
Fundamental pasaran ekuiti Malaysia masih mantap. Itu memetik kata-kata Maybank Kim Eng yang positif bahawa pasaran saham Bursa Malaysia akan mencecah 1830 mata berbanding 1609.58 mata sekarang. Menangkis dakwaan bahawa sentimen politik akan menjatuhkan harga saham, Maybank Kim Eng berkata faktor itu sudahpun diambil kira di dalam harga saham-saham.
Harga saham-saham kini hanya menunggu masa untuk bangkit di sebalik jangkaan perolehan dan keuntungan kebanyakan sektor akan kembali pulih.
Antara sektor yang kembali pulih adalah sektor peruncitan, makanan dan pusat membeli-belah di mana jika dilihat di kedai-kedai sewaktu PKP, penuh dan lumayan pembelian konsumer Malaysia. Hal ini kerana PKP telah memberikan pendapatan lebih kepada pengusaha Grab di mana sejak peraturan tidak boleh makan di dalam kedai, lebih ramai rakyat Malaysia yang memesan makanan secara atas talian.
Bukan itu sahaja, tetapi rakyat Malaysia beratur untuk membeli barang-barang keperluan sebelum kedai tutup pada jam 8 malam.
Sektor Perbankan
Di sebalik pemberian moratorium buat pelanggan terjejas banjir, aset kualiti bank-bank secara keseluruhan masih baik. Mari kita lihat fakta dan angka. Menurut data dari November, pinjaman yang terjejas adalah sebanyak 1.5%. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pemberian pinjaman dijangka hanya kekal setakat 3%, oleh itu harga saham bank bank tidak dijangka menokok dengan terlalu signifikan buat jangka masa pendek.
Risiko buat perbankan adalah jika mora diberikan secara menyeluruh dan tidak bersasar kepada pelanggan terjejas Covid, PKP dan banjir.
Hal ini kerana ada juga pelanggan bank yang tidak terjejas Covid seperti pelanggan bank di dalam sektor automotif di mana sejak pemberian pelepasan cukai jualan, jualan kereta meningkat naik.
Oleh itu, jika diberikan juga mora kepada pelanggan bank seperti syarikat-syarikat ini maka barulah pendapatan bank secara keseluruhan akan terjejas.
Antara faktor lain yang membolehkan bank tersenyum adalah stimulus fiskal dan monetari yang diberikan kerajaan. Buat usahawan PKS, ada geran 3,000 ringgit daripada geran khas prihatin. Ini membantu modal pusingan.