MyDigital merupakan pelan kerajaan Malaysia untuk membawa negara ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju. Kerajaan ingin melakukan ini dengan menggunakan internet 5G dan fiber sebagai alat mencipta nilai ekonomi. Ke arah itu, terdapat kos yang tinggi untuk membangunkan infrastruktur yang berkaitan. Selaras dengan itu, Digi, Celcom dan Maxis pada 18 March telah memuktamadkan perjanjian kerjasama dalam bidang 5G.
Membina bersama pemancar internet 5G

Di bawah perjanjian itu, syarikat-syarikat besar ini akan berkongsi kos (dan keuntungan) apabila mereka membina pemancar internet 5G di kawasan bandar dan kawasan pedalaman. Ini akan memberikan faedah dari perspektif skala ekonomi. Hal ini kerana jika melabur bersama pulangannya tetap berbaloi walaupun dengan kos yang tinggi.
Di bawah MyDigital, sasarannya adalah untuk mendapatkan 100% penjawat awam mempunyai literasi digital. Selain itu, data kerajaan 80% akan dimuatnaik dan disimpan di dalam cloud storage. Menjelang 2022 pula, semua agensi kerajaan akan menyediakan perkhidmatan bayaran secara atas talian dan tanpa tunai.
Sektor swasta pula dari ekonomi digitalnya akan menyumbang 22.6% kepada GDP Malaysia. 875,000 PKS akan mengadaptasikan e-niaga dalam kehidupan seharian perniagaan. MyDigital juga akan meningkatkan syarikat pemula perniagaan kepada sebanyak 5,000 buah syarikat. Tambahan pula, mewujudkan 500,000 pekerjaan dengan 100% isi rumah mempunyai akses kepada internet. Internet akan jadi utiliti universal ketiga selepas air dan bekalan elektrik.
Saham-saham yang berkaitan dengan MyDigital

Selain saham-saham telkomunikasi seperti Maxis, Celcom dan Digi, terdapat saham sektor teknologi yang bakal menerima manfaat daripada pelan MyDigital ini. Saham Awantec (sebelum ini dikenali sebagai Prestariang) adalah contoh saham tersebut. Awantec akan digunakan oleh kerajaan sebagai penyedia khidmat servis cloud. Di bawah MyDigital juga, kerajaan telah mengumumkan 150,000 komputer riba bakal dibekalkan kepada rakyat secara percuma. Antara syarikat yang terlibat dalam industri perbekalan komputer adalah Edaran. Manakala untuk industri pembekalan internet fiber adalah TIME dan TM. Menjelang 2022, kerajaan akan memastikan 100% isi rumah di Malaysia mempunyai internet. Kerajaan telah menyeru penyedia servis internet untuk menawarkan diskaun dan promosi khasnya kepada golongan B40 dan pelajar.
Penutup
Tuntasnya, terdapat banyak sasaran yang ditetapkan kerajaan dari segi jumlah pekerjaan yang akan diwujudkan, bekalan infrastruktur 5G dan juga servis cloud. Oleh hal yang demikian, akan ada syarikat yang akan mendapat tempias manfaat dari projek-projek ini. Terpulang kepada anda untuk mencari saham-saham tersebut.