IPO

16-APR-2024

MKH Oil Palm - Pengeluar Minyak Sawit Mentah


 


Butiran IPO syarikat MKH Oil Palm

Latar Belakang Perniagaan Syarikat

MKH Oil Palm (MKHOP) ditubuhkan di Malaysia pada 10 Ogos 2004 di bawah Akta Syarikat 1965 dengan nama Detik Merdu Sdn Bhd. Pada 7 Januari 2021, syarikat ini bertukar nama kepada MKH Global Plantation Sdn Bhd. Kemudian pada 1 Oktober 2021, mereka sekali lagi bertukar nama kepada MKH Oil Palm (East Kalimantan) Sdn Bhd. Melalui anak syarikatnya yang bertapak di Indonesia, PT Maju Kalimantan Hadapan (PT MKH) dan PT Sawit Prima Sakti (PT SPS), syarikat ini menjalankan aktiviti perladangan kelapa sawit dan pengeluaran isirung kelapa sawit serta minyak sawit mentah.

Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut:

 

Prestasi Kewangan Syarikat

Secara keseluruhan, syarikat MKHOP mencatatkan prestasi pendapatan yang positif dan meningkat dari tahun kewangan 2020 hingga 2023. Bagi keuntungan selepas cukai, syarikat ini turut menunjukkan peningkatan dari tahun 2020 hingga 2021. Walau bagaimanapun, terdapat penurunan pada tahun 2022 dan 2023 kerana kos jualan dan perbelanjaan yang tinggi.
 

Pendapatan syarikat MKHOP diperolehi daripada 2 segmen iaitu:

i) Segmen perladangan minyak sawit mentah (CPO)

ii) Segmen perladangan isirung kelapa sawit (PK)
 

Di sini kita dapat lihat bahawa pendapatan syarikat kebanyakannya daripada perladangan minyak sawit mentah. Segmen ini menyumbang sebanyak 91.7% kepada pendapatan syarikat pada tahun kewangan 2023.

Penggunaan Dana IPO

Dana yang diperoleh daripada IPO iaitu sebanyak RM136.4 juta akan digunakan oleh syarikat untuk tujuan seperti berikut:

Majoriti dana yang diperoleh daripada penyenaraian IPO akan digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan syarikat ini termasuk meluaskan kawasan perladangan kelapa sawit, menyediakan kemudahan penghancuran isirong kelapa sawit, membaikpulih kilang kelapa sawit sedia ada, membina kuarters perumahan pekerja, dan meluaskan capaian bekalan elektrik.

Selain itu, 22% daripada dana IPO akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman kepada pihak berkaitan.

Baki selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian dan keperluan modal kerja lain.

ANALISIS BISNES DAN INDUSTRI MKHOP

Struktur Industri Kelapa Sawit

Terdapat empat peringkat pemprosesan dalam industri perladangan kelapa sawit iaitu upstream, midstream, downstream, dan proses pembuatan produk pengguna dan perindustrian.

Industri kelapa sawit bermula dengan proses awal seperti pengeluaran benih, semaian, penanaman, penuaian, pengilangan, dan penghancuran isirong kelapa sawit. Produk yang dihasilkan daripada proses ini termasuk tandan buah segar, isirong kelapa sawit, minyak sawit mentah, dan sebagainya.

Proses seterusnya adalah perdagangan dan pukal, diikuti oleh proses penapisan, pecahan, dan pengesteran, dan diakhiri dengan proses pembuatan produk pengguna dan perindustrian seperti minyak masak, sabun, produk kosmetik dan sebagainya.

Syarikat MKHOP terlibat dalam peringkat upstream iaitu semaian, penanaman, penuaian, pengilangan, dan penghancuran isirong kelapa sawit.

Rakan Persaingan

Menurut Smith Zender, rakan persaingan MKHOP termasuk PT Astra Agro Lestari Tbk dan PT Salim Ivomas Pratama Tbk yang bertapak di Indonesia serta Kuala Lumpur Kepong Berhad, Sime Darby Plantation Berhad, IOI Corporation Berhad, dan Genting Plantations Berhad yang bertapak di Malaysia.

Faktor Perkembangan Industri

1- Peningkatan permintaan minyak dan lemak yang boleh dimakan.

Merujuk gambar rajah di atas, peningkatan permintaan minyak dan lemak boleh makan seperti minyak sawit didorong secara langsung oleh peningkatan permintaan kepada makanan disebabkan oleh peningkatan populasi global.

Peningkatan jumlah penduduk di negara membangun menekan industri kelapa sawit untuk menghasilkan minyak dan lemak yang boleh dimakan yang mencukupi. Minyak sawit paling banyak digunakan berbanding minyak dan lemak boleh makan yang lain. Pada tahun 2023, penggunaan global minyak sawit mentah mencatatkan sebanyak 31.24% daripada jumlah penggunaan global minyak dan lemak boleh makan yang lain. Minyak isirong kelapa sawit pula mencatatkan penggunaan global sebanyak 3.25% daripada jumlah tersebut.

2- Kepelbagaian aplikasi minyak sawit dan deravatifnya.

Terdapat banyak kegunaan minyak kelapa sawit seperti dijadikan sebagai bahan asas dalam produk makanan dan bukan makanan kerana kandungan lemak dalam minyak ini mampu memanjangkan hayat, memendekkan tempoh memasak, dan memberikan kesempurnaan tekstur kepada produk tersebut.

Antara produk yang menggunakan minyak kelapa sawit adalah marjerin, minyak masak, produk penjagaan diri seperti sabun dan sanitiser. Minyak kelapa sawit juga digunakan dalam pembuatan bahan plastik yang menjadi asas dalam pelbagai industri seperti pembinaan, automotif, perabot, elektrik, dan sebagainya.

Perbincangan

Secara keseluruhan, syarikat MKHOP mempunyai peningkatan dari segi pendapatan sepanjang empat tahun kewangan (2020 hingga 2023). Walau bagaimanapun, syarikat ini mencatatkan penurunan jumlah keuntungan selepas cukai pada tahun 2022 dan 2023 disebabkan kenaikan dan penurunan harga minyak sawit.

Majoriti dana yang diperoleh daripada penyenaraian IPO akan digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan syarikat ini termasuk meluaskan kawasan perladangan kelapa sawit, menyediakan kemudahan penghancuran isirong kelapa sawit, membaikpulih kilang kelapa sawit sedia ada, membina kuarters perumahan pekerja, dan meluaskan capaian bekalan elektrik serta membayar hutang syarikat. Walau bagaimanapun, syarikat perlu membuktikan keberkesanan perancangan mereka apabila disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia tidak lama lagi.


< kembali ke laman blog utama