18-JUL-2022

Apa yang Unik tentang IPO Unique?


 


Unique

Unique Fire Holdings Berhad (Unique) melalui anak syarikatnya, UFI terlibat dalam memasang, membuat dan mengedar sistem perlindungan kebakaran aktif, peralatan dan aksesori di dalam persekitaran terbina. UDI pula terlibat dalam mengedarkan alat pemadam api direka khas dan sistem perlindungan kebakaran aktif yang lain, peralatan dan aksesori serta khidmat-khidmat yang berkaitan.

Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.26
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 104 juta
Nisbah PE:
10.55
Permohonan ditutup:
22 Julai 2022
Cabutan saham:
27 Julai 2022
Tarikh penyenaraian:
5 Ogos 2022

Bisnes Unique

Unique telah diperbadankan pada 13 April 2021 sebagai syarikat swasta di bawah nama Unique Fire Holdings Sdn Bhd dan ditukarkan kepada syarikat awam berhad pada 8 September 2021. Struktur syarikat adalah seperti berikut:

Struktur syarikat Unique

UFI menjalankan aktiviti memasang, membuat dan mengedar sistem perlindungan kebakaran aktif, peralatan dan aksesori untuk kawasan binaan. Manakala UDI pula mengedar alat pemadam api yang dibuat khas, sistem perlindungan kebakaran aktif, peralatan dan aksesori serta khidmat-khidmat berkaitan yang lain.

Aktiviti perniagaan Unique

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Perniagaan Unique dianggap sebagai perkhidmatan penting oleh MITI dan dibenarkan beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun begitu, pelanggan-pelanggan syarikat ini terdiri daripada kontraktor M&E, kontraktor FPS dan penyedia perkhidmatan penyelenggaraan FPS, di mana kebanyakkannya adalah dari bahagian pembinaan dan pembangunan.

Hampir kesemua daripada mereka tergolong dalam perniagaan yang terganggu semasa pandemik COVID-19 melanda. Oleh kerana itu, syarikat Unique mengalami kekurangan pesanan baru dan terpaksa menangguhkan penghantaran produk kepada pelanggan. Hal ini secara tidak langsung telah memberi kesan kepada permintaan dan jualan produk syarikat pada FYE 2020 dan 2021.

Prestasi kewangan

Pendapatan bagi FYE 2020 dan FYE 2021 telah mengalami penurunan akibat pengurangan aktiviti pembinaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan oleh kerajaan akibat pandemik COVID-19. Bagi FPE 2022 pula, pendapatan setakat 9 bulan ini telah meningkat berbanding FPE 2021 akibat pembukaan semula aktiviti perniagaan di seluruh negara.

Penurunan pendapatan untuk FYE 2021 dan FYE 2022 adalah kerana peningkatan terhadap harga keluli dan barangan-barangan untuk diedarkan tetapi tidak diberikan kepada pelanggan. Tambahan lagi, Unique juga turut mengenakan diskaun kepada pelanggan-pelanggan tertentu semasa pandemik COVID-19 melanda untuk menggalakkan penjualan semasa FYE 2021.

Prestasi kewangan Unique
Prestasi kewangan Unique.

Pendapatan diperoleh oleh Unique dibahagikan kepada empat segmen, iaitu pemasangan, pengedaran, pembuatan dan aktiviti-aktiviti lain. Majoriti pendapatan syarikat ini diperolehi daripada aktiviti pemasangan, iaitu dengan lebih 40% dari keseluruhan pendapatan. Segmen pemasangan juga menunjukkan peningkatan pendapatan dari FYE 2019 ke FYE 2020 dan FYE 2021.

Segmen pengedaran adalah segmen kedua terbesar bagi syarikat Unique, namun, segmen ini menghadapi penurunan pada setiap tahun kewangan bermula FYE 2019. Ini berlaku kerana terdapat sedikit gangguan terhadap perniagaan pelanggan-pelanggan mereka akibat sekatan-sekatan yang dilakukan sewaktu pandemik COVID-19. Justeru, ini secara tidak langsung telah memberikan kesan kepada pendapatan mereka.

Pendapatan mengikut segmen
Pendapatan mengikut segmen.

Segmen pembuatan pula merangkumi kurang 20% daripada pendapatan Unique, manakala aktiviti-aktiviti lain pula memberikan hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan pendapatan.

Antara aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan oleh Unique Fire adalah membantu dalam menguruskan aplikasi Bomba eFEIS, penjualan mesin pengisian semula alat pemadam api kimia kering dan menservis peralatan perlindungan kebakaran.

Strategi IPO dan masa depan

Jumlah dana yang diterima daripada tawaran awam awal berjumlah RM 21.775 juta akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Penambahan fasiliti pembuatan 2.5 11.48
Perluasan liputan geografi 6.0 27.55
Penambahan keupayaan operasi 5.3 24.34
Modal kerja 4.575 21.01
Perbelanjaan penyenaraian 3.4 15.62
Jumlah 21.775 100.0

 

Jika dilihat dari jadual di atas, sebahagian besar dana iaitu sebanyak 27.55% akan digunakan untuk tujuan perluasan liputan geografi. Pelan perluasan liputan geografi Unique adalah dengan membina sebuah pejabat jualan dan gudang di Johor dan Pulau Pinang. Selain itu, dana ini juga akan digunakan untuk meningkatkan aktiviti pengiklanan dan pemasaran di dalam dan luar negara, termasuk Hong Kong dan negara-negara Timur Tengah.

Sebanyak 24.35% daripada dana pula akan digunakan bagi tujuan menambah keupayaan operasi dengan meningkatkan kapasiti penyimpanan dan melaksanakan sistem pengurusan gudang. Selain itu, Unique juga akan menggunakan sejumlah RM 1.14 juta daripada dana tersebut untuk menjalankan sistem data pengenalan alat pemadam api digital dan juga meningkatkan sistem IT mereka. Tambahan lagi, Unique juga berhasrat untuk memasang sistem fotovoltaik suria di fasiliti sedia ada mereka di Shah Alam, Selangor, bagi mengurangkan kos utiliti.

11.48 daripada dana akan digunakan untuk penambahan fasiliti pembuatan, iaitu dengan menambah talian pembuatan silinder pemadam api kimia kering mudah alih tangan baharu. Talian pembuatan itu juga akan digunakan untuk mengeluarkan alat pemadam api kimia kering mudah alih tangan baharu yang mematuhi Piawaian Malaysia (MS) dan Piawaian British (BS) untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Lebihan dana sebanyak RM 4.757 juta dan RM 3.4 juta pula akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri Unique

Unique Fire Holdings Berhad dan anak-anak syarikatnya terlibat dalam pemasangan, pengedaran dan pembuatan sistem perlindungan kebakaran aktif, peralatan dan aksesori. Majoriti pendapatan syarikat diperoleh dari dalam negara.

Industri perlindungan kebakaran aktif

Menurut Piawaian Malaysia (MS), sumber bahan api boleh terdiri daripada pelbagai jenis bahan mudah terbakar yang akan membawa kepada kelas kebakaran yang berbeza seperti berikut:

Jenis kebakaran (mengikut kelas) Bahan mudah bakar
A Bahan pepejal
B Cecair mudah terbakar
C Gas mudah terbakar
D Logam mudah terbakar
E Peralatan elektrik bertenaga
F Bahan memasak seperti minyak sayuran atau haiwan

 

Jenis kebakaran yang berbeza memerlukan peralatan yang berbeza untuk memadam atau menyekat api. Unique Fire terlibat dalam menyediakan sistem perlindungan api, peralatan dan aksesori bagi kesemua kelas yang disenaraikan, kecuali kebakaran kelas D.

Faktor mempengaruhi industri

Menurut laporan Vital Factor Consulting, penyedia alat keselamatan api aktif bergantung terhadap keadaan ekonomi, aktiviti pembinaan dan pembangunan serta rangka kerja pengawalseliaan di Malaysia. Bangunan-bangunan baharu dapat menyumbang terhadap permintaan ke atas sistem keselamatan kebakaran aktif serta peralatannya.

Pada 2021, GDP ekonomi Malaysia dan sektor pembinaan masing-masing mencatatkan peningkatan dan penurunan sebanyak 3.1% dan -5.2% berbanding 2020. Pada Q1 2022, GDP ekonomi Malaysia dan sektor pembinaan masing-masing merekodkan 5.0% dan -6.2% berbanding Q1 2021.

Faktor mempengaruhi industri

Prestasi industri perlindungan kebakaran yang aktif bergantung kepada pemulihan ekonomi Malaysia serta ekonomi global daripada pandemik COVID-19. Sebagai tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi yang disediakan oleh kerajaan Malaysia yang berjumlah RM 530 bilion, sebanyak RM 332.1 bilion lagi telah diperuntukkan untuk memacu pemulihan ekonomi seperti yang ditunjukkan dalam Bajet 2022.

Sebarang kebangkitan semula kes COVID-19 dan langkah-langkah pembendungan akan membebankan pertumbuhan ekonomi. Secara keseluruhannya. Penumbuhan ekonomi sebanyak 3.1% pada tahun 2021 diramalkan akan meningkat kepada 5.3% ke 6.3% pada tahun 2022.

Pertimbangan lain yang akan mendorong permintaan termasuk kesedaran awam yang semakin meningkat tentang keselamatan kebakaran, perubahan peraturan berkaitan keselamatan api, pemulihan dalam industri pembinaan serta pelaksanaan peraturan ketat untuk kebakaran perlindungan dalam bangunan.

Walaupun Gross Domestic Product (GDP) bagi industri pembinaan merosot sebanyak 5.2% pada tahun 2021, industri pembinaan dijangka akan pulih semula pada 2022 dengan ramalan pertumbuhan sebanyak 6.1%.

Persaing bisnes

Sehingga 3 Jun 2022, sebanyak 241 syarikat telah berdaftar dengan Pertubuhan Perlindungan Kebakaran Malaysia, dan 124 daripada ahli terlibat dalam sektor sistem keselamatan kebakaran aktif.

Bagi tujuan perbandingan, kriteria pemilihan pesaing adalah seperti berikut:

Perbandingan antara syarikat-syarikat lain di dalam industri yang sama

 

Perbincangan

Meskipun perniagaan Unique dianggap sebagai perkhidmatan penting, syarikat ini turut terkena tempias yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. Hal ini kerana terdapat kebergantungan industri terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan juga terhadap industri binaan dan pembangunan. Kebergantungan ini harus di ambil kira dalam menentukan kebersediaan syarikat sekiranya pandemik atau apa-apa hal serupa yang tidak dapat elakkan untuk berlaku lagi.

Dana yang diperolehi dari hasil penyenaraian kebanyakkan adalah bertujuan untuk mengembangkan perniagaan. Langkah ini ini boleh dianggap sebagai langkah yang baik bagi syarikat dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan. Namun, Unique perlu membuktikan kemampuan mereka apabila tersenarai di pasaran Bursa Malaysia tidak lama lagi.


< kembali ke laman blog utama