Dalam dunia pelaburan dan korporat, banyak istilah digunakan bagi menilai potensi dan prestasi sesebuah syarikat. Salah satu istilah yang sering muncul, terutama apabila syarikat mengumumkan kejayaan memperoleh kontrak baharu atau membentangkan laporan kewangan suku tahunan, ialah “order book”. Walaupun istilah ini sering disebut dalam laporan media dan analisis syarikat, tidak semua pelabur memahami maksud sebenar dan kepentingannya dalam menilai prospek sesebuah perniagaan.
Dalam blog kali ini, kami akan menerangkan secara terperinci tentang maksud order book dan penilaian yang boleh dilakukan.
Apa itu Order Book?
Istilah ini merujuk kepada nilai kerja atau kontrak yang telah diterima tetapi belum disiapkan atau diiktiraf sebagai pendapatan. Dalam industri yang bergantung kepada kontrak berskala besar seperti pembinaan dan kejuruteraan, order book menjadi petunjuk penting terhadap prestasi masa hadapan sesebuah syarikat.
Contohnya, jika sebuah syarikat kejuruteraan menerima kontrak RM300 juta untuk membina loji rawatan air, nilai kontrak itu dimasukkan dalam order book. Pendapatan sebenar daripada kontrak ini akan direalisasikan secara progresif berdasarkan kemajuan projek.
Kita katakan projek ini ambil masa 3 tahun. Jadi, pengiraan kasar, anggaran yang akan diterima oleh syarikat ini ialah sekitar RM100 juta setahun atau RM25 juta setiap suku.
Secara amnya, order book adalah senarai dinamik yang bertambah apabila syarikat memperoleh kontrak baharu dan berkurang apabila projek disiapkan atau dibatalkan.
Kandungan lazim dalam order book termasuk:
1. Jumlah keseluruhan kontrak yang belum disiapkan
2. Jenis produk atau perkhidmatan yang akan dibekalkan
3. Tempoh jangkaan pelaksanaan projek
4. Butiran pelanggan dan terma kontrak
Syarikat yang memiliki order book
Tidak semua syarikat mempunyai order book. Konsep ini lebih relevan bagi perniagaan yang berasaskan projek, kontrak atau pesanan berskala besar yang memerlukan tempoh pelaksanaan tertentu (backlog). Sebaliknya, syarikat dalam sektor yang berasaskan transaksi harian seperti runcit, makanan dan minuman, perbankan, serta perkhidmatan pengguna, biasanya tidak menyimpan order book kerana transaksi jualan mereka dilakukan serta-merta selepas transaksi.
Antara sektor-sektor yang mempunyai order book ialah:
-
Pembinaan dan Infrastruktur
Melibatkan kontrak jangka panjang seperti lebuh raya, rel bandar, hospital, dan bangunan komersial. -
Kejuruteraan (EPCC)
Termasuk kerja-kerja kejuruteraan reka bentuk dan pemasangan industri berat. -
Pembuatan Barangan Industri
Produk seperti mesin industri, sistem automasi dan peralatan khusus yang ditempah mengikut spesifikasi pelanggan. -
Aeroangkasa dan Pertahanan
Kontrak bekalan, penyelenggaraan pesawat, atau sistem pertahanan kerajaan. -
Perkhidmatan Teknologi Korporat
Projek sistem IT, infrastruktur digital dan langganan jangka panjang kepada perisian perniagaan.
Kepentingan Order Book
Order book sering dianggap sebagai penunjuk awal terhadap pendapatan masa depan. Antaranya:
-
Earnings Visibility: Nilai order book memberi gambaran tentang pendapatan syarikat pada masa akan datang.
-
Perancangan Operasi: Syarikat boleh merancang keperluan sumber manusia, modal kerja dan logistik berdasarkan beban kerja masa hadapan.
-
Keyakinan Pelabur: Pertumbuhan order book sering dilihat sebagai petanda permintaan yang mampan dan mampu memberi kesan positif kepada harga saham.
Namun begitu, semua kelebihan ini hanya dapat direalisasikan jika syarikat mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kontrak dengan berkesan, serta mengurus risiko seperti kelewatan projek atau pembatalan kontrak.
Penilaian Order Book
Untuk menilai sama ada jumlah order book sesebuah syarikat itu kukuh, biasa atau membimbangkan, pelabur boleh meneliti faktor berikut:
-
Perbandingan Sejarah (Historical Comparison): Adakah jumlah order book meningkat berbanding suku atau tahun sebelumnya?
-
Penanda Aras Industri (Industry Benchmark): Bagaimana nisbah order book kepada pendapatan tahunan berbanding pesaing? Dalam sesetengah industri, nisbah 2–3 kali pendapatan tahunan dianggap kukuh.
-
Kualiti Kontrak: Adakah kontrak datang daripada pelanggan yang pelbagai dan kukuh? Kontrak yang tertumpu kepada satu pelanggan adalah lebih berisiko.
-
Tempoh Penyiapan: Adakah projek-projek ini akan disiapkan dalam masa singkat (dan membawa hasil cepat), atau mengambil masa bertahun-tahun?
Case Study
Sebuah order book dianggap luar biasa jika ia melebihi purata prestasi sebelum-sebelum ini dengan kontrak yang pelbagai serta boleh dilaksanakan secara realistik. Sebaliknya, order book yang semakin mengecil, tidak seimbang, atau dipenuhi kontrak berisiko boleh menjadi petanda negatif.
Untuk mencari syarikat berpotensi menggunakan order book ialah dengan cara revenue projection berdasarkan data order book yang boleh didapatkan di dalam laporan kewangan (QR/AR) sebahagian syarikat.
Sebagai contoh, salah satu syarikat yang berjaya meningkatkan nilai order book sebelum ini ialah KGB. Jika, kita kumpulkan data-data order sebelum ini, dan buatkan satu visual ringkas, kita akan dapati order book yang sebelum ini berada di sekitar bawah 500 juta (Nov 2016 - Aug 2021) telah melonjak melebih 1 bilion selepas dari itu.
Dari situ, kita dapat membuat anggaran, kemana halatuju pendapatan syarikat selepas ini. Jika, dilihat dari chart pendapatan KGB, pendapatan KGB berjaya melonjak dengan agak banyak selepas dari itu melebihi purata sebelumnya.
Namun, ia adalah sekadar gambaran bagaimana peningkatan order book boleh memberi kesan kepada peningkatan pendapatan pada masa akan datang. Dalam dunia pelaburan tiada siapa yang dapat meramalkan secara tepat apa yang akan berlaku dan macam-macam perkara boleh berlaku contohnya pembatalan kontrak.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, order book adalah metrik penting untuk menilai prospek masa depan sesebuah syarikat, terutamanya dalam industri berasaskan kontrak. Ia memberikan gambaran tentang hasil yang telah dijamin dan akan dilaksanakan, justeru memberi isyarat sama ada pendapatan dan keuntungan akan meningkat. Namun, pelabur tidak seharusnya hanya melihat kepada jumlah order book semata-mata. Kualiti kontrak, keupayaan pelaksanaan dan tahap risiko keseluruhan juga perlu diambil kira.