UMUM

20-NOV-2019

Apa Maksud Bid dalam Bursa?


 


Sekiranya anda mengikuti sebuah lelongan, sebagai pembeli, anda akan tawarkan pada suatu harga yang anda rasakan wajar dengan apa yang dibeli. Sama juga dalam saham, istilah yang digunakan untuk perbuatan ini dinamakan sebagai bidaan ataupun dalam bahasa yang biasa digunakan dalam Bursa ialah ‘bid’. Kebiasaannya, bidaan harga akan dibuat sekitar harga terakhir ataupun harga paras support sesebuah saham.

Saiz bid mengikut harga saham

Perbezaan terkecil antara sebuah bidaan kepada bidaan seterusnya adalah satu bid. Namun, saiz bidaan dari segi nilai adalah berbeza mengikut harga saham. Saiz bidaan mengikut harga saham boleh dilihat seperti berikut:

Julat harga Saiz bidaan (sen) Contoh (RM)
Bawah RM 1.00 0.5 0.600 → 0.605 → 0.610
RM 1.00 hingga RM 9.99 1 1.50 → 1.51 → 1.52
RM 10.00 hingga RM 99.98 2 16.86 → 16.88 → 16.90
RM 100 dan ke atas 10 144.40 → 144.50 → 144.60

Saiz bidaan boleh difaham dengan mengumpamakan saiz bidaan itu sebagai skala terkecil pada pembaris. Sekiranya anda melihat pada saham yang berharga 60 sen, harga bidaan seterusnya adalah pada 60.5 sen, 61 sen dan seterusnya. Sekiranya anda melihat pada saham yang berharga RM 1.50, bidaan seterusnya adalah pada RM 1.51, RM 1.52 dan seterusnya. Begitulah juga untuk saham berharga RM 10 ke atas dan RM 100 ke atas.

Seperti saiz bidaan, bidaan harga untuk belian atau jualan juga perlu diletakkan berdasarkan bidaan mengikut harga saham. Sebagai contoh, sekiranya anda melihat pada saham yang bernilai RM 0.50 (bawah harga RM 1.00), anda tidak boleh berjual beli pada harga RM 0.501 kerana saiz ini tiada dalam ukuran bidaan saham pada harga tersebut (rujuk jadual). Begitu juga sekiranya melihat pada saham RM 1.50, saham ini tidak boleh dijual beli pada harga RM 1.505. Semua harga jual dan beli perlu mengikut jadual di atas tadi.

Namun, anda mungkin tidak akan berbuat seperti contoh yang diberi kerana pilihan harga telah disusun dalam proses membuat transaksi jual atau beli.

Buy Table Jadual belian atau jualan telah ditetapkan mengikut saiz bidaan

Apa maksud saham naik satu bid?

Sekiranya sesuatu saham itu meningkat sebanyak satu bidaan, bermakna saham itu telah naik sebanyak satu bid. Begitu juga untuk dua saiz bidaan dan seterusnya. Kalau harga turun pula, dan tentu disebut turun satu bid, dua bid dan seterusnya.

Saiz bid ini pula dah tentu mengikut harga saham seperti dibincangkan di atas tadi (rujuk jadual). Namun, istilah ini lebih sesuai digunakan dalam kenaikan harga dalam saiz bidaan yang kecil. Kalau saham anda naik banyak, anda dah tak kira mengikut berapa bid. Anda cuma sebut naik berapa peratus atau nilainya naik berapa banyak.

Cukup ke satu bid kalau nak untung?

Sekiranya anda beli saham mengikut teknik BTST, anda mungkin mempunyai matlamat pelaburan yang sangat singkat (super short term). Ini juga bermakna kenaikan saham yang anda lihat mungkin hanya satu hingga empat bid (kalau nasib baik, lagi banyak).

Bergantung kepada modal yang anda letakkan, kenaikan satu bid pun sebenarnya boleh memberikan keuntungan. Ini sangat bergantung kepada modal dan harga saham yang dibeli. Dalam kes ini, anda boleh manfaatkan buy calculator untuk menjangka keuntungan yang anda boleh jana dengan kenaikan bid yang kecil ini.


< kembali ke laman blog utama