cukai.

ancom financial result

Sekiranya melihat pada prestasi Ancom sahaja, kita sebenarnya dapat lihat sebuah potensi pertumbuhan yang baik. Pendapatan Ancom dari ACC menunjukkan peningkatan setiap tahun selepas pengarah urusan yang baru, iaitu Lee Cheun Wei memegang jawatan pada tahun 2014.

Potensi dan prospek Ancom

1. Tahap produk yang lebih asas

Produk yang dihasilkan oleh ACC terdiri daripada bahan aktif, ramuan campuran dan juga pengawet kayu. Bahan aktif atau Active Ingredient ialah bahan spesifik yang memberikan fungsi kepada sesebuah kimia tersebut. Dalam kes Ancom, fungsi ini adalah sebagai racun rumpai, serangga, kulat atau pengawet kayu untuk pelbagai jenis tanaman. Tidak banyak syarikat yang mengeluarkan bahan aktif. Kebanyakan syarikat menggunakan bahan ramuan yang terdiri daripada bahan aktif dan formulasi campuran mereka.

gambar makmal hiasan

ACC adalah salah satu syarikat yang mampu mengeluarkan produk bahan aktif. Bukan itu sahaja, di antara bahan-bahan ini, ada yang dikeluarkan oleh ACC dengan hatra intelek (IP) yang berdaftar. Antara keluaran utama ACC ialah MSMA, Diuron, Glyphosate, Monex dan Timber Preservative. Monex dan Timber Preservative hanya dikeluarkan oleh ACC, manakala MSMA pula disaingi oleh syarikat dari Israel.

2. Proses pendaftaran mengurangkan persaingan

Seperti yang disebut tadi, ACC mengeluarkan bahan agrokimia untuk dihantar ke seluruh dunia. Untuk menjual bahan agrokimia ini ke sesebuah negara, beberapa siri pendaftaran perlu dibuat yang juga melibatkan ujian makmal kerana ia melibatkan bahan kimia beracun.

Pendaftaran di Malaysia sahaja memakan masa sehingga 2 tahun, dan di Brazil yang merupakan negara eksport utama untuk Ancom pula memakan masa sehingga 7 tahun.

Dari sini, kita dapat lihat bahawa pendaftaran ini boleh mengambil masa yang lama. Tak banyak syarikat yang mampu ataupun ingin mengunggu waktu yang lama hanya untuk diberikan lesen untuk menjual di sesebuah negara. Selepas berdaftar pula, aktiviti pemasaran masih perlu berjalan untuk memastikan capaian pada pembeli. Ancom pula sudah beroperasi selama lebih 50 tahun dan telah pun bertapak di lebih 40 buah negara, memberikan mereka kelebihan dalam industri ini.

peta rangkaian ancom Gambar: Ancom Crop Care

3. Pembeli mencari alternatif kepada China

Atas sebab ketidaktentuan bekalan, pengguna bahan kimia pertanian mula mencari alternatif di luar China. Insiden letupan di Jiangsu yang disebut tadi membawa kepada penutupan kilang yang menyebabkan pencemaran sungai di kawasan berdekatan. Kilang di kawasan terlibat pula perlu berpindah operasi, menambahkan lagi masa bekalan. Insiden letupan ini hanyalah salah satu daripada pelbagai lagi kes yang pernah terjadi di China.

Dalam perkembangan terbaru, mereka mengatakan bahawa pertanyaan (enquiry) terhadap produk mereka semakin banyak. Mereka adalah satu-satunya pengeluar dalam rantau Asia Tenggara yang mengeluarkan bahan aktif. Di waktu yang akan datang pula, mereka sudah pun mempunyai perancangan untuk menghasilkan produk baru iaitu bahan molekul untuk pertanian.

4. Perancangan kilang untuk produk baru

Ancom Klang factory expansion plan Kilang Ancom di Klang akan dinaik taraf dengan fasiliti tambahan untuk produk baru

Produk molekul telah pun berada dalam perbincangan dan Ancom kini sedang mengusahakan penambahan kapasiti kilang mereka di Klang. Tapak untuk kilang ini telah pun dilapangkan sebagai persediaan. Apabila beroperasi nanti, mereka akan mendapat akses kepada segmen baru kepada pasaran sedia ada untuk tanaman nenas dan tebu.

5. Prestasi jualan mengikut keadaan cuaca

weather rain and dry

Seperti mana-mana industri pertanian yang lain, aktiviti pertanian tidak lari dari kesan daripada cuaca. Dalam tahun 2019, kita dapat melihat banjir besar yang berlaku di Amerika yang merosakkan tanaman. Persekitaran yang kering di Australia pula menyebabkan berlakunya kebakaran besar di serata negara tersebut.

Dalam keadaan ini, produk kimia pertanian tak sesuai digunakan dan menyebabkan permintaan yang lebih rendah. Ancom turut merasai kesan ini dan akan tercermin dalam laporan kewangan yang akan datang.

Penutup

Syarikat ini memiliki banyak potensi ke hadapan. Bahagian media untuk beberapa tahun telah menarik kumpulan ini kebelakang akan memainkan peranan yang kecil untuk masa akan datang. Ini bermakna Ancom tidak lagi mengeluarkan perbelanjaan untuk bahagian media ini. Keadaan cuaca pula menyebabkan nilai jualan terkesan secara negatif, namun perkembangan di China menimbulkan minat yang meningkat terhadap produk dari Ancom.

Ancom telah pun mendapatkan bekalan barangan mentah yang cukup dari China untuk meneruskan aktiviti perniagaan. Namun sekiranya wabak COVID-19 berterusan sehingga April atau Mei, ia akan menyebabkan gangguan bekalan kepada seluruh dunia. Sekiranya wabak ini dapat ditangani sebelum tempoh itu, keadaan pasaran dijangka akan pulih menjelang pertengahan tahun 2020.


< kembali ke laman blog utama