IPO

13-OCT-2020

Adakah IPO RM 1.60 Always Low Prices seperti Slogan Mr DIY?


 


kedai serata Asia mr diy
Gambar: Mr DIY

Mr DIY Group (M) Berhad atau Mr DIY adalah sebuah syarikat yang tak asing lagi buat rakyat Malaysia. Bila nak cari barang untuk kelengkapan rumah, pasti Mr DIY tak terlepas dari fikiran. Mungkin ramai yang dah tahu syarikat ini ingin terbitkan IPO. Butiran IPO Mr DIY ini adalah seperti di bawah:

Harga IPO:
RM 1.60
Status syariah:
Diluluskan oleh SAC
Pasaran:
Main Market
Market Capitalisation:
RM 10.0 bilion
Nisbah PE:
31.6 (FYE Disember 2019)
Permohonan ditutup:
14 Oktober 2020
Cabutan saham:
16 Oktober 2020
Tarikh penyenaraian:
26 Oktober 2020

Ini adalah IPO kedua tahun 2020 untuk disenaraikan ke dalam Pasaran Utama di Bursa Malaysia. Harga yang diletakkan ialah RM 1.60. Persoalannya, adakah wajar harga IPO ini pada harga yang diletakkan? Mari kita kupas lebih lanjut.

Gambaran keseluruhan bisnes Mr DIY

Syarikat ini telah mula sejak tahun 2005 dengan perniagaan runcit barangan kelengkapan rumah atau home improvement product. Pada tahun 2020, Mr DIY telah membuka lebih daripada 1000 kedai di negara Asia.

kedai serata Asia mr diy
Gambar: Mr DIY

Sebanyak 670 dan empat kedai di Malaysia dan Brunei yang dikendalikan oleh Mr DIY yang akan menjadi fokus perbincangan ini. Operasi Mr DIY di negara lain selain disebut tadi dikendalikan oleh entiti lain yang dimiliki oleh pemilik saham Mr DIY sebelum tersenarai, dan bukan di bawah Mr DIY yang akan tersenarai nanti.

Mr DIY menyatakan kedudukan mereka sebagai peruncit kelengkapan rumah terbesar di Malaysia dengan bahagian pasaran sebanyak 29.1% pada 2019. Mereka menawarkan produk berkualiti pada harga yang rendah. Ini menjadi tarikan kepada pengguna untuk berkunjung membeli di kedai mereka. Pada tahun kewangan Disember 2019, 90% daripada kedai Mr DIY telah mencatatkan keuntungan.

Sebahagian besar barangan jualan mereka melebihi 70% diimport dari China. Mereka bekerjasama dengan syarikat pengurusan pengangkutan yang berasas dari China untuk mengendalikan urusan import mereka.

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Pandemik Covid-19 sedikit sebanyak telah menjejaskan aktiviti runcit di mana kedai Mr DIY tidak boleh beroperasi ketika peringkat awal PKP dikuatkuasakan.

prestasi kewangan disebabkan covid mr diy

PKP mula dilonggarkan mengikut fasa, dan kedai Mr DIY juga semakin banyak dibuka mengikut perkembangan semasa. Akibat daripada penutupan kedai, pendapatan Mr DIY menurun di bawah purata bulanan RM 189.6 juta pada bulan Mac dan April.

Prestasi kewangan

Peningkatan pendapatan dan keuntungan Mr DIY menunjukkan pertumbuhan yang kuat dari 2017 ke 2019. Peningkatan pendapatan secara kasarnya meningkat sebanyak RM 500 juta setiap tahun dan keuntungan sebanyak 200 juta setiap tahun.

prestasi kewangan mr diy

Dalam laporan terbaru, Mr DIY telah memasukkan laporan separuh pertama 2020. Pendapatan setakat Jun 2020 dicatatkan pada RM 1.05 bilion manakala keuntungan pula pada RM 448.0 juta.

Strategi IPO dan masa depan

Dana IPO akan digunakan untuk tujuan tersebut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan
Bayaran hutang bank 276.14 91.6
Perbelanjaan penyenaraian 25.30 8.4

Seperti yang kita boleh lihat di atas, kebanyakan dana hanya akan digunakan untuk bayaran hutang bank. Dalam prospektus, kita boleh lihat butiran hutang ini. Pada tahun 2019, sebanyak RM 600 juta telah dipinjam untuk:

Peruntukan hutang Nilai (Juta)
Perbelanjaan modal pembukaan kedai 10.0
Pembelian barangan jualan 266.0
Sebahagian daripada dividen tahun 2019 berjumlah RM 500 juta 244.0
Pengambilalihan Mr DIY (Brunei) 100.0
Jumlah 520.0

Hutang sebanyak RM 600 juta ini terbahagi kepada RM 400 juta pinjaman bertempoh (term loan) dan RM 200 juta kemudahan bayaran kredit (credit facility). Dana IPO sebanyak RM 276.14 juta akan digunakan untuk sebahagian daripada term loan sahaja. Baki term loan sebanyak RM 123.9 juta akan dilangsaikan dalam masa yang sama dengan dana dari syarikat sendiri. Pembayaran hutang ini dianggarkan dapat menjimatkan syarikat sebanyak RM 15.2 juta setahun sehingga 2021.

Mr DIY Brunei atau MD(B) telah ditubuhkan pada tahun 2016. Sebahagian duit bank yang dipinjam pada tahun 2019 di atas tadi telah digunakan untuk mengambil alih bisnes Mr DIY di Brunei yang sebelum ini dimiliki oleh pemegang saham syarikat.

Satu perkara yang kita boleh sedar ialah Mr DIY tidak menggunakan dana IPO untuk penambahan kedai. Ini tidak menghairankan kerana bilangan kedai telah pun mencapai lebih 600 pada tahun ini walaupun tanpa dana IPO. Syarikat masih akan menambah bilangan kedai sebanyak 100 buah pada tahun ini dan 100 buah lagi pada tahun 2021.

Analisis bisnes dan industri Mr DIY

Mr DIY akan tersenarai dalam Pasaran Utama di Bursa Malaysia. Seperti yang kita tahu, syarikat ini menjalankan perniagaan dalam industri peruncitan barangan kelengkapan rumah. Antara perkara yang boleh diperhatikan untuk melihat prospek bisnes Mr DIY yang akan datang adalah pada pertumbuhan industri, populasi dan kekuatan ekonomi.

Pemerhatian makroekonomi Malaysia

GDP Malaysia dan negara lain

GDP Malaysia dianggarkan kekal meningkat sebanyak 3.3% untuk 5 tahun dari 2019, namun lebih perlahan berbanding 5 tahun sebelum ini.

populasi urban di Malaysia

Pertumbuhan populasi dan urbanisasi yang semakin meningkat di Malaysia dapat mengembangkan prospek yang lebih banyak untuk Mr DIY.

Saiz dan prestasi industri di Malaysia

Fokus Pemerhatian CAGR 2014-2019 CAGR 2019-2024F
Nilai jualan runcit 5.8% 5.7%
Nilai jualan runcit sektor kelengkapan rumah 12.4% 10.2%

Pemain industri utama

pesaing jenama mr diy

Antara pesaing yang dikenalpasti dalam prospektus ialah One Stop Superstore, Daiso, Supersave, ACE Hardware dan pelbagai lagi. Kesemua jenama ini bersaing dalam sektor yang sama, iaitu kelengkapan rumah. Mr DIY menerajui pasaran ini dengan bahagian pasaran terbesar sebanyak 69.2% daripada persaingan sektor ini antara jenama-jenama lain.

bahagian pasaran mr diy

Perbincangan

Skor iSaham: 1/4

Mr DIY ternyata memperlihatkan kekuatan kewangan yang kukuh. Pegangan bahagian pasaran juga menunjukkan Mr DIY sebagai peneraju yang kuat dalam sektor perniagaan yang dijalankan. Ia boleh memberikan sebuah keyakinan bahawa syarikat ini akan kekal berdiri untuk bertahun-tahun akan datang.

Namun, pengiraan harga IPO telah pun mengambil kira semua perancangan masa depan yang masih belum direalisasikan. Ini termasuklah 200 buah kedai yang dirancang sehingga 2021 berserta pendapatan yang boleh diraih dari kedai tersebut. Bayaran IPO untuk hutang yang sebahagiannya digunakan untuk pembayaran dividen pemilik syarikat juga memberikan petanda yang tidak baik bagi pelabur.

Tambahan pula, penyenaraian untuk Mr DIY ini hanya terhad kepada perniagaan Mr DIY di Malaysia dan Brunei. Dengan saham ini, kita tidak dapat merasakan prospek perkembangan Mr DIY di negara Asia lain. Pemilik asal Mr DIY boleh sahaja memberikan tumpuan kepada prospek mereka di negara lain seandainya lebih menguntungkan dari pasaran Malaysia dan Brunei.

Perkara yang boleh menguatkan hujah untuk membeli saham ini adalah polisi dividen yang disasarkan pada 40% keuntungan bersih syarikat. Daripada prestasi kewangan syarikat, kita boleh nampak pertumbuhan yang kuat. Dari sini, kita boleh anggap saham ini sesuai untuk pelaburan dividen.


< kembali ke laman blog utama