UMUM

27-APR-2021

Aerodyne - Syarikat Perkhidmatan Drone Menerajui Dunia


 


Kali ini, kita bukan berbincang tentang syarikat yang dah tersenarai, tapi syarikat yang agak baru dalam industri, dalam industri yang juga agak baru. Syarikat yang dimaksudkan ialah Aerodyne yang menjalankan aktiviti perniagaan dalam industri drone. Mereka bukanlah pengeluar drone, tetapi mereka menawarkan perkhidmatan yang melibatkan semakan visual dan disertakan dengan sains data kajian. Kajian yang dibuat membolehkan syarikat menjalankan operasi mereka dengan lebih cekap.

pasukan aerodyne
Gambar: Aerodyne

Pernah menguji Kereta Terbang

Syarikat ini agak baru ditubuhkan, iaitu pada tahun 2014. Mungkin ramai yang belum kenal dengan syarikat ini. Namun pada tahun 2019, mungkin ramai yang pernah dengar tentang sebuah pandu uji "kereta terbang". Inilah dia syarikat di sebalik percubaan kereta terbang itu, atau disebut sebagai Urban Air Mobility (UAM).

Pun begitu, UAM ini hanyalah sebuah projek jangka panjang, dan bukanlah perniagaan utama Aerodyne. Projek ini diusahakan berdasarkan pandangan pengasasnya, Kamarul A Mohamed bahawa dunia suatu hari nanti akan menggunakan pengangkutan ini untuk pergerakan yang lebih cepat. Namun buat masa ini, mereka tidak membangunkan projek ini secara aktif kerana dunia masih belum bersedia untuk perubahan ini, dan lebih banyak usaha ditumpukan untuk mengembangkan perniagaan drone.

Di sebalik Aerodyne

Pada Mac lalu, Kamarul Muhamed dinamakan oleh EY Malaysia sebagai Entrepreneur of The Year (EOY) 2020 Malaysia. Gelaran ini diberikan terutamanya kerana ketahanan syarikat berkembang walaupun dicabar pandemik Covid-19. Tahun ini, Aerodyne dinobatkan sebagai syarikat kedua teratas dalam industri perkhidmatan teknologi drone di peringkat global.

aerodyne kamarul mohamed
Gambar: EY

Pada asalnya, Aerodyne hanya merupakan sebahagian daripada pecahan syarikat media yang beliau tubuhkan pada 2006. Beliau memulakan Aerodyne dengan tumpuan terhadap perkhidmatan Visual kepada Data. Aerodyne kemudiannya menawarkan penyelesaian keseluruhan untuk meningkatkan kecekapan operasi syarikat, suatu permintaan yang disedari wujud pada pelanggan mereka.

Perkhidmatan DT3

Kemajuan teknologi drone kini membolehkan ia digunakan bukan sekadar tujuan penggambaran dan tindakbalas kecemasan. Ia juga boleh digunakan untuk kegunaan yang pelbagai, termasuklah pemetaan 2D dan 3D, pertanian jitu (precision agriculture), pengawasan dan sebagainya.

Pasaran drone mempunyai halangan kemasukan (entry barrier) yang rendah. Namun, pasaran ini boleh menawarkan perkhidmatan yang luas dengan nilai yang pelbagai. Pada nilai terendah, perkhidmatan ini boleh jadi seringkas penerbangan untuk penggambaran. Pada nilai tertinggi pula, visual yang diambil boleh dikaji dan seterusnya sebuah penyelesaian akan ditawarkan untuk menjadikan operasi syarikat lebih cekap, cepat, murah dan selamat.

dt3 drone tech aerodyne
Gambar: Aerodyne

Bagi Aerodyne, perkhidmatan drone ini ditawarkan sebagai DT3, iaitu Drone Technology, Data Technology dan Digital Transformation. Dalam bahagian Drone Technology, sebuah drone hanya digunakan sebagai platform untuk sesebuah pekerjaan, antaranya penghantaran, penggambaran dan sebagainya. Data Technology adalah di mana kebanyakan nilai perniagaan ini dihasilkan. Pada perkhidmatan inilah mereka mengkaji data yang dikumpul dan penyelesaian dapat ditawarkan kepada pelanggan.

Akhirnya untuk Digital Transformation, data yang dikaji dapat digunakan untuk mengubah cara syarikat beroperasi. Dengan penyelesaian yang diberi, syarikat boleh beroperasi dengan lebih cepat, cekap dan lebih murah. Dengan perubahan teknologi ini juga, kerja-kerja bahaya seperti pemeriksaan di udara yang perlu dilakukan secara fizikal kini boleh dibuat hanya menggunakan drone. Ia menjadikan kerja seperti ini lebih selamat.

Industri yang terlibat

Perkhidmatan yang Aerodyne tawarkan ini boleh meliputi pelbagai industri, namun ada beberapa ciri perniagaan yang secara ringkasnya boleh memanfaatkan perkhidmatan drone ini. Antara perniagaan atau keperluan tersebut ialah pemilik aset, pertanian, hartanah dan pengawasan sempadan.

Dalam sesi radio BFM, Kamarul menjelaskan bahawa separuh pendapatan terbesar mereka disumbangkan oleh aktiviti pemeriksaan talian kuasa. Ini diikuti dengan industri tenaga boleh diperbaharu seperti solar dan kincir angin, dan akhir sekali, pertanian. Kamarul juga menyebut tentang penglibatan dalam aktiviti pengawasan sempadan dan juga maritim, di mana terdapat perjanjian yang telah dimeterai. Bahagian ini pula dijangka akan menjadi penyumbang pendapatan yang besar di masa akan datang.

200000 assets inspected aerodyne
Gambar: Aerodyne

Setakat September 2018, mereka telah lengkapkan lebih 48,000 operasi penerbangan, periksa lebih dari 201,000 aset dan tinjau lebih 38,000 km infrastruktur janakuasa di serata dunia. Kepakaran yang mereka gunakan termasuklah pilot, jurutera, pembangun perisian dan pakar industri.

Bakal ke IPO

Aerodyne mempunyai perancangan untuk IPO dalam 3 hingga 5 tahun lagi. Namun, kita masih belum tahu di pasaran mana Aerodyne akan disenaraikan. Aerodyne telah pun melalui beberapa siri pembangunan dana di mana ia dapat menarik minat pelabur-pelabur tempatan dan juga asing. Antara dana asing yang berminat dengan Aerodyne adalah China, Jepun, Korea dan juga Indonesia.

jejak global aerodyne
Jejak Global Aerodyne. Gambar: Aerodyne

Merujuk semula sesi radio BFM tadi, Kamarul menyatakan bahawa syarikatnya sentiasa mencatatkan keuntungan sejak ditubuhkan. Ketika diwawancara, beliau memberitahu buku pesanannya telah melangkaui USD 500 juta. Kepesatan industri ini juga adalah tinggi dengan CAGR sebesar 70%. Aerodyne juga berjaya mengukir nama di pasaran global dengan kedudukan nombor 2 dunia dalam industri ini.


< kembali ke laman blog utama