Kalau anda aktif dalam dunia saham di Bursa Malaysia, mesti pernah dengar istilah “kaunter sikat”. Nama ni mungkin kedengaran pelik, tapi sebenarnya ia adalah bahasa pasar yang digunakan oleh komuniti pelabur untuk menggambarkan satu jenis saham tertentu. Nampak “selamat” sebab harga tak banyak bergerak. Tapi realitinya, kaunter jenis ni boleh jadi perangkap modal kalau kita tak faham. Dalam blog kali ini, kami akan terangkan dengan lebih terperinci tentang kaunter sikat.
Apa Maksud Kaunter Sikat?
Secara ringkas, kaunter sikat merujuk kepada saham yang pergerakan harganya mendatar dalam julat kecil. Harga turun naik sangat sedikit, biasanya dalam julat 1–5 sen saja, dan keadaan ini boleh berlarutan untuk tempoh yang lama. Boleh jadi berbulan-bulan, malah ada yang bertahun. Kalau buka chart, anda akan nampak bentuk garisan yang mendatar dan hampir sama parasnya, seakan-akan bentuk gigi sikat. Kaunter inilah yang pedagang Malaysia gelar kaunter sikat. Jadi, kaunter sikat bukanlah merujuk kepada saham syarikat yang menjual sikat, tetapi lebih kepada saham yang mempunyai bentuk carta seakan-akan sikat.

Ciri-Ciri Kaunter Sikat
1. Chart mendatar dengan julat pergerakan kecil:
Cara paling utama pedagang mengkategorikan kaunter sikat ialah dengan melihat chart. Kalau harga bergerak sideways lama dan nampak macam sikat, itulah kaunter sikat.

2. Harga rendah (penny stock):
Kebanyakkan kaunter sikat berada pada bawah 50 sen atau kita panggil sebagai "Penny Stock".
3. Volume dagangan rendah / tidak aktif:
Ada transaksi, tapi jumlah buyer & seller tak ramai. Jarang-jarang ada lonjakan volume besar.
4. Tiada catalyst yang kuat:
Dari segi fundamental, majoriti dari kaunter sikat juga kurang faktor penggerak atau kita panggil sebagai catalyst. Kalau adapun, mungkin ia dianggap lemah dan tidak menarik untuk membuat pelabur membeli saham. Oleh itu, selagi tiada faktor penggerak yang kuat, harga dijangka kekal static.
Risiko Utama Kaunter Sikat
Walaupun nampak “tenang” sebab tak banyak turun naik, kaunter sikat ada beberapa risiko yang pelabur kena faham:
1. Susah Nak Jual Semula (Kurang Liquid)
Disebabkan volume dagangan rendah dan pelabur tidak tertarik dengan kaunter sikat, susah untuk lepaskan pegangan pada harga yang lebih tinggi. Kadang-kadang terpaksa jual lebih murah baru ada yang beli.
2. Modal Boleh Tersekat Lama
Harga tak naik-naik, jadi modal kita “terkunci” dalam saham tu tanpa sebarang growth. Apabila susah nak jual, que jual anda mungkin akan mengambil yang lama.
3. Opportunity Cost
Sementara tunggu kaunter sikat bergerak, kita mungkin terlepas peluang saham lain yang lebih aktif dan berpotensi tinggi.
4. False Hope (Harapan Palsu)
Ramai pelabur sangka harga akan meletup satu hari nanti. Tapi tanpa catalyst, ia boleh kekal mendatar bertahun-tahun.

Bila Sesuai Masuk Kaunter Sikat?
Soalan biasa: “Boleh ke kita beli kaunter sikat?” Jawapan pendek: Boleh, tapi kena tunggu masa sesuai.
Masa sesuai tu bila ada peningkatan minat belian dari segi volume dan catalyst baru yang betul-betul kuat untuk gerakkan harga. Kalau tidak, lebih baik elakkan dulu.
Contoh Catalyst Yang Boleh Gerakkan Kaunter Sikat
1. Quarter Report (QR) luar biasa
Bila syarikat umumkan prestasi kewangan jauh lebih baik dari jangkaan.
2. Dapat kontrak besar / projek baru
Contohnya syarikat kecil tiba-tiba dapat projek dengan lonjakkan dari segi nilai projek.
3. Sektor dapat perhatian
Macam kes sarung tangan (glove) masa Covid-19, hampir semua kaunter glove naik sebab demand tinggi.
4. Corporate exercise
Contoh: bonus issue, right issue, share buyback atau news tentang acquisition.
Strategi Untuk Pelabur
1. Fokus pada saham yang ada arah jelas.
2. Elakkan terperangkap dengan “harga murah”: Murah tak semestinya bagus.
3. Sentiasa check volume & catalyst: Kalau tiada kedua-dua ni, risiko terperangkap lebih tinggi.
4. Modal yang tersekat dalam kaunter sikat lebih baik diguna pada saham yang aktif dan ada potensi.
Kesimpulan
Kaunter sikat mungkin nampak selamat kerana tak banyak turun naik. Tapi sebenarnya, ia boleh jadi perangkap modal yang buat kita stuck berbulan-bulan tanpa keuntungan. Sebagai pelabur atau trader, lebih baik fokus pada saham yang ada catalyst, volume aktif, atau potensi growth yang jelas. Yang penting buat kajian sama ada teknikal, fundamental atau kedua-duanya. Ingat, dalam dunia saham, bukan sekadar “jangan rugi”, tapi juga bagaimana nak pastikan modal berkembang dengan efektif.