UMUM

25-MAR-2020

Apakah Dimaksudkan Dengan Recession


 


Maksud Recession

Recession atau dalam bahasa melayunya kemelesetan adalah sebuah kitaran perniagaan di mana berlakunya kekurangan kegiatan ekonomi. Ada banyak kemungkinan yang boleh menyebabkan kemelesetan ini, antaranya krisis kewangan, kekurangan bekalan, letusan ekonomi (economic bubble) dan sebagainya.

Ada negara yang menafsirkan kemelesetan ini sebagai kekurangan kegiatan ekonomi untuk lebih dari beberapa bulan. Ada juga yang mengenalpasti kemelesetan ini sebagai pertumbuhan yang negatif untuk dua suku yang berturutan. Secara umumnya, kita boleh faham kemelesetan ini sebagai peringkat penurunan dalam kitaran perniagaan.

Business cycle by investopedia Gambar: Investopedia

Recession boleh berlaku pada skala negara dan juga dunia. Apabila ia berlaku pada skala dunia, ia disebabkan oleh kejadian yang memberi kesan secara global.

Recession yang pernah berlaku

Malaysia pernah mengalami kemelesetan yang teruk semasa krisis kewangan 1998. Seterusnya, Malaysia juga tak terkecuali mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2008-2009 yang dinamakan The Great Recession. Kesan penurunan pada Malaysia tak seteruk yang dialami oleh Amerika pada waktu kemelesetan ini kerana situasi yang dialami juga adalah berbeza.

Selain dari kemelesetan di atas, terdapat banyak lagi kemelesetan ekonomi yang berlaku. Namun, ada yang lebih dikenali berbanding yang lain kerana tahap kedahsyatan yang berlaku dan kesannya kepada ekonomi.

Kebanyakan kitaran kemelesetan ini adalah disebabkan oleh krisis kewangan. Namun, pada tahun ini kita mengalami sebuah serangan ekonomi yang bukan berasal dari krisis kewangan. Ianya disebabkan oleh wabak yang memberi kesan kepada nyawa itu sendiri.

people wearing mask

Adakah Recession telah berlaku?

Sekiranya melihat pada laporan ekonomi Malaysia dari kementerian kewangan, negara kita telah pun mencatat penguncupan GDP untuk dua suku yang berturutan sejak suku ketiga 2019. Maka boleh kata negara kita telah pun mengalami recession. Sementara itu pula, firma pelaburan bertaraf antarabangsa pula mengesahkan spekulasi bahawa dunia sedang pun mengalami kemelesetan akibat wabak ini.

Pemerhatian terhadap kesan COVID-19

Wabak virus COVID-19 ini bermula dari China dan menular ke serata dunia. Tahap penularan virus ini sangat tinggi dan ada kes yang mengakibatkan kematian. Sebagai tindak balas yang semula jadi, ramai yang mengurangkan aktiviti di luar rumah untuk mengelak daripada dijangkit wabak ini. Kekurangan pengunjung pula menjejaskan jualan peruncit di pusat membeli belah yang perlu membayar sewa kedai setiap bulan.

empty mall

Sentiment ketakutan ini juga menjejaskan permintaan minyak sedunia, terutamanya apabila banyak penerbangan yang dibatalkan. Dalam masa yang sama, Rusia pula tidak sehaluan dengan OPEC untuk mengurangkan bekalan minyak. Ini menyebabkan kejatuhan harga minyak yang mendadak.

gas tation

Untuk menahan wabak ini dari terus menular, kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan. Kedai-kedai yang tidak termasuk dalam perkhidmatan penting atau (Essential Services) diarahkan untuk tutup sementara waktu. Keadaan ini juga menjejaskan perniagaan Perusahaan Kecil Sederhana yang tidak dapat menjalankan kegiatan perniagaan.

Secara keseluruhan, wabak ini memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan masyarakat dan juga aktiviti perniagaan. Situasi ini merupakan suasana yang getir dan tindakan kerajaan memainkan peranan penting untuk membendung wabak ini dan juga memulihkan ekonomi negara.

Menangani kemelesetan

Dalam menangani kemelesetan, tindakan yang bijak perlu diambil oleh kerajaan dan bank pusat. Setiap masalah yang berlaku pada waktu kemelesetan adalah unik, dan kebiasaannya hanya boleh ditangani oleh kerajaan yang mempunyai kuasa untuk tetapkan polisi yang perlu. Bank pusat pula sentiasa berjaga-jaga dengan menentukan dan menilai sama ada terdapatnya keperluan untuk mengubah kadar faedah pinjaman bank.

Dalam kes COVID-19 ini, ianya bukanlah boleh ditangani dengan polisi kewangan semata-mata. Ianya melibatkan nyawa dan perlu disertakan dengan tindakan untuk menangani wabak ini.

Kerajaan telah pun mengumumkan pakej stimulus untuk merangsang kelangsungan aktiviti ekonomi dalam negara. Dalam pakej ini, pembayaran sewa dijadualkan semula, pengecualian cukai disemak semula, dan pelbagai lagi inisiatif untuk menggalakkan perbelanjaan dalam negara.

Wabak ini pula ditangani dengan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menahan penularan COVID-19 daripada terus merebak dengan cepat. Selagi sentimen ketakutan daripada terkena wabak ini masih wujud, selagi itulah akan berkurangnya permintaan dalam ekonomi secara keseluruhan.


< kembali ke laman blog utama