UMUM

29-OCT-2019

Apakah Syarikat PN17 dan GN3?


 


Terdapat lebih 900 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia. Anda mungkin ada pendapat sendiri untuk menentukan sesebuah syarikat atau saham itu bagus ataupun tak bagus. Apa yang kita lihat sebagai bagus atau tak bagus ni mungkin agak subjektif mengikut pandangan masing-masing. Namun, Bursa Malaysia ada definisi atau kriteria mereka sendiri untuk mengenalpasti syarikat-syarikat yang bermasalah. Apa yang dimaksudkan dengan 'masalah' ni?

Syarikat yang bermasalah

Istilah yang Bursa gunakan untuk syarikat ini adalah PN17 untuk syarikat dalam pasaran utama (main market) dan GN3 untuk syarikat dalam pasaran ACE. Dalam Bursa, terdapat beberapa kriteria yang membolehkan sesebuah syarikat tersenarai, terus tersenarai, dan terkeluar dari senarai dalam Bursa. PN17 dan GN3 adalah satu langkah ke arah terkeluar dari tersenarai dalam pasaran saham Bursa. Contoh yang kita dapat lihat baru-baru ini adalah Utusan Melayu yang dikategorikan sebagai PN17 sebelum terkeluar dari pasaran saham.

utusan melayu nyahsenarai dari bursa Gambar: Utusan Melayu

Kriteria syarikat PN17

Bursa Malaysia telah menggariskan beberapa kriteria untuk sesebuah syarikat itu dikategorikan sebagai bermasalah. Di antara kriteria syarikat PN17 dan GN3, tak banyak beza, dan kita akan anggap sebagai sama dalam perbincangan kali ini. Antara kriteria tersebut adalah seperti di bawah:

  1. Ekuiti terkumpul pegangan saham oleh syarikat yang tersenarai itu berada pada atau kurang daripada 25% daripada modal berbayar (paid-up capital)
  2. Penerima atau pengurus dilantik untuk menguruskan aset syarikat atau anggota syarikat dengan nilai terkumpul lebih 50% daripada aset syarikat
  3. Anak syarikat dan syarikat bersekutu gulung tikar sehingga 50% nilai terkumpul daripada aset syarikat
  4. Juruaudit mempunyai pendapat yang tak memihak kepada syarikat dalam laporan kewangan

Inilah dia antara kriteria yang dituliskan dalam Practice Note 17 (PN17). Secara ringkasnya, ia menunjukkan bahawa syarikat yang berkenaan mempunyai kuasa yang kukuh pada pegangan syarikat. Selain itu, ia menggambarkan bahawa pengurusan syarikat tidak mampu berjalan dengan berkesan.

meja pejabat

Syarikat-syarikat PN17 dan GN3

Sebagai badan yang berkuasa untuk menjaga dan mengawal selia pasaran saham di Malaysia, Bursa Malaysia akan mengeluarkan senarai kemas kini syarikat PN17 dan GN3 dari semasa ke semasa. Ini adalah antara usaha mereka bagi memastikan transaksi yang dilakukan dalam pasaran saham berlaku dengan adil. Link untuk syarikat bermasalah ini boleh dijumpai dalam laman web Bursa. Setakat 31 Ogos 2019, senarai terbaru syarikat-syarikat dalam kategori PN17 dan GN3 adalah seperti di bawah.

Syarikat PN17

  1. APFT BERHAD
  2. BARAKAH OFFSHORE PETROLEUM BERHAD
  3. BERJAYA MEDIA BERHAD
  4. BERTAM ALLIANCE BERHAD
  5. BRAHIM’S HOLDINGS BERHAD
  6. CHINA AUTOMOBILE PARTS HOLDINGS LIMITED
  7. COMINTEL CORPORATION BHD
  8. DAYA MATERIALS BERHAD
  9. EKA NOODLES BERHAD
  10. HB GLOBAL LIMITED
  11. KINSTEEL BHD
  12. KUANTAN FLOUR MILLS BERHAD
  13. LONDON BISCUITS BERHAD
  14. MAA GROUP BERHAD
  15. MALAYSIA PACIFIC CORPORATION BERHAD
  16. MAXWELL INTERNATIONAL HOLDINGS BERHAD
  17. MULTI SPORTS HOLDINGS LTD
  18. PERISAI PETROLEUM TEKNOLOGI BERHAD
  19. SEACERA GROUP BERHAD
  20. SUMATEC RESOURCES BERHAD
  21. TH HEAVY ENGINEERING BERHAD

Syarikat GN3

  1. G NEPTUNE BERHAD
  2. IDIMENSION CONSOLIDATED BERHAR
  3. WINTONI GROUP BERHAD

Link: Senarai syarikat PN17 dan GN3 dari Bursa

Macam mana nak tengok kaunter macam ni kat iSaham?

Untuk mendapatkan senarai terkini, kami kumpulkan senarai syarikat PN17 dan GN3 dalam bahagian iSaham Sector - PN17. Pada setiap page saham pula, kami paparkan PN17 di bahagian atas sekali (rujuk gambar di bawah) supaya anda dapat berfikir dua kali sebelum tertekan beli pada saham tersebut.

Saham PN17

Kalau nak beli saham syarikat PN17 dan GN3

Perkara yang anda perlu buat apabila terjumpa syarikat-syarikat ini adalah elakkan terlebih dahulu. Sebabnya berdasarkan definisi atau kriteria PN17, syarikat-syarikat ini bukanlah boleh buat pusingan-u dengan mudah. Jadi sekiranya anda melabur dalam saham ini, risiko yang anda akan hadapi adalah lebih tinggi. Anda juga perlu ingat bahawa syarikat ini berkemungkinan untuk dikeluarkan daripada pasaran saham. Jika perkara ini terjadi ketika modal anda sudah pun dilaburkan ke dalam syarikat ini, maka hanguslah pelaburan tadi. Akhir sekali, fikirkan sebaiknya dalam pelaburan anda untuk dapatkan yang terbaik.


< kembali ke laman blog utama