UMUM

12-DEC-2019

10 Peraturan Kewangan untuk Noobies


 


Tak kira macam mana pun keadaan ekonomi yang kita hadapi, sekiranya anda tidak berbelanja dengan betul, anda adalah orang yang rugi. Bagi mengelakkan menjadi orang yang rugi, mari kita baca peraturan kewangan yang dikongsikan oleh KayaBun. Untuk pengetahuan anda, KayaBun adalah produk MIDF (Malaysian Investment Development Finance Berhad) dan mereka membuat perkongsian tips kewangan peribadi.

kayabun midf post Sumber: Kayabun

1. Bayar diri sendiri dulu

Dalam bahasa orang putih, ia disebut “pay yourself first”. Konsep ini ada diterangkan oleh Robert Kiyosaki dan caranya adalah menggunakan gaji untuk menjana pendapatan atau menyimpan untuk diri kita sendiri terlebih dahulu. Daripada pendapatan ini, barulah kita mendapat pulangan untuk membayar apa-apa perbelanjaan atau komitmen yang kita ada. Kalau menyimpan pula, baki gaji itulah yang digunakan untuk perbelanjaan kita. Konsep ini sememangnya agak mencabar, namun tak mustahil.

Kalau anda nak tafsiran lain untuk pay yourself first, boleh fikirkan untuk peruntukkan sebahagian wang dalam tabung pelaburan diri sendiri. Antara kegunaannya mungkin untuk hadir ke dalam kelas saham, latihan atau kemahiran professional, pemasaran digital dan sebagainya. Sama juga dengan konsep diguna pakai tadi, ia adalah suatu pelaburan yang memberikan pulangan kepada diri kita di waktu akan datang.

2. Belajar bagaimana melabur

Zaman sekarang, ada banyak maklumat yang anda boleh cari sama ada dari buku ataupun secara online. Ada banyak tips kewangan dan cara-cara melabur yang anda belajar sama ada pelaburan hartanah, saham, perniagaan dan sebagainya. Selepas belajar, cubalah untuk mencuba.

3. Bagi setiap ringgit bekerja

Kalau anda mempunyai duit simpanan lebih, boleh gunakan duit itu untuk menjana pendapatan modal. Inilah yang dinamakan duit bekerja untuk kita. Namun kalau tak melabur, pastikan setiap ringgit yang anda gunakan disalurkan kepada perkara yang manfaat.

4. Jangan jadi hamba duit

Memang betul orang kata semua benda di dunia ni perlukan duit. Tapi, duit bukanlah segalanya. Jangan jadi terlalu obses untuk mengumpul duit sampaikan terabai tanggungjawab dan keperluan diri.

5. Ada matlamat kewangan

Kalau kita tak ada matlamat kewangan yang jelas, kita mungkin tak nampak sebabnya untuk menyimpan. Jadi, tetapkan sebuah matlamat, sama ada untuk bercuti, kebebasan kewangan, umrah dan sebagainya untuk lebih fokus mengumpul simpanan.

6. Rancang kewangan dengan bijak

Lepas dah pasang matlamat kewangan tadi, kita perlu juga rancang dengan melihat berapa banyak yang perlu dikumpul secara keseluruhan, simpanan wajib bulanan, cara menyimpan dan sebagainya. Kalau tak ada perancangan, takut matlamat yang ditetapkan tadi lambat tercapai, atau lebih sedih, tak tercapai.

7. Belajar jana pendapatan pasif

Bab belajar ni memang takkan habis. Kalau belum belajar, tetapkan masa. Kalau dah belajar, dapatkan ilmu yang lebih dalam. Dengan ilmu, kita boleh kurangkan risiko pelaburan sebab kita akan lebih tahu kaedah apa yang menjadi dan apa yang kurang menjadi. Kalau dah cuba tapi tak jadi, betulkan apa yang tak jadi.

8. Duit hasilkan duit

Kadang-kadang kita rasa takut untuk keluarkan duit untuk melabur. Jangan risau, untuk mendapatkan duit memang kita kena berbelanja sedikit. Tapi jangan pula ingat ada duit mudah di luar sana. Kalau terjumpa ejen yang tawarkan pulangan yang terlalu bagus, pastikan kesahihahnya terlebih dahulu.

9. Belanja kurang dari pendapatan

Manusia bila dah jumpa duit, ada yang kelabu mata. Perasaan tamak mula meresap ke dalam jiwa. Semua di dalam dunia ni kita nak sehingga lah berbelanja lebih dari kemampuan. Ini bukanlah tabiat yang bagus. Kalau nak berbelanja biarlah dalam kemampuan diri kita sendiri.

10. Zakat dan sedekah selalu

Pernah khatib jumaat berpesan bahawa dalam rezeki yang kita nikmati, di situ ada rezeki orang lain. Jadi kongsi-kongsi lah bila anda dah kaya.

Artikel ini ditaja oleh KayaBun. Untuk dapatkan tips kewangan peribadi yang lebih banyak, boleh follow KayaBun di facebook.


< kembali ke laman blog utama