UMUM

15-JUN-2022

5 Negara dengan Kadar Inflasi Tertinggi


 


Kadar inflasi di seluruh dunia menunjukkan peningkatan yang mendadak. Faktor utama peningkatan itu sebahagian besarnya adalah daripada kenaikan harga makanan, peningkatan permintaan seiring dengan pembukaan semula ekonomi selepas berlakunya wabak COVID-19 serta peperangan antara Rusia dan Ukraine.

Kita selalu dengar perkataan inflasi yang mempunyai kesan besar terhadap ekonomi negara, tapi tahukah anda apakah maksud sebenar inflasi tersebut.

Apa Itu Inflasi?

Inflasi adalah pengurangan dalam kuasa beli mata wang. Apabila kadar nilai mata wang jatuh, ia akan memberi kesan terhadap harga barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa, dimana harga barangan dan perkhidmatan tersebut akan meningkat. Sebagai contoh, dahulu telur ayam boleh dibeli dengan harga RM7 atau RM8 sepapan, sekarang harga telur ayam sudah naik sehingga RM12 sepapan. Kenaikan harga kekal dari RM7 hingga RM12 ini ialah inflasi, iaitu ukuran yang menunjukkan kenaikan harga atau peningkatan kos sara hidup di sesebuah negara.

Pada April 2022, kadar inflasi di Malaysia meningkat kepada 2.3% berbanding bulan sebelumnya iaitu 2.2%. Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kenaikan inflasi disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih tinggi untuk makanan, tambang perjalanan udara serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.

Inflasi bagi negara Amerika Syarikat pula telah meningkat ke paras tertinggi dalam 40 tahun iaitu 8.6% pada bulan Mei 2022. AS telah bergelut dengan masalah kenaikan harga sejak COVID-19 melanda dunia lagi. Namun, ia diburukkan lagi dengan konflik yang berlaku antara Rusia dan Ukraine yang telah menyebabkan harga minyak dan komo­diti seperti gandum meningkat lebih tinggi.

5 Negara dengan Kadar Inflasi Tertinggi

1. Venezuela - 222.3%

Negara Venezuela telah mengalami hiperinflasi iaitu mencecah 222.3% setakat April 2022. Ia disebabkan oleh kerajaan mencetak sejumlah besar wang baharu untuk membantu perbelanjaan rakyat. Cetakan wang yang banyak seterusnya menyebabkan mata wang negara kehilangan nilai serta berlaku kekurangan barangan tempatan. Orang ramai juga banyak menyorok barang menyebabkan barang menjadi lebih terhad dan mahal. Ini memberi kesan terhadap nilai mata wang, institusi kewangan juga jatuh muflis dan akhirnya, ekonomi negara merudum.

Kegawatan ekonomi di Venezuela bermula dengan kawalan harga kerajaan dan kejatuhan harga minyak yang menyebabkan syarikat minyak milik kerajaan menggulung tikar. Krisis ekonomi ini telah menyebabkan kadar pengangguran semakin meningkat. Penduduk di Venezuela telah mencecah 29 juta pada tahun 2022 dan kebanyakan daripada mereka terpaksa berhijrah untuk mencari kerja dan bekalan di negara lain.

Venezuela
Sumber: South China Morning Post

2. Sudan - 220.7%

Sudan menghadapi kadar inflasi tertinggi iaitu 220.7% setakat April 2022 di Afrika. Antara faktor kadar inflasi yang tinggi ini adalah disebabkan oleh krisis ekonomi dan ketidakstabilan politik yang berpanjangan. Menjelang akhir tahun 2021, ekonomi Sudan yang sudah terjejas, diburukkan lagi apabila berlaku rampasan kuasa oleh pasukan tentera untuk mengawal kerajaan.

Sebelum peperangan antara Rusia dan Ukraine, harga makanan di benua Afrika telah pun terjejas disebabkan oleh isu penuaian dan sekatan perdagangan akibat wabak COVID-19. Ekoran peperangan Rusia dan Ukraine, harga makanan semakin meningkat kerana Rusia dan Ukraine adalah pembekal gandum utama untuk Afrika.

Sudan
Sumber: Freedom House

3. Lebanon- 206.20%

Hyperinflasi juga berlaku di Lebanon sehingga mencapai kadar inflasi 206.20% setakat April 2022 kerana pihak berkuasa tidak bertanggugjawab dalam memantau dan mengawal kenaikan harga barangan keperluan. Rizab mata wang asing Lebanon semakin rendah dan inflasi makanan juga telah mencapai 374.38% setakat April 2022.

Kini, kekurangan wang dalam negara memberi kesan kepada bekalan ubat dan minyak. Pihak industri kesihatan juga telah melakukan protes kerana kekurangan ubat akibat kegagalan membayar pengimport asing. Sudah bertahun-tahun, rakyat Lebanon menghadapi krisis ekonomi dan kewangan yang merupakan antara yang paling teruk yang pernah terjadi di dunia akibat kegagalan pemimpin dalam mentadbir negara.

Lebanon
Sumber: Middle East Monitor

4. Zimbabwe - 131.7%%

Kadar inflasi di Zimbabwe telah mencapai 131.7% setakat May 2022 kerana harga minyak masak dan roti melonjak lebih tinggi kesan daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Kerajaan telah cuba menurunkan harga dengan menggantung duti import ke atas komoditi asas seperti minyak masak, beras dan tepung bagi mengawal kenaikan inflasi. Kekurangan rizab mata wang asing menyebabkan syarikat tempatan terpaksa bergelut untuk membeli bekalan dari luar negara bagi mengeluarkan barangan di Zimbabwe.

Zimbabwe juga pernah mengalami hiperinflasi pada sedekad yang lalu apabila inflasi meningkat secara mendadak sehingga bank pusat pada 2008 mengeluarkan wang kertas 100 trilion dolar. Kerajaan kemudiannya membuang mata wang tempatan dan menerima pakai dolar AS dan rand Afrika Selatan sebagai mata wang yang sah. Tetapi pada tahun 2019, kerajaan memperkenalkan semula dolar Zimbabwe namun, nilai mata wangnya telah semakin surut.

Zimbabwe
Sumber: The Times of Africa

5. Turkey - 73.5%

Inflasi di Turki untuk bulan Mei meningkat kepada 73.5% setakat May 2022 iaitu yang tertinggi dalam 23 tahun kerana negara tersebut terpaksa bergelut dengan kos makanan dan minyak yang melambung tinggi. Bukan itu sahaja, pemimpin yang tidak kompeten juga menjadi faktor utama peningkatan inflasi apabila Presiden Recep Tayyip Erdogan tidak mempunyai perancangan yang strategik dalam menstruktur dasar monetari.

Indeks harga pengguna di negara yang berjumlah 85 juta rakyat itu meningkat kepada 931.76% pada Mei daripada 904.79% pada April 2022. Erdogan telah melakukan pengurangan dalam kadar faedah bagi menurunkan harga pengguna yang melambung tinggi sekaligus menyebabkan lira Turki mengalami kejatuhan.

Turkey

Kesimpulan

Serangan inflasi memberi kesan yang besar sehingga menyebabkan penyusutan nilai mata wang dan kenaikan kos sara hidup. Inflasi memberi impak kepada pengguna kerana kuasa beli pengguna akan berkurangan. Maka, setiap pengguna perlu bijak dalam menguruskan kewangan. Merancang perbelanjaan dengan baik dapat membantu dalam mengharungi kemeseletan ekonomi yang disebabkan oleh inflasi.

Rujukan


< kembali ke laman blog utama