UMUM

27-MAY-2025

Apa itu Dividend Re-investment Plan


AA    


Bagi pelabur yang memegang saham syarikat yang mengagihkan dividen, mungkin anda pernah menerima notis daripada syarikat tersebut menawarkan satu pilihan yang dipanggil Dividend Reinvestment plan (DRIP) atau Dividend Reinvestment Scheme (DRS). Tapi apa sebenarnya DRIP ini? Patutkah anda terima atau tolak? Jom kita fahamkan.

 

Definisi Ringkas DRIP

 

Dividend Reinvestment Plan ialah satu pelan di mana syarikat memberi pilihan kepada pemegang saham untuk menggunakan dividen yang diterima untuk ditukarkan dalam bentuk saham tambahan syarikat tersebut, biasanya pada harga diskaun berbanding harga pasaran. Dengan kata lain, daripada menerima dividen dalam bentuk tunai, pelabur diberikan pilihan untuk menukarkan kesemua atau sebahagian jumlah dividen kepada bentuk saham syarikat. Namun, pelabur juga boleh menolak dan akan tetap menerima dividen dalam bentuk tunai. 

 

Contoh Mudah

 

Katakan anda memiliki 100,000 unit saham Syarikat XYZ. Syarikat umumkan dividen RM0.05 sesaham. Maka anda layak menerima RM5000. Jika syarikat menawarkan DRIP, anda akan diberi pilihan untuk terima RM5000 dalam bentuk tunai, atau gunakan RM5000 itu untuk beli saham XYZ pada harga diskaun, contohnya RM0.90 seunit, walaupun harga pasaran ialah RM1.00. 

 

Syarikat Yang Menawarkan DRIP

 

Di Malaysia, bukan semua syarikat menawarkan Dividend Re-investment Plan/Scheme. Ia bergantung kepada polisi dan pengurusan syarikat itu sendiri. Untuk menawarkan DRIP, syarikat mesti terlebih dahulu memberikan dividen. Tanpa dividen, tidak ada apa-apa yang boleh digunakan oleh pelabur untuk dilaburkan semula. Maka, hanya syarikat yang membayar dividen boleh menyediakan program DRIP. Antara syarikat yang pernah menawarkan DRIP kepada penerima dividen ialah syarikat Gamuda dan MYEG. 

 

 

Kelebihan DRIP

 

1. Menambah pegangan saham dengan harga diskaun (Pelabur).

Kebanyakan syarikat yang menawarkan DRIP akan menawarkan saham dengan harga diskaun berbanding pasaran. Sebagai contoh, Gamuda yang menawarkan DRIP dengan diskaun tidak lebih 10%.

 

2. Fleksibel (Pelabur)

Pelabur diberikan pilihan untuk menerima atau menolaknya. Tiada paksaan dalam keputusan pelabur. Jika pelabur enggan menerima tawaran DRIP, wang dividen tetap akan dikreditkan.

 

3. Mengekalkan sebahagian dana syarikat (Syarikat)

Dana syarikat yang digunakan untuk memberikan dividen dalam bentuk tunai kembali dilaburkan ke dalam syarikat. Syarikat boleh menggunakan kembali dana yang dilaburkan untuk tujuan operasi atau pengembangan.

 

Risiko DRIP

 

1. Harga saham jatuh

Terdapat juga risiko harga saham jatuh selepas dividen ditukarkan kepada bentuk saham. Jadi, walaupun anda beli saham pada harga diskaun, kaji carta saham semasa syarikat.

 

2. Peratusan pegangan tidak meningkat

Sesetengah syarikat guna DRIP sebagai cara untuk menerbitkan saham baru. Ini boleh menyebabkan penurunan peratusan pegangan saham walaupun bilangan unit yang dimiliki bertambah disebabkan penambahan keseluruhan unit saham.

 

Adakah DRIP Sesuai Untuk Anda?

 

DRIP lebih sesuai untuk pelabur jangka panjang dan mereka yang percaya kepada potensi pertumbuhan syarikat. Jika anda perlukan wang tunai hasil dividen untuk keperluan lain atau ada strategi pelaburan berbeza, mungkin anda boleh menolak DRIP. 

 

Cara Menerima & Menolak DRIP

 

Jika syarikat menawarkan DRIP, anda akan terima borang atau notis melalui emel. Anda hanya perlu baca terma & syarat DRIP tersebut. Untuk menerima tawaran, anda perlu gunakan aplikasi Bursa Anywhere di bahagian E-DRP. Ini akan diterangkan dalam blog seterusnya. Jika pemegang saham tidak buat apa-apa, secara automatik bermaksud anda menolak tawaran tersebut dan akan menerima dividen seperti biasa dalam bentuk tunai. 

 

Kesimpulan

 

Dividend Reinvestment Plan (DRIP) ialah pilihan yang ditawarkan oleh sesetengah syarikat kepada pemegang saham untuk melaburkan semula dividen ke dalam saham syarikat, biasanya pada harga diskaun. Ia memberi peluang menambah pegangan saham tanpa modal tambahan. DRIP sesuai untuk pelabur jangka panjang yang yakin dengan prospek syarikat. Namun, keputusan untuk menyertai DRIP bergantung kepada matlamat pelaburan anda. Sebagai pelabur, apa yang penting ialah strategi anda sendiri. 

 


< kembali ke laman blog utama